Dalam hidup ini kita sering menerima ujian misalnya kematian orang terdekat, kehilangan barang, kemalangan, kerugian niaga, hilang kerja, sakit dan sebagainya. Kita akan bersedih dan menderita kerananya. Selalunya orang yang bersimpati akan beri kita kata nasihat, sabarlah, redhalah, Allah sayang tu, sikit tu, dan lain-lain yang tujuannya adalah untuk meringankan kesedihan kita. Jarang kita dengar orang bagi kita nasihat, waspadalah dengan ujian tu!
Nah … yang jarang orang buat tulah yang nak ditulis dalam posting kali ini. Kenapa nak kena waspada atau berhati-hati dengan ujian? Tentu ada ilmu dan sabab musababnya kan?
Seperti sedia dimaklumkan dalam posting sebelum ini bahawa Allah beri ujian kepada manusia dengan beberapa tujuan. Dua di antaranya telah kita bahas iaitu:
1. Sebagai penghapusan dosa jika kita sabar dan redha.
2. Sebagai peningkatan darjat bagi orang-orang yang tak berdosa.
Ada satu lagi tujuan ujian itu Allah beri iaitu:
3. Sebagai penghinaan kepada manusia yang zalim kepada Allah dan sesama manusia.
Hikmah pertama dan kedua telahpun dibahas panjang lebar pada postingan lepas. Mari kita tengok pula apakah ujian sebagai penghinaan itu.
Nak mudahkan faham, mari kita fahami kisah dua orang gadis yang gila kerana didera oleh ibu kandungnya sendiri.
Kisah ini terbongkar ketika seorang perempuan telah bertemu dengan seorang ulama yang arifbillah. Ulama arifbillah ni bukan calang-calang ulama. Dia bukan saja banyak ilmu tapi banyak amalannya, samada ibadah fardhu ain atau fardhu kifayah. Dia juga tak hanya berdakwah dengan kata-kata tapi mengotakan atau melaksanakan dakwahnya.
Dipendekkan cerita ada seorang ibu tunggal yang sedang ditimpa ujian. Bukan calang-calang ujian pula tu. Sudahlah dia kematian suami, dua orang anak gadisnya pula menderita sakit jiwa alias gila. Terpaksalah dia membuat bilik khas di rumahnya untuk menjaga dua gadis gila itu. Bilik tu kira macam bilik pasungan lah. Sebab kalau tak dibuat begitu, 2 gadis gila itu akan merayau, merbahaya bagi diri dan orang lain juga. Dah macam kisah perempuan dalam pasungan pula.
Si ibu datang jumpa ulama itu kononnya nak minta ubat. Dia dengar doa ulama itu sangat mustajab. Tak lupa dia bawa air mineral botol besar untuk dijampi oleh sang ulama. Dua gadis gila itupun dibawanya sekali. Ramai jugalah rombongan perempuan tu sebab nak tolong kawal dua gadis gila itu.
Maka ulama itu bertanya kepada si ibu,
“Apa dah jadi dengan anak-anak puan ni?”
“Itulah nasib kami, ujian bertimpa-timpa. Mula-mula si kakak gila, tak lama lepas tu adiknya pula kena,” kata si ibu dengan selamba.
“Macamana boleh jadi begitu. Ceritalah kejadian masa mula-mula dia sakit tu,” tanya ulama itu.
“Yang kakak ni gila sebab cinta, yang adiknya pula sebab perniagaan,” kata si ibu.
“Macamana tu, “ sang ulama semakin nak tahu.
“Kakak ni lepas balik dari belajar luar negara bercinta dengan seorang lelaki, tapi tak sekufu, jauh beza tarafnya. Bila lelaki itu datang meminang, saya tolak lah. Tapi dia tak boleh terima, katanya mereka dah lama bercinta sejak belajar lagi,” kata si ibu
“Tak sekufu apanya, lain agama ke? Lelaki tu mat saleh ke?” tanya ulama
“Takdelah macamtu sekali. Budak melayu kita juga. Tapi dia lepasan SPM je, kawan sekolah sejak sekolah menengah rupanya. Sedangkan anak saya kan lepasan university oversea, tak sekufulah. Lagipun dia kerja kilang je, sedangkan anak saya ni pegawai tinggi. Mana nak padan,” si ibu menjelaskan panjang lebar.
“Lelaki itu jahat ke? Atau dah bergaul bebas dengan anak puan”tanya ulama itu lagi
“Takdelah … dia kaki masjid. Orang dakwah lah katakan. Anak saya pun baik, tak suka bergaul bebas. Mereka aktif dalam aktiviti dakwah masa sekolah dulu”, nada suara ibu tu kedengaran kurang senang.
“Baguslah tu. Bertuahlah puan dapat menantu macamtu. Suami orang dakwah, moga-moga pandai didik anak puan,” kata ulama itu sambil tersenyum.
“Bagus apanya? Itu yang buat saya risau. Nanti anak saya pula yang kerja keras, suami pula asik berdakwah je. Dia bagi makan syarahan je anak bini dia,” perempuan tu bersuara keras.
“Ooh …” sang ulama hanya membulatkan bibir.
“Yang saya lagi geram tu, rupanya nampak je warak, tapi kuat main sihir. Bila tak dapat kahwin dengan anak saya, disihirkannya pula. Sampai anak saya gila dibuatnya,” kata perempuan itu lagi.
“Eh … mana boleh tuduh-tuduh. Betulkah budak lelaki tu sihirkan anak puan,”tanya ulama itu.
“Iye … dah 10 bomoh saya pergi, semuanya cakap benda yang sama. Lelaki itulah yang menganiaya anak saya ni. Kata bomoh-bomoh tu, lelaki tu guna sihir Siam,” perempuan itu nampak geram.
“Ooh … jadi puan ni dah sering jumpa bomoh lah ye?”
“Dah merata tempat saya pergi cari bomoh, dah berpuluh ribu saya habis duit, tapi tak baik-baik juga anak saya. Sebab tu saya bawa datang sini ni, manalah tau. Dengar kata doa tok guru ni mustajab. Tapi itulah saya dah habis duit dah ni, takde apa nak bagi pada tok guru,” perempuan itu cakap dengan terus terangnya.
Suasana senyap seketika. Ulama itu tetap tenang. Tapi perempuan itu nampak mula rimas dengan soalan-soalan ulama itu.
“Yang adik ni pula macamana kisahnya,” tanya ulama itu lagi.
“Ini lagilah kejam. Dia tak buat salah apapun tapi dia pula yang kena. Ini mangsa perniagaan arwah ayah dialah ni. Saya dah ingatkan jangan meniaga dengan orang macamtu, tapi ayah dia nak buat juga. Akhirnya untung tak kemana, dia pun mati kena sihir, anak pula gila,” si ibu bercerita penuh emosi. Sepertinya dia marah dengan arwah suaminya.
“Siapa pula yang buat sihir tu?” sang ulama menyoal lagi.
“Rakan niaga ayah dia tulah. Dia dengki. Bila untung sikit je dah tamak pula, nak bolot sorang. Dia sihirkan lah kami. Sebenarnya yang dia tuju saya dan suami. Suami saya yang konon warak sangat tu terkena santau sampai mati dibuatnya. Saya pula tak terkena tapi tempias kat anak pula,”
Dari cara penceritaan dan isi maklumatnya nampak perempuan tu macam ada masalah je dengan arwah suami dia.
Sang ulama mengangguk-angguk. Nampak mukanya berkerut-kerut menahan marah. Semua orang yang hadir jadi suspen. Perempuan itu pula tak sabar-sabar nak air jampi. Dihulurkannya botol air tu kepada ulama itu.
Tiba-tiba ulama itu bersuara tegas dan kuat.
“Sudahlah! Bawa air tu balik. Saya bukan bomoh jampi air! Jaga anak-anak puan ni baik-baik. Bagi makan cukup, beri kasih sayang. Jangan sesekali pukul atau dera mereka. Puan banyakkan muhasabah dan taubat banyak-banyak. Kalau anak-anak ni tengah elok, ajak mereka taubat dan selawat banyak-banyak,” ulama itu bercakap tapi tak pandang pun pada perempuan tu.
“Tak kan tuan tak doakan kami?” perempuan itu cuba merayu.
“Taubat kamu lebih mustajab dari doa saya,” jawab ulama itu dengan pantas.
“Saya doa panjang manapun tapi kalau puan tak bertaubat, tak ada maknanya!” suara ulama itu makin meninggi.
“Apa dosa saya?” perempuan itu bertanya dengan muka selamba je. Macam tak boleh terima pula disuruh bertaubat.
“Ya Allah … dosa sebesar ini pun puan tak nampak? Memang patutlah Allah hina puan macam ni!” kali ini ulama itu betul-betul menampakkan kemarahannya, siap dengan gerak tangan sekali.
Perempuan itu diam tapi dengan muka mencuka. Orang-orang lain semakin cemas dengan suasana itu.
“Allah dah tegur puan dengan ujian anak pertama sakit jiwa, patut puan dah insaf”.
“Insaf apanya? Patut budak lelaki tu yang insaf, cabut balik sihir ni,” perempuan tu bersuara agak tinggi.
“Astaghfirullah … astaghfirullah … ,” ulama itu mengurut dada.
“Puan faham tak? Dua anak puan gila itu maknanya Allah bagi bala bencana besar pada puan! Ini amaran Allah pada puan! Allah nak ingatkan puan supaya puan bertaubat, Sebab puan dah banyak buat dosa-dosa besar!”
“Apa dosa saya?” tanya perempuan tu macam tak boleh terima.
“Dengar sini! Ini senarai dosa puan yang saya boleh tunjukkan:
Pertama, puan tak sedar dah buat dosa itu adalah DOSA! Mana boleh seorang hamba tak rasa diri berdosa. Inikan pula memang dah buat dosa.
Kedua, bila Allah uji puan dengan anak sakit, puan cari bomoh. Puan tak faham pun apa maksud Allah uji puan dan tak taubat pun. Puan tak minta tolong pada Allah. Minta tolong bomoh yang guna jin dan syaitan itu juga DOSA.
Ketiga, puan mudah-mudah je sangka jahat bahkan tuduh orang hantar sihir. Kalau betul orang tu buat, puan dikira mengumpat. Kalau orang tu tak buat, puan dah kira memfitnah.
Keempat, puan dah halang niat baik anak berkahwin dengan lelaki yang baik semata-mata kerana tamakkan harta. Elok-elok anak puan tu nak dapat jodoh orang baik, puan halang, jadi andartu pula. Dan sekarang dah gila. Puan sedar tak yang puan ni cinta dunia sangat?"
panjang lebar pula ulama itu menganalisa kesalahan perempuan itu.
Perempuan itu terkebil-kebil, entah faham atau tidak. Tapi sempat pula dia menyampuk,
“Kita nak minta ubat, kena marah pula,”katanya dengan suara perlahan.
“Ini amaran saya pula! Dah 2 orang anak puan gila, tapi puan tak nampak pun bahawa Allah yang buat. Puan tak sedar pun bahawa Allah tengah marah pada puan. Sebenarnya puan yang sakit jiwa! Anak-anak puan adalah mangsa dari kesombongan puan pada Allah dan juga manusia”,
“Macamtu pula,” perempuan itu mengerutkan muka.
“Iye! Puan dah dera anak-anak kandung sendiri sampai gila. Puan dera dengan dosa-dosa puan. Allah jadikan anak-anak ini mangsa supaya senang puan insaf, sebab puan sayang anak-anak ini kan?”
“Betul … saya sayang anak-anak saya. Sebab itu saya tertekan bila anak-anak saya jadi begini,” jawab perempuan itu macam nak bela diri.
“Okeylah … puan balik rumah. Renungkan apa yang saya cakap ni. Moga-moga puan faham dan sedar. Lepastu taubat dengan sepenuh hati. Minta maaf kepada sesiapa yang telah puan zalimi, terutama pada anak-anak puan ni. Mereka mangsa penderaan puan sendiri walaupun secara fizikal macam tak ada penderaan. Puan juga kena minta maaf pada orang yang puan tuduh hantar sihir. Dan Puan juga kena taubat betul-betul sebab dah pilih jalan khurafat gunakan bomoh,”
“Bbb … baiklah tok guru,” kata perempuan itu sambil tertunduk.
“Saya berdoa moga Allah bagi kefahaman pada puan. InsyaAllah kalau puan betul-betul taubat, Allah akan ampunkan puan. Dan Allah akan tarik balik ujian ini. Saya yakin masa itu anak-anak puan akan sihat dengan sendirinya,”.
Perempuan itupun balik tanpa membawa air jampi tapi segudang ilmu rohani untuk membongkar penyebab sebenar sakit anak-anaknya. Entah apa yang dia fikirkan. Moga-moga dia faham dan membuat perubahan.
Itulah secebis kisah bagaimana ujian itu adakalanya adalah penghinaan Allah kepada manusia yang sombong dan zalim. Terlajak sombong dan zalim hingga sombong dan zalim kepada Allah. Dah buat dosa banyak tapi tak rasa berdosa.
Sebab itu, marilah kita berwaspada bila sedang diuji, samada ujian penderitaan atau ujian nikmat. Kenalah curiga pada diri sendiri, adakah Allah beri ujian ini untuk penghapusan dosa atau untuk menghina diri kita. Bila dapat nikmat kena waspada juga, apakah Allah beri dengan rahmat supaya kita makin hampir kepada-Nya atau diberi sebagai istidraj hingga kita makin jauh dari-Nya.
Renung-renungkanlah …
Salsabeel, 1 Mei 2014
Kamus istilah untuk pembaca luar Malaysia:
Mat saleh = orang putih, orang bule, orang Barat.
Kaki masjid = orang yang rajin ikut kegiatan masjid
Bomoh = dukun
Santau = santet = sihir pembunuh
Siam = Thailand
Rimas = gerah = tidak nyaman
Andartu = anak dara tua