Beranda

Ingat kebaikan orang lain, ingat kejahatan sendiri

Jumaat, 20 Jun 2014

DOSA KERING DAN DOSA BASAH

Wak Jamal beli kereta baru! Heboh satu kampung.  Apa tidaknya, Wak Jamal yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tu tiba-tiba bawa balik kereta baru.  Hampir tiap hari pula keluar rumah.  Van buruk yang selama ini dia guna untuk menjaja ikan dan sayur pun dah tak ada.  Agaknya dah dijual.  Dia pun dah berhenti berniaga.  Yang orang nampak, tiap hari dia keluar rumah.  Awal-awal pagi pula tu, lewat malam baru balik. Tiap hari Rabu  bawa Mak Limah, isteri dia yang dah lama berkurung di rumah kerana sakit.  Berubahnya hidup Wak Jamal! Dan fenomena itu telah menimbulkan kontroversi di kampung itu.

Ada juga orang kampung yang bersangka baik, mungkin Wak Jamal baru dapat pembahagian duit pusaka, tiba-tiba jadi kaya.  Tapi ramainya orang yang berjahat sangka, Wak Jamal buat bisnes baru jual dadah atau skim cepat kaya.  Yang lebih ramai lagi orang kampung yang tak peduli, tak kisah, tak ambil port.  Dalam ramai-ramai orang kampung tu adalah seorang tu yang terlebih caring and daring alias busy body, namanya Ucop.  Nasib baiklah dia jenis yang faham syariĆ t sikit, tahu bahwa mengumpat dan memfitnah itu dosa.  Dia sangat perihatin di kampungnya dosa umpat dan fitnah tentang fenomena Wak Jamal telah merebak dengan meriahnya.  Maka Ucop pun bercadang nak jumpa dan tanya Wak Jamal directly supaya dapat jawaban tepat, sahib and accurate.  Tapi dia tak nak jumpa seorang, kena bawa saksi yang jujur and dipercayai ramai. Dipilihnya Tok Imam sebagai saksi.

''Apa yang kau bersungguh nak pergi jumpa  Wak Jamal ni, Ucop?  Sebelum ni tak pernah pun engkau kisah dengan orang tua tu,'' tanya Tok  Imam.

''Saya cuma kesiankan Wak Jamal dan kampung ini Tok.  Dah merata umpat dan fitnah pasal Wak Jamal di kampung ni.  Saya takut  dosa-dosa ni mengundang bala dan menghilangkan keberkatan kampung ni.  Arwah ayah saya cakap, kita kena jaga perpaduan, kasih sayang warga kampung supaya keberkatan kampung ini terjaga.  Keberkatan ni penting supaya semua warga  kampung dapat hidup aman damai, makmur terhindar dari bala bencana," Ucop bersyarah panjang lebar.  Tok Imam tersenyum kambing.

"Budak ni nyindir aku ke ni? Patut ini kan kerja aku.  Apasal aku tak tahu yang umpat fitnah tentang Wak Jamal tersebar di kampung ni? Macamana aku boleh tak perasan benda ni," kata Tok Imam dalam hati.

"Apa fitnah yang tersebar tu?" Tok Imam cuba maintain cool.

"Tak lah Tok tak perasan? Wak Jamal tu kan tetiba je jadi OKB, beli kereta baru, sering keluar pula tu!  Orang kampung dah sangka macam-macam.  Ada yang kata Wak Jamal memang lottery, jual dadah, skim cepat kaya, bela toyol dan lain-lain.  Biasalah .... Syaitan seronok nak pecah belahkan kita Tok," Ucop bersemangat.

"Lha ..... pasal tu ke?  Cepatnya korang buat DOSA KERING!"

"Dosa kering? Apa benda tu Tok?" Ucop hairan.

"Duduk diam-diam, bersangka jahat dengan orang, tak dapat faedah apapun, yang pasti dapatlah dosa. Itu dosa kering namanya." Jawab Tok Imam selamba. Kemudian dia cakap lagi,

"Wak Jamal tu bukanlah dah jadi orang kaya baru.  Takat pakai kereta Proton Saga bayar bulanan 300 ringgit, bukan kereta mewah pun. Hai .... Kamu ni suka sangat melebih-lebihkan,"

"Aiik ... Tok tahu harga kereta Wak Jamal tu? Apa cerita sebenarnya?" Ucop pula terminat cerita Tok Imam.

"Macamana pula aku tak tau.  Akulah guarantor pinjaman kereta Wak Jamal tu.  Hasil mesyuarat AJK masjid, itulah cara kami nak tolong Wak Jamal.  Van buruk tu trade in dengan Saga sebagai bayaran down payment.  Senanglah dia nak ulang-alik bahwa isteri dia ke hospital.  Mak Limah tu kan kena dialisis tiap hari Rabu,"

"Ooooo .... jadi Wak Jamal bawa Mak Limah ke hospital tiap minggu untuk buat rawatan.... Ingatkan pergi jalan-jalan makan angin ....,"

"Kamu ni ...tak sensitive langsung dengan jiran tetangga yang sakit.  Tahu nak mengumpat je," Tok Imam bagi sebijik tamparan kata pada Ucop.  Kini Ucop pula yang tersenyum kambing.

"Habis ... yang keluar awal pagi balik lewat malam tu,  Wak Jamal buat apa Tok?" alang-alang dah terugkap fakta, Ucop makin nak tahu pasal kisah sebenar Wak Jamal.

"Ya Allah .... Itupun kamu tak tahu? Apa kamu buat pagi-pagi? Kamu solat  Subuh ke tidak ni?" Tok Imam meninggi suara.  Ucop merah pipi, terkulat-kulat tak reti nak jawab.

"Awal pagi Wak Jamal pergi masjid lah.  Dia antara AJK masjid paling rajin tau.  Dialah tukang bentang kain saf putih kat masjid tu.  Mak Limah pula yang jahit dan cuci.  Lepas Subuh dia pergi mengedar produk-produk makanan yang ada di kedai koperasi masjid tu.  Itulah hasil usaha ibu-ibu tunggal sekitar qariah masjid kita ni. Kamu  tak pernah tengok ke? Kamu tak pernah solat Jum'at kat masjid kita ni ke?" Penampar kata Tok Imam makin kuat.  Tapi Ucop terpaksa terima je dengan senyum kelat.

"Ooooo" membulat bibir Ucop.

"Dia pergi awal pagi balik lewat malam tu sebab mengedar jauh sikit, lebih lah sikit jualan.  Bolehlah tampung keperluan rumah dan bayaran bulanan kereta tu.  Kamu pula bila nak pakai kereta.  Tak kan nak pakai motor cabuk ni sampai tua," kata Tok Imam sambil tersenyum.

"Ala Tok, gaji saya mana cukup nak beli kereta. Kerja bengkel motor tu berapalah sangat gaji ..." Ucop merendah.

"Gaji sikit asal halal dan berkat.  Jangan gelojoh sangat.  Haritu aku dengar kawan kamu dah kena tangkap sebab jadi tukang modified motor curi, betul ke?"

"Bbbukan .... Bukan kawan saya lah Tok," Ucop tergagap.

"Apasal kamu gelabah. Kamu jangan terlibat sudahlah. Kalau kamu terlibat geng curi motor tu DOSA BASAH pula kamu dapat!"

"Dosa BASAH? Apa pula tu Tok?

"Dosa curi, rompak, lanun, rasuah, tipu, peras dan lain-lain perbuatan yang kamu dapat untung tapi dapat dosa juga. Itulah dosa basah."

"Apa beza dosa BASAH dan dosa KERING tu Tok?, tanya Ucop.

"Sama je. Tapi lagi bodohlah orang yang suka buat dosa kering.  Tak dapat untung apa tapi dosa dah jelas dapat.  Bagaimanapun kita janganlah buat apa-apa jenis dosa pun, sebab semuanya akan dibalas di dunia dan di neraka.  Kalau dah terbuat, cepat-cepatlah mohon ampun pada Allah dan mohon maaf kepada orang yang dah jadi mangsa kejahatan kita."

"Baiklah Tok, saya nak jumpa Wak Jamal nak minta maaf pada dia.  InsyaAllah nanti saya nak jumpa juga dengan orang kampung yang aktif sebagai ejen-ejen dosa BASAH dan dosa KERING ni untuk hentikan semua kontroversi Wak Jamal ni"

"Baguslah tu! Mudah-mudahan mereka juga terus berhenti jadi ejen free syaitan ni. Mana mereka melepak?"

"Biasalah ... Mereka lepak kat kedai makan.  Buat dosa KERING sebab mengumpat dan memfitnah, buat dosa BASAH sebab layan bola sampai tak solat Subuh," jawab Ucop sambil tersengih.

"Alhamdulillah ... Moga misi kamu berjaya Cop.  Aku doakan"

"Terima kasih Tok," mereka pun bersurai.

Hurmmmmm ..... Kisah Wak Jamal yang menginsafkan. Moga-moga kita semua dapat manfaat dan pengajaran.

What does this story teach us? We shouldn't make assumptions about the things people go through without having done it ourselves. And don't make WET AND DRY SINS .....hehehe.



Salsabeel, 20 Jun 2014










Rabu, 4 Jun 2014

AKUR

perjalanan ini terasa sangat meletihkan
harus bertarung antara hak dan kebatilan
jangan hanya relaks dan tak pedulikan
jangan pandang ringan dan tak mengacuhkan
kerana kematian itu satu kepastian

masa penghitungan itu semakin hampir
hari pembalasan itu sebagian dari takdir
adakah sesiapa yang mampu mencegahnya dari mengalir
suka atau tidak ia terus bergulir
lebih baik setuju daripada mungkir

kita datang dari kampung akhirat
singgah ke dunia bukan untuk isterahat
perjalanan di dunia ini baru satu peringkat
ada lagi banyak tahap yang deritanya makin meningkat
jangan kata tak tahu sebab semua sudah disurat

setiap yang bernyawa pasti merasakan maut
sebab itu kena sentiasa ada rasa takut
dengan hati dan amalan bukan sekadar di mulut
maka bersiap sedialah dan buat apa yang patut
jangan nak terkejut jika ajal dah datang menjemput

isilah hidup ini dengan sabar dan syukur
agar nafsu tidak menjadi takabur
segala mazmumah lemahkan hingga tersungkur
sifat-sifat mahmudah pastikan bertambah subur
dengan segala takdir Allah hati dan akal sentiasa akur


Sabtu, 31 Mei 2014

KISAH BUDAK PENJUAL KUIH (Terharu punye kalau bace!)

Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? " Ar-rahman

(Sumber Group Jiran Sebelah .... :-)

Rabu, 28 Mei 2014

SUP EKOR

Jalan-jalan cari makan kata orang Malaysia  atau wisata kulinari kata orang Indonesia.  Tujuannya sama sahaja iaitu nak makan sedap sambil menikmati pemandangan atau suasana yang menyeronokkan!
Sebenarnya ada tempat yang paling seronok untuk kita pergi cari makan.  Dimana?

Dapur!

Lebih-lebih lagi bagi sesiapa yang minat masak. Jom kita buat menu sedap ni.

SUP EKOR

Bahan-bahan:

1 kilogram ekor lembu  (rebus empuk)
2 batang serai (Ketuk)
2 biji bawang holland (Hiris bulat)
1 paket sup bunjut tulang
3 inci halia (ketuk)
2 inci lengkuas (ketuk)
1 biji tomato ( belah 4)
3 tangkai cili api (ketuk)
2 batang seleri (batang sup)
Garam, gula dan perasa secukupnya.

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan-bahan bersama sup bunjut tulang hingga wangi.

2. Masukkan ekor dan air rebusan,   biarkan mendidih dan ekor menjadi empuk.

3. Masukkan garam, gula dan bahan perasa secukupnya

4. Sedia dihidangkan.

GULAI SIPUT SEDUT

Bahan-bahan:

2 paket siput sedut-dlam 400 gram
200 gram santan pekat
air secukupnya untuk dijadikan kuah
6-7 daun kesum
2 batang serai-ketuk
3 keping asam keping
1 sudu besar kerisik

Bahan kisar lumat:

5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 cm kunyit hidup
4-5 biji cili kering
1/2 inci lengkuas
1 sudu kecil biji ketumbar

Cara membuat:

1.  Siput dicuci dan dipotong sedikit bahagian hujungnya.
2.  Satukan semua bahan ke dalam periuk dan masak hingga mendidih.
3.  Tambahkan garam dan gula.
4.  Hidangkan dengan nasi putih.

Selasa, 27 Mei 2014

MEMBACA, MENULIS DAN MENCIPTA SEJARAH

“Bacalah dengan nama Tuhanmu”

Membaca adalah amat penting, kalau tidak takkan Allah letakkan perintah membaca sebagai wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.  Mengapa perlu membaca? Kerana umumnya maklumat, ilmu, pengalaman, hasil kajian, sejarah dan lain-lain sumber pengetahuan itu boleh diperolehi dengan membaca.  Ia adalah kaedah asas bagi orang awam. 

Lainlah kalau seseorang itu adalah nabi dan Rasul yang mendapat pengetahuan tanpa perlu membaca, kerana mereka diberi pengetahuan secara langsung oleh Allah tanpa proses membaca seperti manusia biasa. Sebab itulah Rasulullah SAW itu ummiy (tak perlu membaca dan menulis) bukanlah satu kekurangan, malah satu bukti besar bahawa baginda adalah utusan Allah.  Dapat maklumat direct dari Allah terus ke dalam hatinya.  Banyak orang yahudi dan nasrani yang buat testing perihal keajaiban saluran maklumat Rasulullah SAW itu.  Mereka tanya macam-macam hal tentang masa lalu, Rasulullah jawab dengan jelas dan terang.  Bila mereka check dalam kitab Taurat dan Injil ternyata jawaban itu betul.  Begitu juga mereka tanya hal-hal yang akan datang, Rasulullah juga jawab dengan terang.  Bila perkara itu benar-benar berlaku, mereka pun tercengang.  Macamana Rasulullah boleh tahu?  Sebab Allah yang bagitau!

Jangan pula sesiapa mengartikan ummiy itu sebagai buta huruf macam manusia biasa.  Rasulullah SAW adalah saluran maklumat yang paling canggih sepanjang zaman sebab berbagai maklumat Allah salurkan kepada baginda tanpa perlu membaca dan menulis.  Baginda tahu apa yang berlaku sejak sebelum Nabi Adam hinggalah kiamat bahkan selepasnya, yang lahir dan yang ghaib sebanyak mana yang Allah beritahukan kepadanya. 

Bagi orang awam yang bukan nabi dan rasul, kita perlu membaca.  Bukan sebarang baca tapi baca dengan nama Tuhan.  Ertinya niat membaca, cara baca, perkara yang dibaca, hasil bacaan adalah kerana, untuk dan sesuai dengan kehendak Tuhan. 

Bila mahu membaca maka kenalah ada tulisan.  So, secara tak langsung, arahan membaca juga bermaksud menggalakkan kita menulis.  Maka berlakulah pertukaran maklumat.  Kita tulis orang baca, orang tulis kita baca.  Menulis pun sama jugalah, mestilah dengan nama Tuhan.  Ertinya niat menulis, cara tulis, perkara yang ditulis, hasil tulisan adalah kerana, untuk dan sesuai dengan kehendak Tuhan.

Orang kata, harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama.  Nama je ke?  Nama dalam erti sejarah orang itu, samada hal baik atau buruknya.  Macamana orang kemudian nak tahu?  Kalau cara dulu-dulu cerita seseorang dibawa secara turun-temurun, macam cerita Si Malin Kundang, Hang Tuah, Hang Jebat, Mahsuri, Puteri Gunung Ledang dll, dsb.  Cerita itu tersebar di kalangan rakyat, sebab itu ada orang kata dah jadi cerita rakyat.  Tentang kesahihan cerita itu payah nak cakap, mungkin sudah ada tokok tambah kita pun tak tahu.

Zaman sekarang pula macamana? Masih adakah anak cucu yang rajin bercerita tentang datuk nenek dia?  Ramai ke rakan taulan dan jiran-jiran yang tahu cerita kita?   Kalau orang itu glamor, berpengaruh, kaya atau berkuasa mungkin ada orang lain yang sibuk tulis cerita tentang dia.  Maka tersimpanlah tulisan-tulisan itu sebagai khazanah sejarah orang itu.  Tapi kebenarannya tak lah dijamin sangat, sebab orang lain yang tulis.  Kalau yang tulis itu penyokongnya mungkin cerita baik-baik, pujian-pujian sahaja yang ditulis.  Kalau yang tulis itu musuh atau penentangnya, maka yang ditulis yang buruk-buruk belaka.  Kalau yang tulis itu wartawan picisan, gossip sahajalah isinya.

So, cara paling selamat agar sejarah kita diingat dan dikenang orang dengan sebenarnya adalah kita tulis sendiri.  Tulis dengan nama Allah, supaya apa yang kita tulis itu kebenaran.  Bukan tulisan memuji diri, mengampu orang atau mengutuk orang.  Tulis apa sahaja perkara, yang penting apa yang kita tulis itu kebenaran.  Maksudnya benda betul, bukan tipu, bukan bohong.  Ia akan menjadi sejarah peninggalan kita.  Terpulanglah pada pembaca samada orang sezaman atau generasi hadapan nanti nak menilai kita macamana.  Dari tulisan akan tergambar peribadi seseorang itu. 

Macamana tulisan itu akan tersebar dan dibaca orang? Jangan risau sebab zaman ini teknologi maklumat dah berjuta kali canggih dari zaman adanya para nabi.  Kalau dulu orang Mekah nak tahu cerita yang berlaku di Jordan yang jarak tak jauh sangat tu, kena tunggu datangnya nabi baru tahu.  Tapi sekarang, apa yang berlaku di Ukraine, orang Kuala Lumpur pun dapat melihatnya secara langsung di kaca TV.  Apa yang terjadi di sebuah lorong di Jakarta, orang New York dapat melihatnya dengan internet.  Apa yang terjadi 100 tahun dahulu, kita dapat membacanya di arkib berita. Tugas rasul menyampaikan maklumat dari zaman lain atau tempat lain itu sudah diambilalih oleh teknologi maklumat.

Kita gunakan teknologi itu untuk menyampaikan perkara-perkara bermanfaat.  Ceritalah sesuatu yang boleh menjadi iktibar kepada sesama agar dapat memberi kesedaran khasnya pada diri sendiri. Secara tak langsung, kita juga sedang mengumpul maklumat tentang diri kita sendiri untuk diwariskan pada generasi akan datang.

Menulislah!  Dengan menulis kita mencipta sejarah.  Jangan biarkan dirimu hilang tanpa jejak!

Salsabeel 27 May 2014
(Terimakasih Mas Jiki, tulisan ini diinspirasikan dari comment anda: “Menulislah, maka kamu ada,  jangan biarkan sejarah menghapusmu tanpa jejak”)

Jumaat, 23 Mei 2014

JANGAN BUKA …..!

Shan’a’ adalah ibu kota Yaman. Pihak sekolah menengah perempuan di kota itu menetapkan dasar adanya pemeriksaan mengejut bagi seluruh pelajar puteri di dalam kelas. Pemeriksaan itu bertujuan merampas barang-barang yang dilarang di bawa ke sekolah, seperti: telefon bimbit yang di lengkapi dengan kamera, foto-foto, surat-surat, alat-alat kecantikan dan lain sebagainya. Pihak sekolah pun melakukan sweeping di seluruh kelas dengan penuh semangat. Mereka keluar kelas, masuk kelas lain. Sementara beg para pelajar puteri terbuka di hadapan mereka. Beg-beg tersebut tidak mengandungi apa-apa melainkan beberapa buku, pen, dan peralatan sekolah lain.

Semua kelas sudah diperiksa, hanya tinggal satu kelas sahaja. Dalam kelas tersebut terdapat seorang pelajar puteri yang menceritakan kisah ini. Apa gerangan yang terjadi?! Seperti biasa, dengan penuh percaya diri pasukan pemeriksa masuk ke dalam kelas. Mereka lantas meminta izin untuk memeriksa beg sekolah para pelajar puteri di sana. Pemeriksaan pun di mulai.  Di salah satu sudut kelas ada seorang pelajar puteri yang di kenal sangat tertutup dan pemalu. Dia juga di kenal sebagai seorang pelajar puteri yang berakhlak sopan dan santun. Dia tidak suka bercampur dengan pelajar-pelajar puteri lain.  Dia suka menyendiri, padahal dia sangat pintar dan menonjol dalam pelajaran. 

Dia memandang pasukan pemeriksa dengan pandangan penuh ketakutan, sementara tangannya berada di dalam beg miliknya! Semakin dekat pula untuk di periksa, semakin nampak raut takut pada wajahnya. Apakah sebenarnya yang disembunyikan pelajar puteri tersebut dalam begnya?! Tidak lama kemudian tibalah giliran untuk di periksa.  Dia memegang begnya dengan kuat, seolah berkata,
"Demi Allah kalian tidak boleh membukanya! "
Kini pemeriksa sudah di hadapannya.  Petugas itu memberi arahan dengan suara kuat,
“Buka beg kamu!"
Pelajar puteri tersebut memandang pemeriksa dengan pandangan sedih, ia pun kini telah meletakkan begnya dalam pelukan.
"Bagi beg kamu!" pemeriksa mengarahkan lagi.
Pelajar puteri tetap berdegil, lalu menoleh dan menjerit.
"Tidak ... tidak ... tidak .. "
Perdebatan pun berlaku makin rancak.
"Bagi sini beg kamu …!"
"Tidak .."
"Berikan …!"
"Tidak .."

Apakah sebenarnya yang membuat pelajar puteri tersebut menolak untuk dilakukan pemeriksaan pada begnya?! Apa sebenarnya yang ada dalam beg miliknya sampai dia takut diperiksa?! Kekecohan pun terjadi dan tangan mereka saling berebut. Namun beg tersebut masih di pegang erat dan para guru belum berjaya merampas beg dari tangan pelajar puteri tersebut kerana ia memeluknya dengan penuh kegilaan! Spontan sahaja pelajar puteri itu menangis sejadi-jadinya. Pelajar puteri-pelajar puteri lain terkejut. Mereka hairan sangat. Para guru yang mengenalinya sebagai seorang pelajar puteri yang pintar dan disiplin mereka terkejut melihat kejadian tersebut.  Buang tebiat ke budak ni?

Tempat itu pun berubah menjadi sunyi senyap. Ya Allah, apa sebenarnya yang berlaku dan apa gerangan yang ada di dalam beg pelajar puteri tersebut . Apakah mungkin pelajar puteri tersebut ....?? Setelah berbincang sekejap, pasukan pemeriksa sepakat untuk membawa pelajar puteri tersebut ke pejabat sekolah.  Mereka perhatikan betul-betul pelajar puteri tersebut supaya dia tidak boleh melemparkan sesuatu dari dalam begnya sehingga boleh terlepas begitu saja.  Mereka pun membawa pelajar puteri tersebut dengan penjagaan yang ketat dari pasukan dan para guru serta sebahagian pelajar puteri lain.

Pelajar puteri tersebut kini masuk ke bilik pejabat sekolah, sementara air matanya mengalir seperti hujan. Pelajar puteri tersebut memperhatikan orang-orang di sekitarnya dengan penuh kebencian, kerana mereka akan mempermalukannya di depan orang ramai! Karena perilakunya selama satu tahun ini baik dan tidak pernah melakukan kesalahan dan pelanggaran, maka guru besar sekolah menenangkan hadirin dan mengarahkan para pelajar puteri lain bersurai. Dan dengan penuh santun, guru besar sekolah juga memohon agar para guru meninggalkan ruangannya sehingga yang tinggal hanya guru besar dan pasukan pemeriksa saja.

Guru besar sekolah berusaha menenangkan pelajar puteri malang tersebut. Lantas bertanya padanya,
"Apa yang engkau sembunyikan wahai puteriku ..?"
Pelajar puteri tersebut tersentuh dengan suara lembut  guru besar sekolah yang baik itu dan membuka begnya!

Detik-detik yang menegangkan.  Semua orang teruja.
Ya Allah, apa sebenarnya benda tersebut? Cuba teka!!!
Di dalam beg tersebut tidak ada benda-benda terlarang atau haram, atau telefon bimbit atau foto-foto, demi Allah, itu semua tidak ada!
Tidak ada dalam beg itu melainkan sisa-sisa roti … !!!
Yah, itulah yang ada dalam beg tersebut! Guru besar mengorek maklumat dari pelajar puteri tersebut tentang roti itu.

Setelah merasa tenang, pelajar puteri itu berkata,
"Sisa-sisa roti ini adalah sisa-sisa dari para pelajar puteri yang mereka buang di tanah, lalu aku kumpulkan untuk kemudian aku sarapan dengan sebahagiannya dan membawa bakinya untuk keluargaku. Ibu dan saudari-saudariku di rumah tidak mempunyai sesuatu untuk mereka makan di siang dan malam hari bila aku tidak membawakan untuk mereka sisa-sisa roti ini.  Kami adalah keluarga fakir yang tidak mempunyai apa-apa. Kami tidak punya sanak saudara dan tidak ada yang peduli pada kami.  Inilah yang membuat aku menolak untuk membuka beg, agar aku tidak dimalukan di hadapan teman-temanku di kelas.  Kalau mereka tahu, pasti mereka akan terus menghinaku di sekolah.  Aku takut tak tahan dengan hinaan itu lalu berhenti sekolah kerana rasa malu. Maka saya mohon maaf sekali kepada anda semua atas perilaku saya yang tidak sopan"

Saat itu juga semua yang hadir menangis sejadi-jadinya, bahkan tangisan mereka berlangsung lama di hadapan pelajar puteri yang mulia tersebut.  Ini adalah satu dari tragedi yang mungkin ada di sekitar kita, samada kita tahu atau tidak atau kita tidak pedulikannya atau tahu tapi berpura-pura tidak mengenal mereka.  Kita yang tidak bernasib malang seperti pelajar puteri itu sudahkah BERSYUKUR dengan nikmat yang melimpahi kita?  Jom kita fikir-fikirkanlah!!

(Sumber Majalah Islam Antarabangsa Qiblati)

Selasa, 13 Mei 2014

AKU CINTA PADAMU

“CINTA adalah anugerah Allah, salah satu perasaan yang baik dalam hati manusia. Mencintai adalah merasakan bahawa yang kita cinta itu seolah-olah sempurna, kerana kekuatan cinta mampu membuatkan kita menerima dan memaafkan kecacatan apa yang kita cintai itu. Tuhan adalah Yang Maha Sempurna. Oleh kerana itu Cinta yang paling hakiki dan paling Agung adalah Cinta Tuhan.

Manusia tak sempurna, tapi manusia juga memerlukan cinta: mencintai dan dicintai. Oleh kerana itu Cinta bukan hanya mencari sesuatu yang sempurna tapi bagaimana mencintai sesuatu yang tak sempurna dengan baik dan tepat sesuai kehendak Tuhan”

Langit Kuala Lumpur cukup cerah, namun suasana jalan Ampang nampak membosankan. Betapa tidak, kesesakan selama berjam-jam terpaksa dilalui oleh para pengguna jalan raya.

Dalam sebuah kereta biru, duduk dengan tenang Bonda yang sedang dalam perjalanan balik dari ibu kota menuju rumahnya. Di sebelahnya, tepatnya di belakang stereng, duduk Nurul, seorang remaja puteri yang begitu setia sebagai pemandu Bonda. Mereka tiba-tiba dikejutkan oleh sebuah panggilan talipon, Bonda segera membuka comunicatornya.
“Aku nak mati! Aku nak mati! Aku nak bunuh diri je!” Pekik suara pemanggil menjerit histeris. Bonda dan Nurul saling berpandangan. Nurul  mengerutkan kening lalu geleng-geleng kepala.

Bonda memperhatikan nombor talipon pemanggil yang ternyata tidak dikenal, nombor itu tidak tercatat nama pemiliknya dalam communicator Bonda. Suara pemanggil itu juga payah dikenal sebab seperti suara orang yang sedang kena rasuk.

“Sabar sayang! Dengan siapa saya bercakap?” Tanya Bonda lembut.
“Jangan tanya-tanya…. aku cuma nak kamu bagitahu suami kurang ajar itu bahawa aku dah mati, biar dia puas…. Reza memang kejaaaam !!! ….. biar dia puas dengan kematianku…”, kata pemanggil itu dicelah-celah isak tangisnya. Klik! Talipon tiba-tiba terputus. Nurul dan Bonda beristighfar hampir bersamaan.
“Reza?”, Bonda cuba mengingat-ingat. Wajah Bonda berubah muram.
“Siapa Reza tu Bonda?, Tanya Nurul.
“Entahlah ….Bonda pun tak ingat,” berkerut kening Bonda cuba mengingat nama itu.
“Apa kena mengena perempuan tu dengan Reza? Kenapa dia nak bunuh diri pula?, Nurul mengejar Bonda dengan soalan lagi.
“Itulah masalahnya, Bonda tak ingat ….,” jawab Bonda lagi.
“Okey ..okey …cuba Bonda bertenang ….manalah tahu kot boleh ingat,” kata Nurul.
“Allahummasolliala Muhammad ….ya Allah dengan berkat nabi-Mu  tolong ingatkan aku siapa perempuan ini …,” Bonda mengeluh dengan cemas.
“Perempuan tu isteri Reza, kan?  Bonda ada klien yang tengah ada masalah nak bercerai ke?, tanya Nurul. 
”Oh….  Syani ….., Bonda dah ingat dah ….perempuan tu Syani …dia sedang ada masalah dengan suaminya, Reza.  Alhamdulillah …. soalan Nurul membantu Bonda ingat.
“Ya Allah …  Syani …Syani …..kenapa jadi begini?!!” kata Bonda semakin cemas.
“Nurul, cepat kita ke pangsapuri Kota Metro!”  Bonda memberi arahan.
“Siapa dia  Bonda? Kenapa nak bunuh diri?”
“Syani…dah beberapa kali dia talipon minta nasihat. Katanya dia dapat nombor talipon Bonda dari majalah. Dia ada masalah keluarga. Kelmarin  kami sembang-sembang lama di talipon. Rancangannya, besok baru nak jumpa di pangsapurinya. Kelmarin tu macam tenang je. Tapi entahlah, tiba-tiba je jadi begini.” Terang Bonda dengan gelisah, lalu segera membuka recent call mencari nombor Syani.
 
Di lokasi kejadian, Syani sedang menjerit-jerit di tingkap pangsapurinya di tingkat empat. Kerumunan orang yang riuh rendah menyaksikan kejadian tersebut dari bawah pangsapuri menambah tegangnya suasana.
“Aku  nak mati ! Aku nak tinggalkan dunia yang kejam ini!” Teriak Syani dengan separuh badan menjorok keluar tingkap dan satu tangan lagi bergayut di tepi tingkap. Sebelah tangannya masih memegang handphone. Sesekali Syani diam termenung tapi di waktu yang lain tiba-tiba berteriak-teriak histeris menyatakan keinginannya untuk bunuh diri.

Bonda yang masih dalam perjalanan kemudian segera menghubungi nombor talipon Syani, mencuba untuk  menenangkan Syani.
“Syani, tenang dulu ye. Bonda sedang dalam perjalanan ke pangsapuri Syani ni, dah nak sampai. Bukankah Syani janji nak jumpa Bonda?” Tanya Bonda lembut bagaikan ibu kandung.
“Tapi Syani dah tak tahan. Reza memang teruk! Kejamnya dia khianati Syani begini.” jawab Syani
“Syani... yakinlah, Tuhan pasti akan memberi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah ini.” Rayu Bonda lagi
“Syani nak mati saja ….., Syani dah tak tahan lagi….. Itu saja jalan penyelesaian …” Sahut Syani lagi.
“ Baiklah. Bonda nak minta satu saja pada Syani. Tolong dengarkan apa yang nak Bonda katakan ini.” Kata Bonda lagi tak putus asa.

Seketika itu juga Bonda membacakan satu nukilan tazkirah tentang kematian:

Jangan Sangka Mati Itu Senang
 
Ada orang menyangka mati itu senang
Apabila mati kita dikubur kemudian jadi tanah habis cerita
Yang susah hanya di dunia, apabila mati selesailah masalah
Orang ini tak pernah belajar, dia menganggap mati itu mudah
Padahal kalau tidak ada iman, syariat diabaikan mati sangat menyakitkan
Dia akan menempuh empat  babak yang sangat menakutkan
Sakitnya mati seperti pukulan tiga ratus pedang yang tajam
Di dalam kubur dipukul dan dihajar oleh malaikat dengan sangat sakit
Makin lama kiamat maka makin lama masa menerima azab kubur
Dia diazab tidak ringan
Dipukul dan dipalu oleh malaikat amat ganasnya
Terpekik terlolong tidak ada siapa yang menolongnya
Di padang mahsyar dibiarkan beratus-ratus tahun
Di dalam keadaan tidak berpakaian, matahari di atas ubun-ubun amat panas
Terlantar dan dibiarkan seperti cacing kepanasan tidak ada yang menolongnya
Masing-masing tidak peduli, masing-masing jaga diri
Akhir sekali meniti sirat al mustaqim, kemudian berguguranlah ke dalam api
Di dalam neraka yang panas dirantai dipukul dibelengu makan buah zaqum yang panas
Dengan bau busuknya kalau terbau oleh makhluk dunia semuanya mati
Di dalam neraka kekal abadi tidak diukur oleh masa lagi
Marilah kita insaf dengan cerita ini marilah kita menyiapkan diri
Agar kita selamat dengan penderitaan yang diceritakan tadi
 
Setelah mendengar tazkirah ringkas itu, tiba-tiba saja Syani meraung-raung ketakutan. Nafas Syani termengah-mengah tak beraturan.  Tiba-tiba saja tubuh yang tadinya tegang dan histeris itu terkulai jatuh ke dalam pangsapuri. Syani tersungkur pengsan. Jiran-jiran berlarian masuk ke rumah Syani. Bik Imah dan jiran-jiran perempuan mengangkat dan membaringkan Syani di atas katil. Sementara yang lain segera menutup tingkap dan menguncinya. Orang-orang yang berkerumun di bawah berangsur-angsur bergerak kembali ke tempat masing-masing.

Beberapa saat kemudian Bonda sampai ke pangsapuri itu. Bonda lega mendapati halaman pangsapuri yang lengang. Bonda meyakinkan dirinya bahawa tidak ada perkara buruk yang terjadi di pangsapuri itu. Bonda sangat yakin  Syani membatalkan niatnya untuk bunuh diri.
Bersama Nurul, Bonda naik sampai aras empat menggunakan lift.
Mudah sahaja mencari letak pintu rumah Syani kerana Bonda tinggal mencari nombornya saja saat sampai di aras empat itu.
Saat Bonda dan Nurul masuk, suasananya dah sunyi. Jiran-jiran dah balik ke rumah masing-masing. Bik Imah yang membukakan pintu. Bonda memperkenalkan diri dan Bik Imah mempersilakan Bonda dan Nurul untuk terus masuk saja ke bilik Syani yang katanya sudah sedar tapi masih lemah. Nampak ada tiga orang jiran perempuan yang masih berada di ruang tamu.
Salah seorang dari mereka menyambut Bonda dengan mesra.
“Alhamdulillah Bonda dah sampai, kami harap Bonda boleh selesaikan masalah Syani. Saya agak rapat dengan Syani. Dia ada bercerita tentang Bonda. Nampaknya dia sangat percaya dan berharap nak segera jumpa Bonda. Sebab tu saya tak benarkan sesiapa panggil polis dan bomba. Lagipun kalau kes ni sampai pada polis, nanti media tahu, malu pula Syani.”
“Terima kasih. Itu tindakan yang bijak. Kita kena tolong tutup aibnya dan bantu selesaikan masalahnya”, kata Bonda.
Saat Bonda dan Nurul masuk bilik, mata Syani masih terpejam dan terbaring lemah, namun beberapa saat kemudian kelopak mata Syani bergerak-gerak. Syani nampaknya sedar ada orang datang, dibukanya kedua matanya perlahan. Bonda lalu mendekati Syani,
"Syani, ini Bonda…… Syani apa khabar?" Tanya Bonda dengan suara lembutnya.
"Bonda...." Syani bangkit perlahan dan duduk, kemudian memeluk Bonda erat-erat. Dia seolah-olah dah kenal lama Bonda. Airmatanya meluncur deras, sedu-sedan jelas terdengar.
Bonda membiarkan Syani berbuat begitu, bahkan Bonda membelai-belai belakang Syani dengan penuh kasih sayang. Nurul, Bik Imah  dan tiga orang jiran yang ikut masuk ke bilik Syani itu ikut menangis terharu.
Setelah semua tenang, Bonda memberi isyarat supaya Nurul dan yang lainnya keluar untuk memberi kesempatan Syani bebas mencurahkan isi hatinya kepada Bonda. Syani memegang tangan Bonda erat-erat seakan-akan tak ingin dilepas lagi. Meluncurlah suatu kisah pilu yang menjadi sebab  keinginannya untuk mengakhiri hidup.

Semua berawal dari rasa marah terhadap Reza suaminya yang berlaku curang. Kes main kayu tiga yang  biasa terjadi dikalangan masyarakat saat ini pun terjadi juga di dalam keluarga yang mereka bina bersama selama sepuluh tahun.

Siapa sangka, kawan karib tempat Syani berkongsi masalah selama ini ternyata musuh dalam selimut di dalam rumah tangga mereka. Diam-diam Farhana, kawan karibnya itu ternyata bercinta  dengan suaminya. Dan semua itu baru diketahuinya beberapa hari yang lalu. Dengan tak sengaja dia melihat kereta Reza parking di sebuah hotel tempat Syani  sedang ada program meeting company di hotel tersebut.

Dan ketika Syani check bilik Reza di reception, rupanya  Reza baru saja check in bilik, namun tak sendiri, bersama seseorang yang membuat dada Syani sesak. Bagaimana tidak, Reza chek in bersama Farhana! Farhana kawan karibnya itu!

Dua hari yang lalu Reza memang memberitahu Syani katanya ada program outstation yang memaksanya tak dapat balik untuk beberapa hari dalam minggu ini. Anehya Farhana juga memberitahu nak balik kampung menjenguk ayahnya yang sedang sakit. Syani merasa begitu lurus tak sedar ada yang pelik atas kepergian mereka yang  seolah secara kebetulan waktunya bersamaan. Dan rupanya itu memang sebuah perancangan, mereka berkomplot untuk mengkhianati Syani. Kenyataan pahit itu sangat menghancurkan jiwanya. Bagaimana mungkin???!!

Dalam keadaan yang dikuasai oleh marah, panik, kecewa, dan bermacam perasaan tak menentu, Syani kemudian mencari mereka di bilik hotel. Syani memekik-mekik di luar pintu hingga Reza terpaksa keluar. Syani memaksa untuk masuk ke bilik itu. Syani yakin  dalam  bilik itu pasti ada Farhana, sebab receptionist kata Reza datang dengan isteri. Pandai pula Reza dan Farhana menipu!   Sakit betul hati Syani, rasa nak tonyoh muka Farhana yang tak tahu malu tu. Namun Reza berkeras melarang Syani masuk, Reza menghalangnya di pintu dan  mengusirnya. Reza hampir sahaja nak tampar Syani kalau tak dihalang oleh petugas hotel.  Akhirnya dengan hati teramat pedih, Syani meninggalkan tempat itu. Hatinya sakit, jiwanya berontak dan air mata dah sejak di ruang reception tadi deras mengalir di pipinya. 

Merasa tak puas, Syani menghubungi Farhana dengan privat number kerana Syani dah agak Farhana tak akan angkat talipon kalau pakai nombor biasa. Syani ingin tahu apa sebenarnya yang sedang berada di fikiran Farhana sampai sanggup merebut suami kawan karibnya sendiri. Namun Syani tak kuasa menahan emosi, tak sempat bertanya, Syani terus sahaja memaki hamun Farhana. Syani makin sakit hati, Farhana bukannya minta maaf malah menyalahkannya. Farhana menyatakan bahawa kerana Syani tak pedulikan Reza, maka Farhana menjadi tempat pelarian Reza.
“Dah engkau tak pandai jaga laki, jangan salahkan aku kalau laki engkau minat kat aku”, sanggup Farhana berkata begitu kepada kawan karibnya sendiri.
Hal itu menyedarkan Syani bahawa kemarahannya tak menyelesaikan masalah, malah menambah luka di hatinya.

Sebenarnya manisnya hidup berumah tangga hanya sempat Syani rasakan beberapa bulan saja setelah menikah. Setelah itu yang ada adalah krisis demi krisis.

Syani, seorang executive perhubungan disebuah syarikat jurutera perunding yang agak besar di ibukota, memiliki  pribadi yang cukup menyenangkan banyak orang. Cantik, mesra dan rajin. Tak peliklah kalau kerjaya Syani naik cepat, dan tak pelik juga bila ramai executive-executive muda yang masih bujang ataupun yang dah beristri  cuba mendekati Syani. Namun Syani tetap tak menghiraukan siapapun, kerana baginya kerjaya adalah segalanya.
Sampailah akhirnya, Reza datang mengisi ruang-ruang hidupnya, mengiringi kesibukan demi kesibukannya setiap hari.

Reza, salah seorang klien dari syarikat tempat Syani bekerja. Reza, mewakili syarikat keluarganya sering berurusan dengan Syani. Dari hubungan bisnis akhirnya berlanjut menjadi sepasang kekasih. Sikap Reza yang lembut dan penyayang telah menawan hati Syani.
Dan ketika Reza datang melamar Syani, tak ada penolakan apapun, kedua belah pihak keluargapun saling setuju. Walaupun akhirnya Syani mengetahui latar belakang Reza yang sebenarnya iaitu bukan saja anak orang kaya tapi ternyata Reza juga anak yang dimanja oleh orang tuanya. Memang sebelum menikah Syani tahu Reza adalah anak salah satu keluarga kaya di ibukota ini, namun sejak pertama kali bertemu sampai saat perkawinannya, Syani nampak Reza sebagai lelaki yang bekerja keras, berdikari dan sederhana.

Hidup bersama dalam satu ikatan rumah tangga menyingkap segalanya. Tak ada lagi yang dapat disembunyikan, watak dan sifat masing-masing yang tak nampak ketika bercinta, kini terlihat jelas.  Rupanya kehidupan Reza bergantung sepenuhnya pada keluarga. Dia hanyalah pegawai perhubungan dari syarikat kontraktor binaan peninggalan arwah ayahnya. Yang betul-betul bekerja keras adalah ibu dan abangnya. Namun di sebalik kelemahan itu ada sifat Reza yang membuat hati Syani cair, Reza mudah meminta maaf. Dan dia sangat berseni dalam mengambil hatinya. Setiap hadiah dari Reza yang diberikan kepada Syani, terutama jika ingin meminta maaf, ditulisnya kalimat “Aku Cinta Padamu”. Ayat itu seolah-olah ‘bendera putih’ tanda menyerah kalah atau mengaku salah.

Pada awalnya kemanisan pernikahan masih boleh menutupi segala kekurangan, ujian demi ujian di sebalik nikmat dapat dilepasi, sampailah akhirnya Syani harus menerima kenyataan bahawa suaminya telah melakukan  kejahatan rumah tangga yang sangat memukul naluri kewanitaannya.

Reza bercinta dengan perempuan lain. Yang lebih menyakitkan lagi bagi Syani, perempuan itu  lebih tepat  menjadi ibu bagi Reza. Semua terjadi setelah ujian menimpa keluarga besar Reza, ibu dan abang Reza kemalangan. Reza terpaksa menguruskan semua hal syarikat secara mengejut.  Ketidakcekapan Reza menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian besar sehingga  berada diambang kebangkrapan.

Reza dengan mudahnya membuat keputusan berbaik-baik dengan salah seorang perempuan iaitu bos syarikat pembekal besar yang banyak memberi hutang kepada syarikat keluarganya demi menyelamatkan syarikat keluarganya itu. Perhubungan itu berlanjut hingga Reza bercinta dengan perempuan tua itu! Reza sanggup jadi sugar dady demi wang!

Syani cuba meyakinkan Reza bahawa bukan itu cara untuk mendapat kesenangan hidup. Mereka mesti bekerja keras. Akhirnya Syani bekerja keras untuk membantu Reza melepaskan diri dari ketergantungannya pada syarikat keluarganya. Lagipun, Reza memang tak minat dan tak mampu bekerja di bidang kontraktor binaan. Atas bantuan Syani dan kawan karibnya, Farhana, kini Reza mulai bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat pengiklanan dimana Farhana adalah pemilik saham dan pegawai penting di syarikat itu. Watak Reza yang mudah mesra memang sesuai untuk kerjaya pemasaran.

Lambat laun kondisi kewangan keluarga mereka semakin mantap. Tapi malangnya mereka semakin jarang bertemu. Reza dan Syani sibuk dengan projek masing-masing. Tengah malam baru mereka balik dalam keadaan sama-sama keletihan. Hari-hari cuti pun jarang mereka nikmati bersama kerana masing-masing sibuk bekerja mencari wang.  Yang lebih parah lagi, kesibukan mereka mencari wang telah membuat mereka lalai dengan Tuhan. Sholat ditinggalkan! Kalau sesekali dibuat sekedar bila berkumpul dengan keluarga. Reza juga hanya sesekali sholat Jumaat semata-mata kerana malu kepada kawan-kawan.

Makin hari Syani semakin sibuk, apalagi setelah dia membuat bisnis sampingan untuk menambah penghasilan selain dari gaji tetapnya. Kadang-kadang dia langsung tak balik ke rumah. Urusan rumah tangga diserahkan sepenuhnya kepada Bik Imah, pembantu rumahnya. Bahkan Danial anak tunggalnya yang baru berumur 6 tahun dihantar ke kampung tinggal bersama ibunya. Syani hanya menjenguknya sebulan sekali atau mengirim wang saja kepada ibunya.

Suasana ini sangat menekan Reza. Sudah beberapa kali Reza minta Syani banyak tinggal di rumah terutama di hari cuti, tapi kelihatannya Syani dah workalcoholic, gila kerja, payah nak dihentikan. Reza sering kesepian. Di saat-saat begitu dia banyak mencurahkan isi hatinya kepada Farhana bosnya yang juga kawan baik Syani. Lambat laun mereka jadi semakin rapat, bukan saja urusan kerja tapi juga urusan peribadi. Suami Farhana pula adalah pengusaha besar yang selalu outstation termasuk ke luar negara. Rasa senasib sebagai suami dan isteri yang kesepian akhirnya menjerumuskan mereka dalam satu percintaan haram.

Syani benar-benar tak sanggup menerima kenyataan ini. Reza, suami yang dicintainya dan Farhana kawan karibnya sanggup mengkhianatinya? Lebih parah lagi ketika mereka terserempak dan  Syani menyerang mereka di hotel beberapa hari yang lalu. Reza dan Farhana sama-sama menyalahkan Syani yang mereka anggap sebagai penyebab percintaan haram itu. Mereka menuduh Syani lebih mementingkan kerjaya dan tak nak memberi perhatian kepada suami. Sakitnya hati Syani....suami yang dicintai dan sahabat yang disayangi sanggup berkomplot untuk mengkhianati bahkan menyalahkannya!

Syani kembali menangis.
“Bonda..saya benar-benar tak tahan. Bonda..tolonglah saya.” Perlahan suara Syani merayu pada Bonda dengan sedih.
“Sabarlah dan yakinlah bahawa ini semua ujian dari Tuhan. Dia nak melihat apakah Syani boleh sabar dengan ujian ini dan memahami apa maksud Tuhan di sebaliknya. Tuhan juga pasti akan menyelesaikannya. Cuma tergantung kita, apakah kita nak merujuk, menyerah diri meminta bantuan pada-Nya atau kita mencari jalan lain atau kita  berputus asa.” Hibur Bonda sambil menepuk-nepuk bahu Syani.
”Memang ada kawan yang memberi nasihat supaya Syani cari bomoh untuk menundukkan Reza, tapi Syani tak nak. Syani tahu itu cara yang salah, Bonda.” Kata Syani.
"Lalu kamu fikir kematian saja yang boleh menyelesaikan masalah ini?" Sahut Bonda.
"Tidak...tidak.. Tidak Bonda. Syani tak nak mati. Syani banyak dosa..Syani tak sanggup menghadapi siksaan kubur..." Sahut Syani segera.
Tiba-tiba Syani ketakutan,
"Takut..takut...ampun...ampun.." Rintih Syani.
Syani semakin ketakutan, kelakuannya seperti seseorang yang sedang disiksa. Dia memegang kepala seolah-olah seperti melindungi kepalanya dari dipukul orang.
"Syani, tenang…tenang...cuba ceritakan apa yang kamu rasakan..."
Beberapa saat kemudian Syani kembali tenang, kemudian dengan serius dia memulai ceritanya.

"Setelah menalipon Bonda tadi, saya hampir terjun dari tingkap. Tapi beruntunglah Bonda menalipon lagi dan membacakan tazkirah tentang kematian itu. Setelah selesai mendengarnya tiba-tiba saya diperlihatkan satu bayangan orang yang nak membunuh saya dengan pedang. Saya takut sekali lalu saya pingsan. Sewaktu pingsan itu roh saya seperti dibawa ke satu tempat menyaksikan satu pemandangan yang sangat menakutkan.” Terang Syani sambil menutup seluruh wajah dengan kedua tapak tangannya, seolah-olah yang diceritakan itu sedang disaksikan di hadapannya sekarang. Bonda kembali membelai bahu Syani untuk menenangkannya.

“Bonda, ada dua makhluk mendekati saya…dua makhluk…saya tak tahu makhluk apa namanya kerana mereka sangat buruk rupanya dan sangat busuk baunya. Mereka menatap saya dengan pandangan tajam, seolah-olah menghunjam ke dalam hati saya, saya sungguh takut, pandangannyapun menyakitkan.
Tiba-tiba saya mendengar lengkingan suara yang belum pernah saya dengar sebelumnya. Kekuatan bunyi itu lebih dahsyat dari petir. Beberapa saat kemudian saya baru sedar bahawa bunyi kuat itu adalah suara dua makhluk di hadapan saya.
“Siapa Tuhanmu?” Tanya salah seorang dari mereka. Bukan sahaja bulu roma saya tegak bahkan seluruh syaraf-syaraf yang ada dalam tubuh saya rasa tegak semua, sangat menakutkan, suaranya lebih mengerikan daripada suara petir yang sangat ganas sekalipun.
Namun saya seperti orang dungu ditanya begitu. Saya tak tahu nak jawab apa, saya  tak faham dengan pertanyaan mereka.
“Siapa Tuhanmu?” Tanya mereka lagi. Saya semakin terperanjat dan takut, namun saya boleh memahami pertanyaannya dan saya tahu jawabannya. Anehnya saya tak mampu mengucapkannya, hati saya berkata  ‘Allah’ Tuhan saya, namun bibir saya terkunci rapat sehingga mereka  semakin marah kerana pertanyaannya tak juga mampu saya jawab. Sampai akhirnya berkali-kali mereka memberikan pertanyaan yang sama. Berkali-kali sampai gegendang telinga saya nak pecah, saya menangis, lalu dengan susah payah akhirnya saya berhasil mengatakan jawabannya. Saya begitu lega boleh mengucapkan nama Allah. Saya harap mereka akan tenang dengan jawaban saya. Namun tiba-tiba tanpa disangka-sangka, wajah mereka terlihat semakin murka.
“Bohong!” Seru mereka bersamaan. Tubuh saya semakin menggingil dan gemetar. 
“Penipu! Mulut engkau bercakap  tuhanmu  Allah, tapi sebenarnya kau tak pernah menuhankan Allah.” pekik mereka.
Bayangkan, tak memekik pun suara mereka dah melengking menakutkan, apalagi kalau memekik. Sungguh, rasanya darah ini berhenti mengalir.
“Kau menuhankan suamimu!” Seru salah satu dari mereka. Saya menggeleng kuat. Mana mungkin saya menganggap suami saya sebagai Tuhan?
“Kau mencintainya dan memujanya sampai melupakan Tuhanmu yang sesungguhnya.” Kata yang satunya lagi.
Oh benarkah itu? Saya semakin takut. Seluruh darah sepertinya tersedut habis oleh rasa ketakutan.
“Tapi kau tak melayani suamimu dengan baik, kau mengabaikannya demi cintamu pada yang lain, iaitu tuhanmu yang lain lagi, iaitu kerjaya dan bisnismu, padahal katanya kau mencintai suamimu dengan sepenuh hati.” Saya menangis melolong sejadi-jadinya.
“Mana tuhanmu? Siapa sebenarnya tuhanmu?” Tanya mereka lagi.
Ketakutan saya semakin memuncak. Saya ingat, saya memang terlalu mencintai suami saya, saya rela berbuat apa saja demi dia, namun anehnya dengan ringannya saya meninggalkan dia hanya untuk urusan pejabat dan bisnis. Rupanya saya juga menuhankan kerjaya hingga saya juga menghantar  anak kepada ibu saya demi kerjaya. Saya ingat itu semua dalam ketakutan saya tadi. Dan yang paling membuat saya takut sampai meraung-raung adalah ingatan saya pada Allah, Tuhan saya yang Maha Baik. Saya mengingat-ingat bila terakhir kali saya mengingat Allah? Bila saya sholat? Walaupun saya sering menyebutnya tapi saya jarang merasakan peranan-Nya dalam hidup saya. Rasanya jarang sekali, hampir tak pernah, sekalipun saya telah mendapat dugaan berat sebelum ini, namun tetap saja saya melupakannya. Saya tak merasa bahawa ujian ini dari Allah.  Saya hanya melihat ujian ini kerana kejahatan orang lain. Dalam sholat saya yang hanya sekali-kali itupun entah berapa minit sahaja saya ingat dengan Allah. Sholat saya tak pernah khusyuk pun. Sholat sekadar memenuhi kewajiban tapi tak ada penghayatan.

Akhirnya mereka yang berwajah menyeramkan dengan bau menyengat itu mendekati saya, memukulkan godamnya berkali-kali di kepala saya, kepala saya rasanya dah hancur berkecai, tak tertahankan sakitnya. Saya berharap kepala saya hancur lalu saya mati agar sakitnya tak terasa lagi, namun itu tak terjadi, kepala saya tetap wujud. Makhluk yang seorang lagi  memukuli tubuh saya dengan palu besi sebesar kapak. Mereka tak peduli dengan lolongan saya meminta ampun. Sungguh sakitnya tak terperi, bahkan masih terasa sampai sekarang, busuknya bau mereka juga seakan merasuk ke dalam seluruh saraf saya.”

Syani menangis terisak-isak.
"Syukurlah... Tuhan telah memberimu hidayah. Tuhan telah menyelamatkanmu dari kematian yang sia-sia."
"Terima kasih Tuhan... " Rintih Syani dengan suara terputus-putus di celah-celah isak tangisnya.
"Marilah kita berfikiran positif. Rupanya dibalik ujian yang menimpa keluarga  Syani, sebenarnya Tuhan nak Syani kembali merujuk kepada-Nya. Mungkin selama ini Syani hanya memberi cinta kepada suami  dan melupakan Tuhan. Sedangkan Tuhan itu lebih patut dicintai. Akhirnya Tuhan ambil suamimu supaya kamu kembali mengingati dan mencintai-Nya." Terang Bonda.
"Betul Bonda, selama ini saya memang lalai dengan Tuhan. Selama ini saya rasakan Reza itulah segala-galanya. Sebab itulah ketika dia mengkhianati saya, saya nak gila, saya seperti kehilangan segalanya hingga terfikir nak bunuh diri." Sahut Syani.
"Sebenarnya suami itu Tuhan hadiahkan kepada kita untuk menjadi kawan dalam kita menempuh perjalanan menuju Tuhan. Sepatutnya kita dan suami bersama-sama dalam mencintai Tuhan. InsyaAllah kalau kita sama-sama mencintai Tuhan, kasih sayang antara suami dan isteri itu akan lahir dengan sendirinya. Itulah mawaddah wa rahmah yang Tuhan janjikan kepada setiap keluarga yang membesarkan-Nya."

"Betul Bonda, sepatutnya saya mencintai Tuhan kerana sebenarnya Tuhanlah yang menciptakan cinta kasih suami isteri itu. Dia dapat menumbuhkan dan mencabutnya bila-bila masa sahaja."

Sejak kejadian itu Syani meninggalkan pangsapuri Kota Metro yang mengingatkannya pada kenangan-kenangan pahit. Yang paling getir adalah kebodohannya berniat terjun dari pangsapuri itu, seolah-olah nyawa memang ada di tangannya. Syani amat malu jika mengingat itu. Maka dimantapkan hatinya untuk hijrah ke salah satu rumah di antara dua rumah yang dimilikinya di pinggiran Kuala Lumpur. Selama ini rumah itu disewakan dan sekaligus asset pelaburan masa depan. Syani berniat sungguh-sungguh, dengan hijrahnya dia ke rumah baru, dia juga akan hijrah dari kejahilan menuju redha dan cinta Tuhan. Syani juga bercadang akan menjaga anak tunggalnya dengan penuh kasih sayang selepas Danial habis periksa sekolah akhir tahun nanti .

Syani benar-benar berubah. Dia mulai serius mencari ilmu-ilmu agama terutama tentang perhubungannya dengan Tuhan. Dia mengikuti kursus sholat membina pribadi agung yang dianjurkan oleh syarikat motivasi dimana Bonda adalah salah seorang pengarahnya. Syani benar-benar berusaha menjalin hubungan cinta dengan Tuhan. Lambat laun Syani mulai dapat menerima kenyataan perbuatan Reza terhadapnya. Syani yang selama ini dikenal sebagai wanita besi dan business woman yang sibuk siang malam mencari wang, kini jadi ramah, mudah membantu walaupun tetap saja aktif dalam kerja dan aktiviti kemasyarakatan. Pakaiannya sebagai seorang muslimah semakin baik, auratnya ditutup dengan rapi. Sholatnya istiqamah, baik di pejabat atau di mana saja. Kemana-mana dia selalu membawa telekong dan sejadah di keretanya. Di waktu malam kelihatan Syani begitu serius beribadah, bermanja-manja dengan Tuhan. Diam-diam kini Syani mempunyai budaya hidup yang baru. Semua hadiah dari Reza yang bertuliskan Aku Cinta Padamu kini dia ubah. Huruf m kecil Syani conteng dan ganti dengan M besar menjadi Aku Cinta Pada-Mu sebuah ikrar bahawa kini dia sedang mencuba untuk mencintai Tuhan.

---
Lima bulan berlalu. Suatu malam, beberapa menit menjelang Isyak, Syani baru sampai ke rumah dari tempat kerja. Seperti biasa Syani membunyikan hon kereta, memberi isyarat kepada Bik Imah bahawa dia dah balik. Namun berkali-kali Syani membunyikan hon, Bik Imah tetap tak muncul juga. Akhirnya  Syani turun dari kereta, terus menuju pintu yang rupanya tak dikunci. Tapi tak seperti biasanya, Bik Imah  tak menyambutnya di pintu. Syani fikir mungkin Bik Imah sedang sibuk menyiapkan makan malam di dapur. Kedengaran ada bunyi orang cuci pinggan di dapur. Syani terus ke biliknya, dia nak mandi dan bersiap-siap untuk sholat Isyak. Di tengah jalan tadi Syani menyempatkan diri untuk sholat Maghrib di mesjid.
Saat Syani membuka pintu bilik, dia terkejut melihat ada sejambak bunga yang diletakkan di meja biliknya. Syani meneliti siapa pengirimnya tapi tak ditemukannya. Gubahan mawar merah segar itu sangat indah, diletak dalam bakul rotan comel  yang tak sepadan dengan mawar yang jumlahnya banyak, namun itu menambah keindahannya apalagi dihiasi pula dengan ribbon-ribbon kecil berwarna-warni di sekeliling bakul comel itu.
“Bik Imaaah!” Teriak Syani  memanggil pembantu rumahnya dari bilik  Syani yang pintunya masih terbuka.

“Bik Imah, siapa kirim bunga ni?” pekik Syani.
Tapi tak ada jawaban, sepertinya Bik Imah benar-benar tak dengar panggilannya. Pelik juga, biasanya kalau dia pekik macam ni, Bik Imah tengah tidur pun akan terjaga.
Syani mengangkat bunga itu dan menciumnya, tiba-tiba sebuah envelop kecil yang terletak dibawah bunga itu terseret dan terjatuh di lantai, lalu Syani mengambilnya. Dibukanya envelop itu perlahan, tak ada nama pengirim, hanya sebaris perkataan tertulis pada kad berbentuk hati dalam envelop itu yang begitu dia kenal AKU CINTA PADAMU.

"Reza...." Pekik Syani.
Syani dengan tergesa-gesa keluar dari bilik, maksudnya ingin mencari Bik Imah nak bertanya bila dan siapa yang menghantar bunga itu, namun di pintu bilik dia melanggar badan seseorang. Ya, seorang lelaki tegap berpakaian lengkap seperti baru selesai sholat menghadangnya di pintu...dan lelaki itu adalah...Reza! Syani terkesiap, ada perasaan gembira bercampur sedih dan takut tiba-tiba mendera jiwanya.
Reza melebarkan kedua tangan seperti hendak memeluknya dan Syani hampir saja menyambutnya, tapi dia  tersentak dan mundur.
"Reza..?" Syani hairan. Matanya memandang tepat ke arah lelaki itu hampir tak percaya.
Reza yang memang dah lama berdiri di depan pintu memperhatikan gelagat Syani, seperti dah membaca fikiran istrinya itu. Reza lalu menunjukkan beberapa anak kunci.
"Abang masuk rumah dengan kunci ini." Katanya.
"Haah! Itu kan kunci simpanan Bik Imah?” kata Syani. Dicuba sekuatnya menekan perasaannya.
"Betul... abang tahu kunci lama dah tak boleh dipakai sebab Syani dah mengganti semua kunci pintu, kan? Abang dah tiga kali menjadi tamu Bik Imah. Tadi pagi abang mengantarnya ke airport, kakaknya di kampung baru meninggal. Dia minta cuti balik kampung dua  minggu. Abang yang uruskan tiketnya. Abang minta maaf sebab abang yang melarangnya memberitahu Syani.” Terang Reza panjang lebar.
"Jadi...?” Syani tercekat, hampir tak mampu berkata-kata.
"Ye...Bik Imah sedang tak ada di rumah ini”. Kata Reza sambil tersenyum.
“Sampai hati bibik buat macamni ….”, perlahan suara Syani.
“Jangan salahkan dia. Abang yang suruh. Bukan nak susahkan Syani. Abang bersedia mengganti tempat Bik Imah menemani Syani selama dia di kampung, supaya tak kesepian. Boleh, kan?” Reza tersenyum nakal.
“Tapi…..”
”Ya…abang sedar, abang memang suami yang jahat. Tapi abang mohon berilah abang kesempatan, setidaknya untuk menceritakan apa yang telah terjadi selama ini.”
Syani jadi bingung, tak tahu nak buat apa. Pandai Reza buat perangkap. Bibik pula sangat memberi kerjasama. Nak halau Reza, macam kurang ajar pula. Lagipun, ini rumah Reza juga. Tapi nak terima dia pun tak semudah itu. Macam-macam sangkaan bermain di benaknya.
Dari kejauhan terdengar sayup-sayup suara azan.
”Ba …ba …baiklah…saya nak bersiap sholat Isya dulu.” Kata Syani tergagap.
“Terima kasih… Abang tunggu di ruang sholat, kita sholat berjemaah ye?” Ajakan Reza menambah kebingungan Syani.
“Aik ….sejak bila pula dia sholat? Siap ajak berjemaah pula tu! Baiknya dia, macam ustaz pula … betul ke ini Reza suami aku,” kata hati Syani setengah tak percaya.
Malam itu Reza dan Syani sholat Isya berjemaah. Syani hampir tak percaya ketika Reza mengimaminya sholat Isya dengan begitu tenang dan bacaan yang fasih.
“Dimana dia belajar? Bila dia belajar? Sejak bila dia berubah? Apakah aku sedang bermimpi?” Berulang-ulang Syani bertanya-tanya dalam hatinya. Maha Kuasa Tuhan yang telah mengubah Reza dengan begitu ketara.

Setelah selesai sholat dan berdoa, Reza membalikkan badannya, duduk menghadap Syani di ruang sholat itu. Masing-masing merasa kekok, seperti orang yang baru kenal satu sama lain.
“Boleh abang mula bercakap?” Tanya Reza setelah beberapa minit membisu. Syani mengangguk.
”Mula-mula Abang mohon maaf kerana masuk ke rumah ini tanpa izin dari Syani.” Kata Reza.
”Ah…tak apa. Ini kan rumah abang juga,” jawab Syani sambil tersenyum. Ada kelembutan dalam nada suaranya.
”Abang juga ucapkan terima kasih kerana Syani sudi memberi kesempatan pada abang untuk bercakap.”
”Silalah…. insyaAllah saya boleh jadi pendengar yang baik,”jawab Syani semakin ramah
”Hmm… panjang ceritanya…

Setelah Syani jumpa abang di hotel lima bulan yang lalu, abang jadi serba salah. Abang minta maaf, sebenarnya saat itu abang memang bersama Farhana.” Hati Syani kembali pedih mengingat peristiwa itu dan mendengar pengakuan suaminya, namun masih dicubanya menahan perasaannya yang tiba-tiba bergemuruh.

“Namun kami tak sempat berbuat apa-apa. Tuhan Yang Maha Baik telah mencegah perbuatan nista itu dengan kedatangan Syani yang pada akhirnya membuat kami berfikir rasional.”
Cess…sebentuk bongkahan ais terasa menyejukkan hati Syani mendengar pengakuan suaminya itu. Hati Syani begitu lega mengetahui Reza tak berbuat hina dengan Farhana.

“Walaupun waktu itu kami sempat menyalahkanmu, tapi sebenarnya hati kecil kami tersiksa. Apalagi ketika abang dan Farhana mendengar Syani melakukan percubaan bunuh diri, kami jadi semakin merasa bersalah. Farhana terlalu malu denganmu. Dia  begitu menyesal telah berkhianat kepada sahabat karibnya sendiri.  Akhirnya dia membuat keputusan pindah ke luar negara ikut suaminya yang membuka bisnis baru di Maldives. Dia hanya meninggalkan pesan permintaan maaf kepada Syani melalui abang. Tinggallah abang seorang melalui hari-hari yang penuh penyesalan dan kekesalan. Tapi nasi telah menjadi bubur. Abang terlalu malu untuk menghadap dan meminta maaf kepada Syani. Abang sedar, kesalahan kali ini terlalu besar, terlalu payah untuk Syani maafkan. Namun, di hati kecil ini, abang tetap mencintai Syani.” Lembut suara Reza saat mengucapkan ayat terakhir, membuat pipi putih pualam Syani merona merah.

“Lebih kurang seminggu setelah abang dengar Syani melakukan percubaan bunuh diri, ada kejadian ganjil berlaku pada abang. Tengah hari itu abang baru turun dari kereta di kawasan parking pejabat abang. Tiba-tiba ada kawan call. abang pun mundar-mandir di sekitar tempat parking tu sambil menjawab panggilan talipon. Beberapa saat setelah abang selesai bercakap, seorang tukang sapu menghampiri abang. Abang sempat melihat sekilas pakcik tua itu sejak tadi memerhatikan abang yang sedang bercakap di talipon. Semakin dekat, pakcik itu semakin mengamati wajah abang. Abang jadi kekok, bahkan abang sempat berfikir orang ini tak betul kot.  Apalagi tiba-tiba saja pakcik itu menunjuk-nunjuk wajah abang sambil tersenyum, “kesian ..kesian ..kesian.” katanya sambil menggelengkan kepala. Abang sama sekali tak faham pakcik itu nak apa dari abang.  Yang ada dalam benak abang adalah orang ini memang benar-benar tak waras. Anehnya,  abang tak pergi meninggalkannya, padahal selama ini abang tak pernah memperdulikan hal-hal remeh seperti itu, apalagi pada pakcik tukang sapu tu.
“Maaf Encik …boleh pakcik cakap sikit” kata pakcik  itu semakin dekat. Abang tak minat langsung tapi peliknya abang masih juga belum nak berganjak dari hadapannya.
“Pakcik nak cakap apa? Apasal tiba-tiba je pakcik nak cakap dengan saya ni?” Tanya abang dengan muka masam, namun pakcik itu masih saja tersenyum.
“Kita memang belum saling kenal. Tapi pakcik dah selalu tengok Encik. Kenalkan nama saya Ahmad, kalau nama Encik …. Reza kan?.” Kata pakcik itu lagi sambil menjeling nametag didada abang. Dia mengulurkan tangannya namun abang tak hiraukan.
“Pakcik dah beberapa kali melihat Encik meskipun sekilas, pakcik juga heran mengapa tiba-tiba je pakcik tergerak hati nak cakap dengan Encik.”
“Sudahlah pakcik, saya tak banyak masa ni, pakcik nak cakap apa?
“Maafkan pakcik, siapalah pakcik nak tegur Encik Reza. Tapi pakcik rasa kesian je. Pakcik tengok akhir-akhir ni Encik macam serabut je. Tengoklah tu, pakaian tak matching, berkedut pula tu. Rambut dan jambang tak terurus. Apa masalah Encik sebenarnya? Gaduh dengan isteri ke?”
Otomatik abang tengok baju, seluar dan necktie abang, memang tak matching dan tak licin. Abang pegang jambang abang yang memang dah serabut.
“Hemmm ….terima kasih lah kerana pakcik ambilberat hal saya.”
“Bukan apa, bila tengok Encik, saya terkenangkan arwah anak lelaki saya,” kata pakcik tu dengan suara sedih.
“Oh …pakcik kematian anak ke?” tiba-tiba abang jadi rasa simpati pula bila dengar suara sedihnya itu.
“Ye … 3 bulan lepas.  Anak pakcik muda lagi …. mungkin sebaya Encik. Pasal ikut sangat jiwa muda tu akhirnya dia bernasib malang” kata pakcik dengan nada kesal.
“Apa yang berlaku pada anak pakcik?”, abang semakin tertarik dengan cerita pakcik tu.
“Anak pakcik ni bukannya sekolah tinggi. Walaupun dia ada sakit lelah, tapi dia rajin berusaha. Maklumlah anak orang miskin, mak dia pula dah lama meninggal. Dia berniaga elok, buka bengkel motor. Isteri baik, anak baru seorang. Bolehlah hidup ala kadar kat bandar besar ni. Tapi dia tak sabar ….. nak cepat hidup senang. Dapat pula peluang niaga cepat kaya dari seorang janda kaya. Bengkel motor pun dia tutup. Dah ke hulu-ke hilir pula dengan si janda tu. Last-last kena tangkap khalwat. Isteri balik kampung. Si janda tu pula bukannya  nak kahwin dengan anak pakcik yang miskin tu. Cuma nak seronok-seronok je. Si janda itupun pergi tinggalkan dia. Anak pakcik tinggallah sorang. Apa pun takde. Duit tak ada, kerja tak ada, rumah pun dah tak mampu nak bayar sewa. Akhirnya dia menumpang di gerobok buruk pakcik kat kampung setinggan.   Penyakit lelah dia makin parah. Akhirnya dia mati meragan sorang-sorang”. Pakcik itu menghentikan ceritanya dengan suara yang semakin sebak.

Tanpa sedar abang jadi ikut sedih mendengar cerita pakcik itu.
“Hemm …saya minta maaf kalau saya telah membuat pakcik jadi terkenangkan anak pakcik. Sabarlah lah ye. Nampaknya pakcik menerima ujian lebih berat dari saya”.

Pakcik itu memandang abang dan tersenyum. Lalu dia kembali menyapu di tengah teriknya matahari. Abang jadi malu, pakcik yang sudah tua begitu, sudahlah kerja berat, didera pula oleh panasnya matahari, sedangkan abang yang duduk di kursi empuk dalam ruangan, masih merungut walaupun dah pakai aircond, walhal abang jauh lebih muda dari dia.

Dipendekkan cerita abang jadi bersimpati  dengan pakcik Ahmad tu. Rasa macam ayah pula. Petangnya Abang singgah kedai baju, membeli beberapa kemeja dan seluar yang abang agak-agak boleh muat di badan pakcik Ahmad tu.  Entahlah, ada apa dengan Abang, mungkin Abang terlalu bersimpati mendengar cerita pakcik Ahmad tu. Atau sebagai tanda syukur abang kepada Allah kerana ujian yang menimpa abang tidaklah seteruk yang dialami anak pakcik Ahmad. Petang itu abang habiskan masa membeli barang-barang untuk pakcik Ahmad. Abang juga membelikan kasut, capal, kopiah, kain pelikat dan juga sejadah. Ada kebahagiaan tersendiri membayangkan pancaran kebahagiaan pakcik Ahmad atas hadiah itu. Esok masa rehat tengahari abang akan berikan hadiah itu ,padanya. Pelik juga. kan? Syani dah kenal Abang selama sepuluh tahun, Abang ni kan jenis tak peduli hal orang, tiba-tiba je jadi berubah” tanya Reza. Syani tidak mampu menjawab, matanya lurus menatap Reza dengan rasa syukur yang mendalam.

“Lepas tu macamana? Pakcik Ahmad menerima hadiah dari abang tu ke?” Tanya Syani mencuba menguasai perasaan harunya.
“Ye  … dan sesuai bayanganku, pakcik Ahmad begitu bahagia, ada air yang bertakung di pelupuk matanya. Pakcik Ahmad menciumi hadiah itu, macam mahal sangat. Ah, begitu berhargakah hadiah-hadiah itu? Padahal harganya sama sahaja nilainya dengan harga sekali makan abang di restoran mewah"
“Terima kasih Tuhan, ini adalah rezeki dari Allah yang disalurkan melalui tangan Encik. InsyaAllah pakcik akan menggunakannya seperlunya, selebihnya akan pakcik agihkan pada yang lain.” Abang semakin terpana. Berapa lama abang melupakan Tuhan? Padahal kekayaan yang sudah dilimpahkan-Nya pada abang jauh melebihi orang lain. Sedangkan pakcik Ahmad yang hanya diberi hadiah tak seberapa itu terus saja memuji-muji nama Allah, bersyukur dan terharu.  Walhal itu hanya secubit saja dari apa yang setiap hari abang terima dari Allah. Abang merasa malu sekali. Abang segera berlari menuju surau pejabat. Kebetulan surau tu dah sepi. Di sana abang menangis sejadi-jadinya. Abang mencerca diri abang sendiri yang dah melupakan Allah, bahkan di saat kesusahan pun masih melupakan-Nya, bagaimana pada saat senang? Sejak siang itu, abang mulai sholat.

Beberapa hari kemudian abang bermimpi bertemu seseorang, wajahnya bercahaya, berpakaian serba putih, berserban dan  berjanggut rapi, Abang dapat mencium harum tangan dan jubahnya. Entahlah, dalam mimpi itu abang  mencium tangannya, beliau menyambut abang kemudian memeluk abang kuat-kuat. Selepas itu beliau menegur abang dengan suara yang sangat lembut dn berwibawa, membuat hati abang terbuka untuk mendengar segala tegurannya.  Dia memaparkan dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan abang. Yang paling banyak adalah dosa abang pada Allah, ibu dan ayah juga pada Syani dan Danial. Abang menangis saat satu persatu dosa dibentangkan. Beliau seperti melapah lapisan-lapisan kulit abang satu persatu. Dosa-dosa abang didedahkan, aib-aib abang dibuka. Abang tak henti-henti menangis. Namun wajah teduhnya membuat abang merasa selamat di sampingnya. Beliau  meraih bahu abang kemudian kembali memeluk abang, ada perasaan damai tak terhingga yang masih boleh abang rasakan sampai sekarang. Terasa sangat dia nak selamatkan abang. Dia buka aib dan bentang dosa abang dalam pertemuan empat mata yang sungguh menginsafkan.
“Bertaubatlah, anakku, taubat orang yang berdosa lebih Allah sukai daripada tasbih para wali.” Pesan beliau sebelum pergi.
Kemudian abang terbangun.  Wajah abang basah oleh air mata, berarti tangis abang dalam mimpi itu terbawa sampai ke alam nyata. Abang segera mengambil wuduk kemudian sholat taubat. Abang  mencuba bertaubat sungguh-sungguh kepada Allah.
Sejak saat itu, secara diam-diam, abang mengintai kehidupan Syani. Beberapa kali secara sembunyi-sembunyi di waktu malam abang cuba balik ke pangsapuri tapi tak berani nak masuk. Sampai akhirnya abang tengok  pangsapuri dah kosong. Hanya tinggal sekeping kertas bertuliskan for rent dan no talipon Syani terlekat di pintu. Abang sungguh kecewa, rupanya kalian dah pindah.
Lalu abang  pergi ke rumah  kita ini, dan ternyata rumah ini yang Syani pilih untuk dihuni, terlihat dari pagar dan dinding rumah yang dah dicat baru dan dipasangkan langsir baru. Abang fikir boleh langsung masuk rumah dengan kunci simpanan abang, namun gagal kerana rupanya   Syani telah mengganti semua gagang pintu dan kunci dengan yang baru.
Bagaimanapun, abang beruntung kerana Bik Imah secara sembunyi-sembunyi nak memberi kerjasama. Dari Bik Imah lah Abang tahu segalanya, juga tentang Bonda yang telah banyak mengubah hidup Syani. 

Dari maklumat Bik Imah ini juga akhirnya abang dapat berkenalan dan mendapat bimbingan dari Bonda namun abang minta Bonda rahsiakan dari Syani. Mulanya abang hanya ingin mengintai Syani, namun ternyata abang terserempak  dengan seseorang di depan pejabat motivasi Bonda.
“Assalamu’alaikum, Encik, sedang menunggu seseorang ke?” Tanyanya ramah. Dia mendekati abang dalam kereta yang abang parking di depan pejabat itu. Abang jadi kekok dan serba salah sampai tidak menjawab salamnya.
“Jomlah ke dalam, kita sembang-sembang sekejap.” Ajaknya. Sebenarnya abang nak turun dari kereta, namun bagaimana kalau tiba-tiba Syani melihat  abang? Bukankah Syani sedang ada di dalam sana? Wajah abang pasti akan seperti ketam rebus kalau sampai terserempak dengan Syani.” Gurau Reza membuat Syani terkikik geli. Suasana jadi cair. Ada aura bahagia menyapa mereka.
“Lalu, bagaimana lagi selanjutnya, bang?” Tanya Syani tersenyum. Reza membalas senyum Syani yang dirasakannya senyum paling indah yang pernah diberikan Syani untuknya.
“Abang  menolak ajakan orang itu yang pada akhirnya abang tahu namanya Ustaz Fuad. Kerana Abang takut terus didesak untuk masuk, maka Abang segera minta diri.  Namun sebelum pergi Ustaz Fuad memberikan sesuatu pada abang yang terus diletakkannya ke dalam kereta. Abang hairan, pelik betul orang ini, baru kenal dan hanya sembang sekejap je dah bagi hadiah.

Saat abang terpaksa berhenti kerana lampu merah, abang buka bungkusan pemberian Ustaz Fuad, ternyata sebuah buku.  Sambil  menunggu lampu hijau menyala, Abang tak sabar nak baca buku itu, namun darah abang dah berdesir ketika membaca bagian belakang buku itu:
Jasad lahir hanyalah sangkar untuk jasad batin. Kalau kita gagal mengenal batin manusia, kita akan gagal mendidik diri manusia. Jadi mengenal diri sebenarnya bukanlah mengenal rupa lahir, tapi yang lebih penting sebenarnya mengenal watak batin, iaitu jiwa, fikiran, kepakaran, kecenderungan, watak, nafsu dan kekuatan yang ada pada diri kita. Dengan mengetahui sifat-sifat yang ada pada diri kita, kita nanti dapat melatih diri kita dan meletakkan diri sesuai pada tempatnya, jika tidak maka akan terjadi kerusakan di muka bumi ini kerana kita telah melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan jiwa kita. Terjadilah kejahatan, krisis jiwa dan ketegangan pikiran hingga hilanglah kebahagiaan.

Bukankah itu yang sedang terjadi pada abang? Abang makin tak sabar nak baca semua isinya, namun kereta di belakang abang dah membunyikan hon kerana lampu dah hijau.”
Kedua mata Reza berkaca-kaca. Syani dapat menangkap keharuan yang sedang menyelimuti suaminya saat ini, sehingga Syani tidak berani bertanya apa-apa, dibiarkannya Reza bercerita sendiri.
“Ajaibnya, isi dari buku itu sama sebijik intinya dengan ucapan orang yang menemui abang dalam mimpi…” perlahan suara Reza, air matanya seketika menderas. Meskipun tak berapa faham, Syani cuba meraih telapak tangan suaminya, cuba menenangkan perasaan Reza yang tidak dimengerti Syani.
“Buku itu abang baca habis sampai lima kali. Setiap kali membacanya abang selalu menangis, abang ingat dosa-dosa dan kebodohan-kebodohan abang. Hanya dengan berfikir sedikit saja tentang Tuhan abang dah merasa masalah abang akan boleh diselesaikan. Patutlah Allah kata dalam Al Quran, hanya dengan mengingati Tuhan hati menjadi tenang. Rupanya dengan  mengenal Tuhan, mencintai-Nya dan takut pada-Nya, segala masalah dapat diselesaikan. Abang bertekad kuat untuk boleh menjadi orang yang mengenal dengan baik diri ini supaya abang boleh mengenal Tuhan. Abang teramat yakin bahawa buku itu hakikatnya Allah yang kirim untuk menyedarkan dan memberi jalan keluar untuk abang. Ayat-ayat dalam buku itu  sederhana dan ringan, namun begitu dalam menghujam ke dalam hati. Siapapun yang membacanya  dengan niat yang baik pasti  akan mendapat  ilmu-ilmu rohani yang dituliskannya dalam buku itu.

Abang cuba menghubungi Ustaz Fuad yang kad namanya terselit di buku itu. Akhirnya melalui Ustaz Fuad, teman sekerja Bonda di syarikat motivasi itu, abang mendapat bimbingan bagaimana seharusnya melalui kehidupan ini. Tuhan telah memproses Abang sebagaimana Tuhan juga telah memproses Syani.”
“Jadi selama ini abang juga mendapat bimbingan dari sana?” Tanya Syani macam tak percaya.
“Ye, abang dah kesana sekitar tiga bulan yang lalu, setiap motivasi dan kaunseling yang abang terima amat  berkesan yang belum pernah Abang temui selama hidup. Setiap kali mendapat motivasi, abang selalu menangis, abang rasa malu pada Allah dan kesal sangat pada diri sendiri.” Air mata Reza menetes, semakin lama semakin menderas dan akhirnya Reza terisak-isak. Syani terpana, selama sepuluh tahun pernikahannya Syani baru pertama kali inilah dia melihat suaminya menangis begitu rupa.
“Kita sangat beruntung Allah membimbing kita yang buta dan tersesat.  Kita sangat beruntung, nikmat Allah yang mana lagi yang tidak kita syukuri…?” Reza mencari mata Syani yang wajahnya menunduk. Syani tidak kuasa menahan titisan air matanya.
“Selama ini abang merasa hidup hanya sekali, di dunia saja, mana pernah abang fikir serius tentang akhirat? Tiba-tiba tanpa abang sangka-sangka, Tuhan mengenalkan diri-Nya sendiri pada kita dengan cara-Nya yang unik, yang tidak pernah terpikir oleh kita sebelumnya. Tuhan Yang Maha Baik masih nak menerima kita yang dah berpuluh tahun derhaka pada-Nya”. Mereka berdua menangis dengan rasa haru yang mendalam. Malu, syukur, takjub dan berbagai perasaan kepada Tuhan memenuhi jiwa mereka.

”Abang sedar bahawa semua ujian yang terjadi pada keluarga kita adalah kerana abang melupakan Tuhan. Abang hanya cinta pada diri sendiri, abang hanya mementingkan diri sendiri…” Ucap Reza kemudian.
”Syani juga bersalah. Selama ini Syani terlalu cinta dan menganggap abang adalah segalanya dalam hidup Syani hingga Syani lupa bahawa suami hanyalah pinjaman dari Tuhan yang patut disyukuri dan dijaga dengan baik. Lalu, Tuhan pun murka dan mengambil apa yang Syani cintai itu…”  ucap Syani pula.
”Abang sungguh menyesal terhadap apa yang telah terjadi di antara kita. Ini semua terjadi kerana dosa-dosa abang.”
”Syani juga begitu Bang. Syanilah penyebab dari segala masalah dalam keluarga kita.” jawab Syani.
“Apakah Syani nak menerima abang kembali dalam kehidupan Syani? Abang ingin menebus dosa-dosa abang kepada Syani hingga Syani benar-benar memaafkan abang. Abang ingin membahagiakan Syani...”
”Sepatutnya Syani yang bercakap begitu. Syani juga banyak bersalah kepada abang.” 
Dengan spontan Syani menangkap tangan kanan Reza dan mencium tangan suaminya itu.  Reza mengusap kepala Syani dengan lembut.  Kedua-dua mereka tak dapat membendung airmata keinsafan dan kesyukuran yang mengalir deras.  Semoga airmata itu menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu, menghilangkan jejak-jejak hitam yang telah menodai sejarah kebahagiaan dan ikatan kasih sayang mereka sebagai suami isteri.
“Alhamdulillah ….Tuhan Cinta Agung kita dengan kasih sayang-Nya, menyatukan kita kembali.”
Reza mengangkat tangan dan berdoa, Syani mengaminkan.

”Tuhan! Ampunkanlah aku dan isteriku! Ketika kami merasa saling mencintai hingga kami melupakan-Mu, Engkau pisahkan kami dengan cara yang begitu hina.  Engkau hukum kami dengan dosa, derita dan kekecewaan. Namun, ketika kami cuba untuk mengenal dan mencintai-Mu, Kau satukan kami dalam keindahan dan kemuliaan. Engkaulah sumber kebahagiaan dan keselamatan. Selamatkan kami, bahagiakan kami dalam keredhaan-Mu. Sungguh Engkau Maha Agung. Engkau memang patut dicintai. Tuhan! Jadikanlah Engkau Cinta Agung kami. Agar kami tidak lagi lebih cinta kepada selain-Mu. Agar cinta kami kepada sesama manusia adalah kerana cinta kami pada-Mu.

TAMAT

http://www.penulisan2u.my/2014/01/cerpen-aku-cinta-padamu-3/

PANDANGAN NAFSU ITU MELULU

Aduhai …. macam berhutang lah pula.  Pandai-pandai tulis artikel tentang PANDANG-PANDANG, ada 4 jenis pandangan (mata, akal, nasfu dan hati), tapi baru tulis tentang pandangan mata dan akal.  So,  nak kena habiskan lah.  Kalau tidak, macam tak amanah pula.  Tak amanah dengan Allah dan Rasul dan dengan pembaca juga.  Selagi Allah bagi ilmu dan alat untuk menyampaikan, kenapa pula nak diam sahaja kan? Sharing is caring.  Nak hidup dalam lingkaran hidup mukmin, berkongsi atau berbagi sesuatu yang bererti untuk hidup dan mati.

Pandangan nafsu ni sebenarnya tak perlu dicerita kot, sebab kita memang sering melakukannya, secara sedar atau tidak.  Tapi tak apalah sebagai ilmu, dibincang-bincang supaya berkembang, diulas-ulas supaya makin luas, ditiup-tiup supaya hidup dan disebar-sebar semoga melebar. 

Pandangan hati pula teramat penting untuk diketahui dan diamalkan, kerana ia adalah pandangan yang terbaik. Ia pandangan yang sebenar, yang hakiki.

PANDANGAN NAFSU ITU MELULU.  Apa yang umum faham dari perkataan MELULU ialah tak fikir dulu, tak timbang baik-buruknya, tak fikir akibatnya, buat je, buat terus.  Konon nak capai keinginan, nak puaskan hati, tanpa fikir  panjang.  Walhal sebenarnya yang dipuaskan tu nafsu, yang diikut itu syaitan.

Pandangan Nafsu ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja, sekalipun orang itu berakal dan berilmu.  Kerana Nafsu itu pandai menipu, hingga adakalanya akal yang cerdik dan berilmu boleh kalah kepadanya.

Kenapa? Kerana NAFSU sebenarnya laluan kepada SYAITAN.  Ibaratnya Nafsu itu jalan atau highway pada syaitan.  Bila buka sahaja nafsu maka masuklah syaitan dan berperananlah ia di dalam diri manusia.    

Sebagai contoh, kita tengok kisah Barsisa.  Cerita ini panjang, tapi saya nak ambil ringkasannya sahaja.

Barsisa adalaha seorang abid (ahli ibadah) dari kalangan bani Israel.  Ibadahnya kuat dan hebat, tapi sayang nafsunya juga kuat.  Nafsu untuk menjadi yang paling hebat.  Dia mahu menjadi ahli ibadah yang paling hebat.

Suatu hari datang syaitan yang menyamar sebagai ahli ibadah juga.  Si syaitan ini bertamu dan tunjuk lagi hebat dari Barsisa.  Maka tercabarlah nafsu Barsisa bila nampak orang yang lebih hebat dari dia, solat dan puasa berhari-hari tanpa henti.  Dia bertanya pada si abid tamu itu, macamana nak kuat ibadah macamtu.  Syaitan kata,

“Aku jadi macamni sebab dulu aku pernah buat dosa besar, maka nak taubat dan tebus dosa itu, aku kena beribadah macamni. So, kalau kau nak jadi macam aku, kenalah buat dosa besar, kemudian kau akan menyesal, taubat dan dapat beribadah macam aku.”

Maka Barsisa pun ikut nasihat syaitan itu.  Pandangan Nafsu kata, munasabah juga jawaban dia. Dipendekkan cerita Barsisa pun ikut cadangan syaitan itu pergi kedai arak.  Dia beli arak pada seorang pelayan perempuan.  Bila dia dah mabuk, dia pun berzina dengan perempuan itu.  Suami si perempuan itu pula datang, maka NAFSU pun kata, bunuh sahajalah suami tu dan Barsisa pun ikutkan pandangan nafsu itu.  Dalam masa singkat Barsisa dah buat 3 dosa: minum arak, zina dan bunuh.

Barsisa pun ditangkap dan dijatuhi hukuman mati.  Sebelum mati, datanglah syaitan menemuinya.  Barsisa pun marah pada syaitan,

“Engkaulah yang buat aku jadi begini.  Kau kata lepas buat dosa besar aku boleh jadi ahli abid yang hebat, tapi apa dah jadi sekarang.  Aku dah nak mati, mana boleh beribadah lagi?”

“So, kau tak nak mati lagilah ni? Okey, aku boleh pujuk orang-orang mahkamah supaya ringankan hukuman kamu.  Mereka mesti dengar cakap aku, sebab aku kan ahli ibadah yang hebat.  Tapi ada satu syarat.  Senang saja, kau sembah aku sekali je ” kata syaitan meyakinkan.

Barsisa yang dah terdesak, akur sahaja dengan cadangan syaitan.  Dia pun menyembah syaitan itu.  Dan selesai sahaja dia menyembah, hukuman mati pun dilakukan.  Maka matilah Barsisa sebagai penyembah syaitan.

Begitulah akibatnya bila ikut pandangan nafsu.  Tak fikir panjang, tak ingat Allah, tak ingat akhirat, tak fikir dosa pahala, akhirnya mati kafir.  Nauzubillahhi min dzalik.

Pengajaran yang dapat kita ambil dari kisah ini: jangan sekali-kali ikut PANDANGAN NAFSU.  Jangan bagi peluang nafsu untuk bersuara.  Jangan biarkan nafsu terbuka, kerana ia adalah laluan syaitan.  Sekali kita beri laluan, maka syaitan akan menjajah diri kita, perkudakan kita ikut kehendaknya.

Apa-apapun kena fikir panjang, tapis dengan ilmu wahyu.  Macam nasihat syaitan pada Barsisa
“alaaah …. minum arak sikit je, bukan dosa besar sangat pun”
Cuba tapis dengan ilmu syariat, mana boleh kita minum arak walau setitik.

Dalam kehidupan sehari-hari, banyak perkara seumpama ini kita lakukan.  Misalnya, “alaah … bohong sunat je, tak pe kot”. 
Cuba tapis dengan ilmu syariat, mana ada ‘bohong sunat’ dalam ajaran Islam?  Itu ajaran syaitan!

Baiklah, kiaskanlah perkara-perkara lain. Banyak pandangan nafsu yang selalu berbisik dalam diri kita.  So, tapislah dengan syariat.  Kalau syariat tak membenarkan, maka tepis dan tolaklah pandangan nafsu itu.

Salsabeel, 12 Mei 2014

Ahad, 11 Mei 2014

AKU DAN MAK

Pandang muka sendiri rindu mak.

Orang kata aku lahir dari perut mak! (Bukan Orang kata, memang betul)

Bila dahaga, yang susukan aku. Mak.
        
Bila lapar, yang suapkan aku, Mak.

Bila aku terkencing terberak, yang basuh aku, Mak.        

Bila keseorangan , yang
sentiasa di sampingku, Mak.         

Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut, Mak.         

Bila bangun tidur, aku cari, Mak.        

Bila nangis, orang pertama yang datang, Mak.         

Bila nak bermanja, aku dekati, Mak.         

Bila nak bergesel, aku duduk sebelah, Mak .         

Bila sedih, yang boleh memujukku hanya, Mak .         

Bila nakal, yang memarahi aku, Mak.

Bila merajuk, yang memujukku cuma, Mak .      

Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah, Mak .         

Bila takut, yang tenangkan aku, Mak.

Bila nak peluk, yang aku suka peluk, Mak.

Dari banyak-banyak parfum wangi, bau yang paling aku suka, bau Mak.

Aku selalu teringatkan, Mak.         

Bila sedih , aku mesti telefon, Mak.         

Bila seronok , orang pertama aku nak beritahu, Mak .        

Bila bengang, aku suka luah pada, Mak.

Bila takut, aku selalu panggil, " Mmaaakkkk ! "   
     
Bila aku sakit , orang paling risau adalah, Mak .      

Bila nak exam, orang paling sibuk juga, Mak .         

Bila buat hal, yang marah aku dulu, Mak .         

Bila ada masalah, yang paling risau, Mak.         

Bila aku balik lewat, yang menunggu dan tak boleh tidur, Mak.

Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni, Mak.         

Yang sanggup berhutang untuk penuhi keperluan aku, Mak.

Yang selalu masak makanan kegemaranku, Mak.         

Yang selalu simpan dan kemaskan barang barang aku, Mak.         

Yang selalu berleter kat aku, Mak.         

Yang selalu puji aku, Mak.         

Yang selalu nasihat aku, Mak. 

Kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk , Mak.             

Bila nak kahwin, orang pertama aku tunjuk dan rujuk, Mak.   

Bila aku dapat anak, yang paling sibuk layan cucu,  Mak.          

Bila seronok, aku cari, temanku       
TAPI
Bila sedih, aku cari, Mak .        

Bila berjaya, aku ceritakan pada, temanku     
TAPI  
Bila gagal, aku ceritakan pada, Mak.

Bila bahagia, aku bersorak dengan teman
TAPI         
Bila berduka, aku peluk erat,  Mak.

Mak mengajar tentang agama, mengenalkan aku kepada Allah

Mak marah kalau aku leka dengan dunia
         
Bila sambut hari ibu, aku cuma dapat ucapkan “Selamat Hari Ibu”

Dengan ucapan itu mak sangat terhibur.

Mak: Harapan mak ialah menginginkan anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah, selamat dunia dan Akhirat.

Berderai air mata jika kita mendengarnya .         
Tapi kalau Mak SUDAH TIADA......?

" MAKKKKK !
RINDU MAK!!
MAK!!
BERUNTUNGNYA AKU DAPAT MAK SEPERTIMU


Renungkanlah...apakah yang berbaloi utuk  kita  balas pada Mak.

Kita ada Mak hanya sekali sahaja.

Bila dia dah pergi tak akan pernah kembali.

Masa itu menyesal pun dah tiada erti.

Jumaat, 9 Mei 2014

SETIA HUJUNG NYAWA

Sedapnya istilah ni.  Macam judul drama cinta Ersalina pada Zain, suaminya. Dek kerana rasa bersalah dan terhutang budi kepada Zain, maka Ersalina berjanji untuk setia hingga ke hujung nyawa.  Itu baru janji, tak tahu lagi bila diuji.  Begitupun sudah banyak orang yang jiwang, tersentuh hati dengan kisah ini.  Kalau tidak, masakan novel dan drama ini dapat sambutan dan rating yang tinggi.  Ramai yang berangan, andainya aku punya kekasih yang setia hingga ke hujung nyawa.

Ramai orang yang tak perasan bahawa sesungguhnya setiap orang mempunyai kekasih yang setia, lebih dari hujung nyawa.  Bahkan kasih dan setianya kekal abadi dan tiada penghujung. 
Never ending and infinity love!

Sayangnya, Kekasih Sejati itu kita persiakan.  Kesetiaan-Nya tak dipedulikan.  Kasih sayang-Nya dipandang sepi.  Walhal kemana sahaja kita pergi kita dilindungi oleh cinta-Nya.Kemanapun kita menghadap kita dipandang dan dijaga dengan kesetiaan-Nya.

Walaubagaimanapun, jangan putus asa.  Selagi kita masih merindukan cinta dan kesetiaan, ertinya fitrah kita masih ada.   Masih ada signal dalam hati kita untuk berhubung dengan-Nya.  Dan Kekasih sejati itu tetap setia menunggu kita.  Dialah Allah Yang Maha Setia.

Saat hati kita rasa sunyi dan kosong, carilah Dia. Temukan jalan-jalan untuk mengingati dan menjejakinya.  Sesungguhnya Dia itu dekat. Namun adakalanya kita tak menemuinya kerana nafsu, syaitan dan dunia menjarakkannya.

Oleh itu saat kita rasa sunyi, mungkin yang terbaik carilah kawan-kawan yang mampu 'mentarbiyah' diri kita. Yang mampu menegur kita jika kita terleka. Yang mampu mendekatkan kita dengan Allah, yang mampu membantu kita mencari hidayah Allah. Sungguh, hidayah tidak datang bergolek, ia perlu dicari.  Dan saat hidayah itu datang, kadangkala kita perlu cepat menyambarnya jangan sampai ia terlepas.

Kita dijadikan dengan fitrah hati yang sukakan tarbiyah atau dengan kata lainnya didikan Islam yang baik dan sempurna.  Saat kita menafikan fitrah yang Allah ciptakan ini jiwa kita pasti resah gelisah dan tak menentu. Sungguh, jika kita mampu merasakan kegelisahan itu,  petanda  Allah sengaja menitipkannya agar kita berusaha memenuhi fitrah hati kita. Hati yang keras mungkin tidak akan mampu rasa gelisah apabila dia cuba menafikan fitrah itu. 

Jangan biarkan hati kita kematu dengan cuba menafikan yang hati kita memerlukan-Nya.  Jangan alihkan kesunyian hati kita dengan perkara-perkara duniawi yang palsu.  Bila boring pergi shopping.  Bila stress makan ubat tidur.  Bila tertekan pergi melancong.  Dan lain-lain escapism yang sebenarnya bukan jalan penyelesaian.

Marilah kita fahami dan hayati ilmu berikut ini:

Banyak orang mencari kebahagiaan bukan dengan Tuhan tapi dengan makhluk.

Padahal lumrah berlaku kepada manusia tapi manusia tidak juga mengambil iktibar dan pengajaran.

Ada isteri cantik banyak kerenah pula.

Banyak harta ditimpa penyakit bermacam-macam jenis pula.

Ilmu banyak kerana kesombonganmanusia benci pula.

Pangkat tinggi banyak pula orang benci kerana sikapnya.

Akhirnya kebahagiaan yang diburu tidak juga kunjung-kunjung tiba.

Setengah orang semua keistimewaan dunia dimilikinya Allah datangkan seribu masalah pada dirinya.

Kebahagiaan berkecai di dalam nikmat yang serba ada dan mewah pula.

Oleh itu carilah Allah, dia adalah sumber segala kebahagiaan.

Rabu, 30 April 2014

DUA ANAK GADIS GILA KERANA DIDERA IBU KANDUNG SENDIRI

Dalam hidup ini kita sering menerima ujian misalnya  kematian orang terdekat, kehilangan barang, kemalangan, kerugian niaga, hilang kerja, sakit dan sebagainya.  Kita akan bersedih dan menderita kerananya.  Selalunya orang yang bersimpati akan beri kita kata nasihat, sabarlah, redhalah, Allah sayang tu, sikit tu, dan lain-lain yang tujuannya adalah untuk meringankan kesedihan kita.  Jarang kita dengar orang bagi kita nasihat, waspadalah dengan ujian tu!

Nah … yang jarang orang buat tulah yang nak ditulis dalam posting kali ini.  Kenapa nak kena waspada atau berhati-hati dengan ujian?  Tentu ada ilmu dan sabab musababnya kan?

Seperti sedia dimaklumkan dalam posting sebelum ini bahawa Allah beri ujian kepada manusia dengan beberapa tujuan.  Dua di antaranya telah kita bahas iaitu:

1.  Sebagai penghapusan dosa jika kita sabar dan redha.
2.  Sebagai peningkatan darjat bagi orang-orang yang tak berdosa.

Ada satu lagi tujuan ujian itu Allah beri iaitu:
3.  Sebagai penghinaan kepada manusia yang zalim kepada Allah dan sesama manusia.

Hikmah pertama dan kedua telahpun dibahas panjang lebar pada postingan lepas. Mari kita tengok pula apakah ujian sebagai penghinaan itu.

Nak mudahkan faham, mari kita fahami  kisah  dua orang gadis yang gila kerana didera oleh ibu kandungnya sendiri.

Kisah ini terbongkar ketika seorang perempuan telah bertemu dengan seorang ulama yang arifbillah.  Ulama arifbillah ni bukan calang-calang ulama.  Dia bukan saja banyak ilmu tapi banyak amalannya, samada ibadah fardhu ain atau fardhu kifayah.  Dia juga tak hanya berdakwah dengan kata-kata tapi mengotakan atau melaksanakan dakwahnya.

Dipendekkan cerita ada seorang ibu tunggal yang sedang ditimpa ujian.  Bukan calang-calang ujian pula tu. Sudahlah dia kematian suami, dua orang anak gadisnya pula menderita sakit jiwa alias gila. Terpaksalah dia membuat bilik khas di rumahnya untuk menjaga dua gadis gila itu.  Bilik tu kira macam bilik pasungan lah. Sebab kalau tak dibuat begitu, 2 gadis gila itu akan merayau, merbahaya bagi diri dan orang lain juga.  Dah macam kisah perempuan dalam pasungan pula.

Si ibu datang jumpa ulama itu kononnya nak minta ubat. Dia dengar doa ulama itu sangat mustajab. Tak lupa dia bawa air mineral botol besar untuk dijampi oleh sang ulama. Dua gadis gila itupun dibawanya sekali.  Ramai jugalah rombongan perempuan tu sebab nak tolong kawal dua gadis gila itu.

Maka ulama itu bertanya kepada si ibu,
“Apa dah jadi dengan anak-anak puan ni?”
“Itulah nasib kami, ujian bertimpa-timpa.  Mula-mula si kakak gila, tak lama lepas tu adiknya pula kena,” kata si ibu dengan selamba.
“Macamana boleh jadi begitu.  Ceritalah kejadian masa mula-mula dia sakit tu,” tanya ulama itu.
“Yang kakak ni gila sebab cinta, yang adiknya pula sebab perniagaan,” kata si ibu.
“Macamana tu, “ sang ulama semakin nak tahu.
“Kakak ni lepas balik dari belajar luar negara bercinta dengan seorang lelaki, tapi tak sekufu, jauh beza tarafnya.  Bila lelaki itu datang meminang, saya tolak lah.  Tapi dia tak boleh terima, katanya mereka dah lama bercinta sejak belajar lagi,” kata si ibu
“Tak sekufu apanya, lain agama ke? Lelaki tu mat saleh ke?” tanya ulama
“Takdelah macamtu sekali.  Budak melayu kita juga.  Tapi dia lepasan SPM je, kawan sekolah sejak sekolah menengah rupanya.  Sedangkan anak saya kan lepasan university oversea, tak sekufulah.  Lagipun dia kerja kilang je, sedangkan anak saya ni pegawai tinggi. Mana nak padan,” si ibu menjelaskan panjang lebar.
“Lelaki itu jahat ke? Atau dah bergaul bebas dengan anak puan”tanya ulama itu lagi
“Takdelah … dia kaki masjid.  Orang dakwah lah katakan.  Anak saya pun baik, tak suka bergaul bebas.  Mereka aktif dalam aktiviti dakwah masa sekolah dulu”, nada suara ibu tu kedengaran kurang senang.
“Baguslah tu.  Bertuahlah puan dapat menantu macamtu. Suami orang dakwah, moga-moga pandai didik anak puan,” kata ulama itu sambil tersenyum.
“Bagus apanya? Itu yang buat saya risau.  Nanti anak saya pula yang kerja keras, suami pula asik berdakwah je.  Dia bagi makan syarahan je anak bini dia,” perempuan tu bersuara keras.
“Ooh …” sang ulama hanya membulatkan bibir.
“Yang saya lagi geram tu, rupanya nampak je warak, tapi  kuat main sihir.  Bila tak dapat kahwin dengan anak saya, disihirkannya pula. Sampai anak saya gila dibuatnya,” kata perempuan itu lagi.
“Eh … mana boleh tuduh-tuduh.  Betulkah budak lelaki tu sihirkan anak puan,”tanya ulama itu.
“Iye … dah 10 bomoh saya pergi, semuanya cakap benda yang sama.  Lelaki itulah yang menganiaya anak saya ni.  Kata bomoh-bomoh tu, lelaki tu guna sihir Siam,” perempuan itu nampak geram.
“Ooh … jadi puan ni dah sering jumpa bomoh lah ye?”
“Dah merata tempat saya pergi cari bomoh, dah berpuluh ribu saya habis duit, tapi tak baik-baik juga anak saya. Sebab tu saya bawa datang sini ni, manalah tau.  Dengar kata doa tok guru ni mustajab.  Tapi itulah saya dah habis duit dah ni, takde apa nak bagi pada tok guru,” perempuan itu cakap dengan terus terangnya.

Suasana senyap seketika. Ulama itu tetap tenang. Tapi perempuan itu nampak mula rimas dengan soalan-soalan ulama itu.

“Yang adik ni pula macamana kisahnya,” tanya ulama itu lagi.
“Ini lagilah kejam.  Dia tak buat salah apapun tapi dia pula yang kena. Ini mangsa perniagaan arwah ayah dialah ni.  Saya dah ingatkan jangan meniaga dengan orang macamtu, tapi ayah dia nak buat juga.  Akhirnya untung tak kemana, dia pun mati kena sihir, anak pula gila,” si ibu bercerita penuh emosi.  Sepertinya dia marah dengan arwah suaminya.
“Siapa pula  yang buat sihir tu?” sang ulama menyoal lagi.
“Rakan niaga ayah dia tulah.  Dia dengki.  Bila untung sikit je dah tamak pula, nak bolot sorang.  Dia sihirkan lah kami.  Sebenarnya yang dia tuju saya dan suami.  Suami saya yang konon warak sangat tu terkena santau sampai mati dibuatnya.  Saya pula tak terkena tapi tempias kat anak pula,”
Dari cara penceritaan dan isi maklumatnya nampak perempuan tu macam ada masalah je dengan arwah suami dia. 

Sang ulama mengangguk-angguk.  Nampak mukanya berkerut-kerut menahan marah. Semua orang yang hadir jadi suspen.  Perempuan itu pula tak sabar-sabar nak air jampi.  Dihulurkannya botol air tu kepada ulama itu.

Tiba-tiba ulama itu bersuara tegas dan kuat.
“Sudahlah! Bawa air tu balik. Saya bukan bomoh jampi air! Jaga anak-anak puan ni baik-baik.  Bagi makan cukup, beri kasih sayang.  Jangan sesekali pukul atau dera mereka. Puan banyakkan muhasabah dan taubat banyak-banyak.  Kalau anak-anak ni tengah elok, ajak mereka taubat dan  selawat banyak-banyak,” ulama itu bercakap tapi tak pandang pun pada perempuan tu.                   

“Tak kan tuan tak doakan kami?” perempuan itu cuba merayu.
“Taubat kamu lebih mustajab dari doa saya,” jawab ulama itu dengan pantas.
“Saya doa panjang manapun tapi kalau puan tak bertaubat, tak ada maknanya!” suara ulama itu makin meninggi.
“Apa dosa saya?” perempuan itu bertanya dengan muka selamba je.  Macam tak boleh terima pula disuruh bertaubat.
“Ya Allah … dosa sebesar ini pun puan tak nampak? Memang patutlah Allah hina puan macam ni!” kali ini ulama itu betul-betul menampakkan kemarahannya, siap dengan gerak tangan sekali.

Perempuan itu diam tapi dengan muka mencuka.  Orang-orang lain semakin cemas dengan suasana itu.
“Allah dah tegur puan dengan ujian anak pertama sakit jiwa, patut puan dah insaf”.
“Insaf apanya? Patut budak lelaki tu yang insaf, cabut balik sihir ni,” perempuan tu bersuara agak tinggi.
“Astaghfirullah … astaghfirullah … ,” ulama itu mengurut dada.
“Puan faham tak? Dua anak puan gila itu maknanya Allah bagi bala bencana besar pada puan! Ini amaran Allah pada puan! Allah nak ingatkan puan supaya puan bertaubat, Sebab puan dah banyak buat dosa-dosa besar!”
“Apa dosa saya?” tanya perempuan tu macam tak boleh terima.
“Dengar sini!  Ini senarai dosa puan yang saya boleh tunjukkan:

Pertama, puan tak sedar dah buat dosa itu adalah DOSA!  Mana boleh seorang hamba tak rasa diri berdosa.  Inikan pula memang dah buat dosa.

Kedua, bila Allah uji puan dengan anak sakit, puan cari bomoh.  Puan tak faham pun apa maksud Allah uji puan dan tak taubat pun.  Puan tak minta tolong pada Allah.  Minta tolong bomoh yang guna jin dan syaitan itu juga DOSA. 

Ketiga, puan mudah-mudah je sangka jahat bahkan tuduh orang hantar sihir.  Kalau betul orang tu buat, puan dikira mengumpat.  Kalau orang tu tak buat, puan  dah kira memfitnah.

Keempat, puan dah halang niat baik anak berkahwin dengan lelaki yang baik semata-mata kerana  tamakkan harta.  Elok-elok anak puan tu nak dapat jodoh orang baik, puan halang, jadi andartu pula.  Dan sekarang dah gila. Puan sedar tak yang puan ni cinta dunia sangat?"

panjang lebar pula ulama itu menganalisa kesalahan perempuan itu.

Perempuan itu terkebil-kebil, entah faham atau tidak.  Tapi sempat pula dia menyampuk,
“Kita nak minta ubat, kena marah pula,”katanya dengan suara perlahan.

“Ini amaran saya pula!  Dah 2 orang anak puan gila, tapi puan tak nampak pun bahawa Allah yang buat.  Puan tak sedar pun bahawa Allah tengah marah pada puan.  Sebenarnya puan yang sakit jiwa!  Anak-anak puan adalah mangsa dari kesombongan puan pada Allah dan juga manusia”,
“Macamtu pula,” perempuan itu mengerutkan muka.
“Iye! Puan dah dera anak-anak kandung sendiri sampai gila.  Puan dera dengan dosa-dosa puan. Allah jadikan anak-anak ini mangsa supaya senang puan insaf, sebab puan sayang anak-anak ini kan?”
“Betul … saya sayang anak-anak saya.  Sebab itu saya tertekan bila anak-anak saya jadi begini,” jawab perempuan itu macam nak bela diri.
“Okeylah … puan balik rumah.  Renungkan apa yang saya cakap ni.  Moga-moga puan faham dan sedar.  Lepastu taubat dengan sepenuh hati.  Minta maaf kepada sesiapa yang telah puan zalimi, terutama pada anak-anak puan ni.  Mereka mangsa penderaan puan sendiri walaupun secara fizikal macam tak ada penderaan. Puan juga kena minta maaf pada  orang yang puan tuduh hantar sihir. Dan Puan juga kena taubat betul-betul sebab dah pilih jalan khurafat gunakan bomoh,”
“Bbb  …  baiklah tok guru,” kata perempuan itu sambil tertunduk.
“Saya berdoa moga Allah bagi kefahaman pada puan.  InsyaAllah kalau puan betul-betul taubat, Allah akan ampunkan puan.  Dan Allah akan tarik balik ujian ini.  Saya yakin masa itu anak-anak puan akan sihat dengan sendirinya,”.

Perempuan itupun balik tanpa membawa air jampi tapi segudang ilmu rohani untuk membongkar penyebab sebenar sakit anak-anaknya. Entah apa yang dia fikirkan.  Moga-moga dia faham dan membuat perubahan.

Itulah secebis kisah bagaimana ujian itu adakalanya adalah penghinaan Allah kepada manusia yang sombong dan zalim.  Terlajak sombong dan zalim hingga sombong dan zalim kepada Allah.  Dah buat dosa banyak tapi tak rasa berdosa.

Sebab itu, marilah kita berwaspada bila sedang diuji, samada ujian penderitaan atau ujian nikmat.  Kenalah curiga pada diri sendiri, adakah Allah beri ujian ini untuk penghapusan dosa atau untuk menghina diri kita.  Bila dapat nikmat  kena waspada juga, apakah Allah beri dengan rahmat supaya kita makin hampir kepada-Nya atau diberi sebagai istidraj hingga kita makin jauh dari-Nya.

Renung-renungkanlah

Salsabeel, 1 Mei 2014

Kamus istilah untuk pembaca luar Malaysia:

Mat saleh = orang putih,  orang bule, orang Barat.
Kaki masjid = orang yang rajin ikut kegiatan masjid
Bomoh = dukun
Santau = santet = sihir pembunuh
Siam = Thailand
Rimas = gerah = tidak nyaman
Andartu = anak dara tua