“CINTA adalah anugerah Allah, salah satu perasaan yang baik dalam hati manusia. Mencintai adalah merasakan bahawa yang kita cinta itu seolah-olah sempurna, kerana kekuatan cinta mampu membuatkan kita menerima dan memaafkan kecacatan apa yang kita cintai itu. Tuhan adalah Yang Maha Sempurna. Oleh kerana itu Cinta yang paling hakiki dan paling Agung adalah Cinta Tuhan.
Manusia tak sempurna, tapi manusia juga memerlukan cinta: mencintai dan dicintai. Oleh kerana itu Cinta bukan hanya mencari sesuatu yang sempurna tapi bagaimana mencintai sesuatu yang tak sempurna dengan baik dan tepat sesuai kehendak Tuhan”
Langit Kuala Lumpur cukup cerah, namun suasana jalan Ampang nampak membosankan. Betapa tidak, kesesakan selama berjam-jam terpaksa dilalui oleh para pengguna jalan raya.
Dalam sebuah kereta biru, duduk dengan tenang Bonda yang sedang dalam perjalanan balik dari ibu kota menuju rumahnya. Di sebelahnya, tepatnya di belakang stereng, duduk Nurul, seorang remaja puteri yang begitu setia sebagai pemandu Bonda. Mereka tiba-tiba dikejutkan oleh sebuah panggilan talipon, Bonda segera membuka comunicatornya.
“Aku nak mati! Aku nak mati! Aku nak bunuh diri je!” Pekik suara pemanggil menjerit histeris. Bonda dan Nurul saling berpandangan. Nurul mengerutkan kening lalu geleng-geleng kepala.
Bonda memperhatikan nombor talipon pemanggil yang ternyata tidak dikenal, nombor itu tidak tercatat nama pemiliknya dalam communicator Bonda. Suara pemanggil itu juga payah dikenal sebab seperti suara orang yang sedang kena rasuk.
“Sabar sayang! Dengan siapa saya bercakap?” Tanya Bonda lembut.
“Jangan tanya-tanya…. aku cuma nak kamu bagitahu suami kurang ajar itu bahawa aku dah mati, biar dia puas…. Reza memang kejaaaam !!! ….. biar dia puas dengan kematianku…”, kata pemanggil itu dicelah-celah isak tangisnya. Klik! Talipon tiba-tiba terputus. Nurul dan Bonda beristighfar hampir bersamaan.
“Reza?”, Bonda cuba mengingat-ingat. Wajah Bonda berubah muram.
“Siapa Reza tu Bonda?, Tanya Nurul.
“Entahlah ….Bonda pun tak ingat,” berkerut kening Bonda cuba mengingat nama itu.
“Apa kena mengena perempuan tu dengan Reza? Kenapa dia nak bunuh diri pula?, Nurul mengejar Bonda dengan soalan lagi.
“Itulah masalahnya, Bonda tak ingat ….,” jawab Bonda lagi.
“Okey ..okey …cuba Bonda bertenang ….manalah tahu kot boleh ingat,” kata Nurul.
“Allahummasolliala Muhammad ….ya Allah dengan berkat nabi-Mu tolong ingatkan aku siapa perempuan ini …,” Bonda mengeluh dengan cemas.
“Perempuan tu isteri Reza, kan? Bonda ada klien yang tengah ada masalah nak bercerai ke?, tanya Nurul.
”Oh…. Syani ….., Bonda dah ingat dah ….perempuan tu Syani …dia sedang ada masalah dengan suaminya, Reza. Alhamdulillah …. soalan Nurul membantu Bonda ingat.
“Ya Allah … Syani …Syani …..kenapa jadi begini?!!” kata Bonda semakin cemas.
“Nurul, cepat kita ke pangsapuri Kota Metro!” Bonda memberi arahan.
“Siapa dia Bonda? Kenapa nak bunuh diri?”
“Syani…dah beberapa kali dia talipon minta nasihat. Katanya dia dapat nombor talipon Bonda dari majalah. Dia ada masalah keluarga. Kelmarin kami sembang-sembang lama di talipon. Rancangannya, besok baru nak jumpa di pangsapurinya. Kelmarin tu macam tenang je. Tapi entahlah, tiba-tiba je jadi begini.” Terang Bonda dengan gelisah, lalu segera membuka recent call mencari nombor Syani.
Di lokasi kejadian, Syani sedang menjerit-jerit di tingkap pangsapurinya di tingkat empat. Kerumunan orang yang riuh rendah menyaksikan kejadian tersebut dari bawah pangsapuri menambah tegangnya suasana.
“Aku nak mati ! Aku nak tinggalkan dunia yang kejam ini!” Teriak Syani dengan separuh badan menjorok keluar tingkap dan satu tangan lagi bergayut di tepi tingkap. Sebelah tangannya masih memegang handphone. Sesekali Syani diam termenung tapi di waktu yang lain tiba-tiba berteriak-teriak histeris menyatakan keinginannya untuk bunuh diri.
Bonda yang masih dalam perjalanan kemudian segera menghubungi nombor talipon Syani, mencuba untuk menenangkan Syani.
“Syani, tenang dulu ye. Bonda sedang dalam perjalanan ke pangsapuri Syani ni, dah nak sampai. Bukankah Syani janji nak jumpa Bonda?” Tanya Bonda lembut bagaikan ibu kandung.
“Tapi Syani dah tak tahan. Reza memang teruk! Kejamnya dia khianati Syani begini.” jawab Syani
“Syani... yakinlah, Tuhan pasti akan memberi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah ini.” Rayu Bonda lagi
“Syani nak mati saja ….., Syani dah tak tahan lagi….. Itu saja jalan penyelesaian …” Sahut Syani lagi.
“ Baiklah. Bonda nak minta satu saja pada Syani. Tolong dengarkan apa yang nak Bonda katakan ini.” Kata Bonda lagi tak putus asa.
Seketika itu juga Bonda membacakan satu nukilan tazkirah tentang kematian:
Jangan Sangka Mati Itu Senang
Ada orang menyangka mati itu senang
Apabila mati kita dikubur kemudian jadi tanah habis cerita
Yang susah hanya di dunia, apabila mati selesailah masalah
Orang ini tak pernah belajar, dia menganggap mati itu mudah
Padahal kalau tidak ada iman, syariat diabaikan mati sangat menyakitkan
Dia akan menempuh empat babak yang sangat menakutkan
Sakitnya mati seperti pukulan tiga ratus pedang yang tajam
Di dalam kubur dipukul dan dihajar oleh malaikat dengan sangat sakit
Makin lama kiamat maka makin lama masa menerima azab kubur
Dia diazab tidak ringan
Dipukul dan dipalu oleh malaikat amat ganasnya
Terpekik terlolong tidak ada siapa yang menolongnya
Di padang mahsyar dibiarkan beratus-ratus tahun
Di dalam keadaan tidak berpakaian, matahari di atas ubun-ubun amat panas
Terlantar dan dibiarkan seperti cacing kepanasan tidak ada yang menolongnya
Masing-masing tidak peduli, masing-masing jaga diri
Akhir sekali meniti sirat al mustaqim, kemudian berguguranlah ke dalam api
Di dalam neraka yang panas dirantai dipukul dibelengu makan buah zaqum yang panas
Dengan bau busuknya kalau terbau oleh makhluk dunia semuanya mati
Di dalam neraka kekal abadi tidak diukur oleh masa lagi
Marilah kita insaf dengan cerita ini marilah kita menyiapkan diri
Agar kita selamat dengan penderitaan yang diceritakan tadi
Setelah mendengar tazkirah ringkas itu, tiba-tiba saja Syani meraung-raung ketakutan. Nafas Syani termengah-mengah tak beraturan. Tiba-tiba saja tubuh yang tadinya tegang dan histeris itu terkulai jatuh ke dalam pangsapuri. Syani tersungkur pengsan. Jiran-jiran berlarian masuk ke rumah Syani. Bik Imah dan jiran-jiran perempuan mengangkat dan membaringkan Syani di atas katil. Sementara yang lain segera menutup tingkap dan menguncinya. Orang-orang yang berkerumun di bawah berangsur-angsur bergerak kembali ke tempat masing-masing.
Beberapa saat kemudian Bonda sampai ke pangsapuri itu. Bonda lega mendapati halaman pangsapuri yang lengang. Bonda meyakinkan dirinya bahawa tidak ada perkara buruk yang terjadi di pangsapuri itu. Bonda sangat yakin Syani membatalkan niatnya untuk bunuh diri.
Bersama Nurul, Bonda naik sampai aras empat menggunakan lift.
Mudah sahaja mencari letak pintu rumah Syani kerana Bonda tinggal mencari nombornya saja saat sampai di aras empat itu.
Saat Bonda dan Nurul masuk, suasananya dah sunyi. Jiran-jiran dah balik ke rumah masing-masing. Bik Imah yang membukakan pintu. Bonda memperkenalkan diri dan Bik Imah mempersilakan Bonda dan Nurul untuk terus masuk saja ke bilik Syani yang katanya sudah sedar tapi masih lemah. Nampak ada tiga orang jiran perempuan yang masih berada di ruang tamu.
Salah seorang dari mereka menyambut Bonda dengan mesra.
“Alhamdulillah Bonda dah sampai, kami harap Bonda boleh selesaikan masalah Syani. Saya agak rapat dengan Syani. Dia ada bercerita tentang Bonda. Nampaknya dia sangat percaya dan berharap nak segera jumpa Bonda. Sebab tu saya tak benarkan sesiapa panggil polis dan bomba. Lagipun kalau kes ni sampai pada polis, nanti media tahu, malu pula Syani.”
“Terima kasih. Itu tindakan yang bijak. Kita kena tolong tutup aibnya dan bantu selesaikan masalahnya”, kata Bonda.
Saat Bonda dan Nurul masuk bilik, mata Syani masih terpejam dan terbaring lemah, namun beberapa saat kemudian kelopak mata Syani bergerak-gerak. Syani nampaknya sedar ada orang datang, dibukanya kedua matanya perlahan. Bonda lalu mendekati Syani,
"Syani, ini Bonda…… Syani apa khabar?" Tanya Bonda dengan suara lembutnya.
"Bonda...." Syani bangkit perlahan dan duduk, kemudian memeluk Bonda erat-erat. Dia seolah-olah dah kenal lama Bonda. Airmatanya meluncur deras, sedu-sedan jelas terdengar.
Bonda membiarkan Syani berbuat begitu, bahkan Bonda membelai-belai belakang Syani dengan penuh kasih sayang. Nurul, Bik Imah dan tiga orang jiran yang ikut masuk ke bilik Syani itu ikut menangis terharu.
Setelah semua tenang, Bonda memberi isyarat supaya Nurul dan yang lainnya keluar untuk memberi kesempatan Syani bebas mencurahkan isi hatinya kepada Bonda. Syani memegang tangan Bonda erat-erat seakan-akan tak ingin dilepas lagi. Meluncurlah suatu kisah pilu yang menjadi sebab keinginannya untuk mengakhiri hidup.
Semua berawal dari rasa marah terhadap Reza suaminya yang berlaku curang. Kes main kayu tiga yang biasa terjadi dikalangan masyarakat saat ini pun terjadi juga di dalam keluarga yang mereka bina bersama selama sepuluh tahun.
Siapa sangka, kawan karib tempat Syani berkongsi masalah selama ini ternyata musuh dalam selimut di dalam rumah tangga mereka. Diam-diam Farhana, kawan karibnya itu ternyata bercinta dengan suaminya. Dan semua itu baru diketahuinya beberapa hari yang lalu. Dengan tak sengaja dia melihat kereta Reza parking di sebuah hotel tempat Syani sedang ada program meeting company di hotel tersebut.
Dan ketika Syani check bilik Reza di reception, rupanya Reza baru saja check in bilik, namun tak sendiri, bersama seseorang yang membuat dada Syani sesak. Bagaimana tidak, Reza chek in bersama Farhana! Farhana kawan karibnya itu!
Dua hari yang lalu Reza memang memberitahu Syani katanya ada program outstation yang memaksanya tak dapat balik untuk beberapa hari dalam minggu ini. Anehya Farhana juga memberitahu nak balik kampung menjenguk ayahnya yang sedang sakit. Syani merasa begitu lurus tak sedar ada yang pelik atas kepergian mereka yang seolah secara kebetulan waktunya bersamaan. Dan rupanya itu memang sebuah perancangan, mereka berkomplot untuk mengkhianati Syani. Kenyataan pahit itu sangat menghancurkan jiwanya. Bagaimana mungkin???!!
Dalam keadaan yang dikuasai oleh marah, panik, kecewa, dan bermacam perasaan tak menentu, Syani kemudian mencari mereka di bilik hotel. Syani memekik-mekik di luar pintu hingga Reza terpaksa keluar. Syani memaksa untuk masuk ke bilik itu. Syani yakin dalam bilik itu pasti ada Farhana, sebab receptionist kata Reza datang dengan isteri. Pandai pula Reza dan Farhana menipu! Sakit betul hati Syani, rasa nak tonyoh muka Farhana yang tak tahu malu tu. Namun Reza berkeras melarang Syani masuk, Reza menghalangnya di pintu dan mengusirnya. Reza hampir sahaja nak tampar Syani kalau tak dihalang oleh petugas hotel. Akhirnya dengan hati teramat pedih, Syani meninggalkan tempat itu. Hatinya sakit, jiwanya berontak dan air mata dah sejak di ruang reception tadi deras mengalir di pipinya.
Merasa tak puas, Syani menghubungi Farhana dengan privat number kerana Syani dah agak Farhana tak akan angkat talipon kalau pakai nombor biasa. Syani ingin tahu apa sebenarnya yang sedang berada di fikiran Farhana sampai sanggup merebut suami kawan karibnya sendiri. Namun Syani tak kuasa menahan emosi, tak sempat bertanya, Syani terus sahaja memaki hamun Farhana. Syani makin sakit hati, Farhana bukannya minta maaf malah menyalahkannya. Farhana menyatakan bahawa kerana Syani tak pedulikan Reza, maka Farhana menjadi tempat pelarian Reza.
“Dah engkau tak pandai jaga laki, jangan salahkan aku kalau laki engkau minat kat aku”, sanggup Farhana berkata begitu kepada kawan karibnya sendiri.
Hal itu menyedarkan Syani bahawa kemarahannya tak menyelesaikan masalah, malah menambah luka di hatinya.
Sebenarnya manisnya hidup berumah tangga hanya sempat Syani rasakan beberapa bulan saja setelah menikah. Setelah itu yang ada adalah krisis demi krisis.
Syani, seorang executive perhubungan disebuah syarikat jurutera perunding yang agak besar di ibukota, memiliki pribadi yang cukup menyenangkan banyak orang. Cantik, mesra dan rajin. Tak peliklah kalau kerjaya Syani naik cepat, dan tak pelik juga bila ramai executive-executive muda yang masih bujang ataupun yang dah beristri cuba mendekati Syani. Namun Syani tetap tak menghiraukan siapapun, kerana baginya kerjaya adalah segalanya.
Sampailah akhirnya, Reza datang mengisi ruang-ruang hidupnya, mengiringi kesibukan demi kesibukannya setiap hari.
Reza, salah seorang klien dari syarikat tempat Syani bekerja. Reza, mewakili syarikat keluarganya sering berurusan dengan Syani. Dari hubungan bisnis akhirnya berlanjut menjadi sepasang kekasih. Sikap Reza yang lembut dan penyayang telah menawan hati Syani.
Dan ketika Reza datang melamar Syani, tak ada penolakan apapun, kedua belah pihak keluargapun saling setuju. Walaupun akhirnya Syani mengetahui latar belakang Reza yang sebenarnya iaitu bukan saja anak orang kaya tapi ternyata Reza juga anak yang dimanja oleh orang tuanya. Memang sebelum menikah Syani tahu Reza adalah anak salah satu keluarga kaya di ibukota ini, namun sejak pertama kali bertemu sampai saat perkawinannya, Syani nampak Reza sebagai lelaki yang bekerja keras, berdikari dan sederhana.
Hidup bersama dalam satu ikatan rumah tangga menyingkap segalanya. Tak ada lagi yang dapat disembunyikan, watak dan sifat masing-masing yang tak nampak ketika bercinta, kini terlihat jelas. Rupanya kehidupan Reza bergantung sepenuhnya pada keluarga. Dia hanyalah pegawai perhubungan dari syarikat kontraktor binaan peninggalan arwah ayahnya. Yang betul-betul bekerja keras adalah ibu dan abangnya. Namun di sebalik kelemahan itu ada sifat Reza yang membuat hati Syani cair, Reza mudah meminta maaf. Dan dia sangat berseni dalam mengambil hatinya. Setiap hadiah dari Reza yang diberikan kepada Syani, terutama jika ingin meminta maaf, ditulisnya kalimat “Aku Cinta Padamu”. Ayat itu seolah-olah ‘bendera putih’ tanda menyerah kalah atau mengaku salah.
Pada awalnya kemanisan pernikahan masih boleh menutupi segala kekurangan, ujian demi ujian di sebalik nikmat dapat dilepasi, sampailah akhirnya Syani harus menerima kenyataan bahawa suaminya telah melakukan kejahatan rumah tangga yang sangat memukul naluri kewanitaannya.
Reza bercinta dengan perempuan lain. Yang lebih menyakitkan lagi bagi Syani, perempuan itu lebih tepat menjadi ibu bagi Reza. Semua terjadi setelah ujian menimpa keluarga besar Reza, ibu dan abang Reza kemalangan. Reza terpaksa menguruskan semua hal syarikat secara mengejut. Ketidakcekapan Reza menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian besar sehingga berada diambang kebangkrapan.
Reza dengan mudahnya membuat keputusan berbaik-baik dengan salah seorang perempuan iaitu bos syarikat pembekal besar yang banyak memberi hutang kepada syarikat keluarganya demi menyelamatkan syarikat keluarganya itu. Perhubungan itu berlanjut hingga Reza bercinta dengan perempuan tua itu! Reza sanggup jadi sugar dady demi wang!
Syani cuba meyakinkan Reza bahawa bukan itu cara untuk mendapat kesenangan hidup. Mereka mesti bekerja keras. Akhirnya Syani bekerja keras untuk membantu Reza melepaskan diri dari ketergantungannya pada syarikat keluarganya. Lagipun, Reza memang tak minat dan tak mampu bekerja di bidang kontraktor binaan. Atas bantuan Syani dan kawan karibnya, Farhana, kini Reza mulai bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat pengiklanan dimana Farhana adalah pemilik saham dan pegawai penting di syarikat itu. Watak Reza yang mudah mesra memang sesuai untuk kerjaya pemasaran.
Lambat laun kondisi kewangan keluarga mereka semakin mantap. Tapi malangnya mereka semakin jarang bertemu. Reza dan Syani sibuk dengan projek masing-masing. Tengah malam baru mereka balik dalam keadaan sama-sama keletihan. Hari-hari cuti pun jarang mereka nikmati bersama kerana masing-masing sibuk bekerja mencari wang. Yang lebih parah lagi, kesibukan mereka mencari wang telah membuat mereka lalai dengan Tuhan. Sholat ditinggalkan! Kalau sesekali dibuat sekedar bila berkumpul dengan keluarga. Reza juga hanya sesekali sholat Jumaat semata-mata kerana malu kepada kawan-kawan.
Makin hari Syani semakin sibuk, apalagi setelah dia membuat bisnis sampingan untuk menambah penghasilan selain dari gaji tetapnya. Kadang-kadang dia langsung tak balik ke rumah. Urusan rumah tangga diserahkan sepenuhnya kepada Bik Imah, pembantu rumahnya. Bahkan Danial anak tunggalnya yang baru berumur 6 tahun dihantar ke kampung tinggal bersama ibunya. Syani hanya menjenguknya sebulan sekali atau mengirim wang saja kepada ibunya.
Suasana ini sangat menekan Reza. Sudah beberapa kali Reza minta Syani banyak tinggal di rumah terutama di hari cuti, tapi kelihatannya Syani dah workalcoholic, gila kerja, payah nak dihentikan. Reza sering kesepian. Di saat-saat begitu dia banyak mencurahkan isi hatinya kepada Farhana bosnya yang juga kawan baik Syani. Lambat laun mereka jadi semakin rapat, bukan saja urusan kerja tapi juga urusan peribadi. Suami Farhana pula adalah pengusaha besar yang selalu outstation termasuk ke luar negara. Rasa senasib sebagai suami dan isteri yang kesepian akhirnya menjerumuskan mereka dalam satu percintaan haram.
Syani benar-benar tak sanggup menerima kenyataan ini. Reza, suami yang dicintainya dan Farhana kawan karibnya sanggup mengkhianatinya? Lebih parah lagi ketika mereka terserempak dan Syani menyerang mereka di hotel beberapa hari yang lalu. Reza dan Farhana sama-sama menyalahkan Syani yang mereka anggap sebagai penyebab percintaan haram itu. Mereka menuduh Syani lebih mementingkan kerjaya dan tak nak memberi perhatian kepada suami. Sakitnya hati Syani....suami yang dicintai dan sahabat yang disayangi sanggup berkomplot untuk mengkhianati bahkan menyalahkannya!
Syani kembali menangis.
“Bonda..saya benar-benar tak tahan. Bonda..tolonglah saya.” Perlahan suara Syani merayu pada Bonda dengan sedih.
“Sabarlah dan yakinlah bahawa ini semua ujian dari Tuhan. Dia nak melihat apakah Syani boleh sabar dengan ujian ini dan memahami apa maksud Tuhan di sebaliknya. Tuhan juga pasti akan menyelesaikannya. Cuma tergantung kita, apakah kita nak merujuk, menyerah diri meminta bantuan pada-Nya atau kita mencari jalan lain atau kita berputus asa.” Hibur Bonda sambil menepuk-nepuk bahu Syani.
”Memang ada kawan yang memberi nasihat supaya Syani cari bomoh untuk menundukkan Reza, tapi Syani tak nak. Syani tahu itu cara yang salah, Bonda.” Kata Syani.
"Lalu kamu fikir kematian saja yang boleh menyelesaikan masalah ini?" Sahut Bonda.
"Tidak...tidak.. Tidak Bonda. Syani tak nak mati. Syani banyak dosa..Syani tak sanggup menghadapi siksaan kubur..." Sahut Syani segera.
Tiba-tiba Syani ketakutan,
"Takut..takut...ampun...ampun.." Rintih Syani.
Syani semakin ketakutan, kelakuannya seperti seseorang yang sedang disiksa. Dia memegang kepala seolah-olah seperti melindungi kepalanya dari dipukul orang.
"Syani, tenang…tenang...cuba ceritakan apa yang kamu rasakan..."
Beberapa saat kemudian Syani kembali tenang, kemudian dengan serius dia memulai ceritanya.
"Setelah menalipon Bonda tadi, saya hampir terjun dari tingkap. Tapi beruntunglah Bonda menalipon lagi dan membacakan tazkirah tentang kematian itu. Setelah selesai mendengarnya tiba-tiba saya diperlihatkan satu bayangan orang yang nak membunuh saya dengan pedang. Saya takut sekali lalu saya pingsan. Sewaktu pingsan itu roh saya seperti dibawa ke satu tempat menyaksikan satu pemandangan yang sangat menakutkan.” Terang Syani sambil menutup seluruh wajah dengan kedua tapak tangannya, seolah-olah yang diceritakan itu sedang disaksikan di hadapannya sekarang. Bonda kembali membelai bahu Syani untuk menenangkannya.
“Bonda, ada dua makhluk mendekati saya…dua makhluk…saya tak tahu makhluk apa namanya kerana mereka sangat buruk rupanya dan sangat busuk baunya. Mereka menatap saya dengan pandangan tajam, seolah-olah menghunjam ke dalam hati saya, saya sungguh takut, pandangannyapun menyakitkan.
Tiba-tiba saya mendengar lengkingan suara yang belum pernah saya dengar sebelumnya. Kekuatan bunyi itu lebih dahsyat dari petir. Beberapa saat kemudian saya baru sedar bahawa bunyi kuat itu adalah suara dua makhluk di hadapan saya.
“Siapa Tuhanmu?” Tanya salah seorang dari mereka. Bukan sahaja bulu roma saya tegak bahkan seluruh syaraf-syaraf yang ada dalam tubuh saya rasa tegak semua, sangat menakutkan, suaranya lebih mengerikan daripada suara petir yang sangat ganas sekalipun.
Namun saya seperti orang dungu ditanya begitu. Saya tak tahu nak jawab apa, saya tak faham dengan pertanyaan mereka.
“Siapa Tuhanmu?” Tanya mereka lagi. Saya semakin terperanjat dan takut, namun saya boleh memahami pertanyaannya dan saya tahu jawabannya. Anehnya saya tak mampu mengucapkannya, hati saya berkata ‘Allah’ Tuhan saya, namun bibir saya terkunci rapat sehingga mereka semakin marah kerana pertanyaannya tak juga mampu saya jawab. Sampai akhirnya berkali-kali mereka memberikan pertanyaan yang sama. Berkali-kali sampai gegendang telinga saya nak pecah, saya menangis, lalu dengan susah payah akhirnya saya berhasil mengatakan jawabannya. Saya begitu lega boleh mengucapkan nama Allah. Saya harap mereka akan tenang dengan jawaban saya. Namun tiba-tiba tanpa disangka-sangka, wajah mereka terlihat semakin murka.
“Bohong!” Seru mereka bersamaan. Tubuh saya semakin menggingil dan gemetar.
“Penipu! Mulut engkau bercakap tuhanmu Allah, tapi sebenarnya kau tak pernah menuhankan Allah.” pekik mereka.
Bayangkan, tak memekik pun suara mereka dah melengking menakutkan, apalagi kalau memekik. Sungguh, rasanya darah ini berhenti mengalir.
“Kau menuhankan suamimu!” Seru salah satu dari mereka. Saya menggeleng kuat. Mana mungkin saya menganggap suami saya sebagai Tuhan?
“Kau mencintainya dan memujanya sampai melupakan Tuhanmu yang sesungguhnya.” Kata yang satunya lagi.
Oh benarkah itu? Saya semakin takut. Seluruh darah sepertinya tersedut habis oleh rasa ketakutan.
“Tapi kau tak melayani suamimu dengan baik, kau mengabaikannya demi cintamu pada yang lain, iaitu tuhanmu yang lain lagi, iaitu kerjaya dan bisnismu, padahal katanya kau mencintai suamimu dengan sepenuh hati.” Saya menangis melolong sejadi-jadinya.
“Mana tuhanmu? Siapa sebenarnya tuhanmu?” Tanya mereka lagi.
Ketakutan saya semakin memuncak. Saya ingat, saya memang terlalu mencintai suami saya, saya rela berbuat apa saja demi dia, namun anehnya dengan ringannya saya meninggalkan dia hanya untuk urusan pejabat dan bisnis. Rupanya saya juga menuhankan kerjaya hingga saya juga menghantar anak kepada ibu saya demi kerjaya. Saya ingat itu semua dalam ketakutan saya tadi. Dan yang paling membuat saya takut sampai meraung-raung adalah ingatan saya pada Allah, Tuhan saya yang Maha Baik. Saya mengingat-ingat bila terakhir kali saya mengingat Allah? Bila saya sholat? Walaupun saya sering menyebutnya tapi saya jarang merasakan peranan-Nya dalam hidup saya. Rasanya jarang sekali, hampir tak pernah, sekalipun saya telah mendapat dugaan berat sebelum ini, namun tetap saja saya melupakannya. Saya tak merasa bahawa ujian ini dari Allah. Saya hanya melihat ujian ini kerana kejahatan orang lain. Dalam sholat saya yang hanya sekali-kali itupun entah berapa minit sahaja saya ingat dengan Allah. Sholat saya tak pernah khusyuk pun. Sholat sekadar memenuhi kewajiban tapi tak ada penghayatan.
Akhirnya mereka yang berwajah menyeramkan dengan bau menyengat itu mendekati saya, memukulkan godamnya berkali-kali di kepala saya, kepala saya rasanya dah hancur berkecai, tak tertahankan sakitnya. Saya berharap kepala saya hancur lalu saya mati agar sakitnya tak terasa lagi, namun itu tak terjadi, kepala saya tetap wujud. Makhluk yang seorang lagi memukuli tubuh saya dengan palu besi sebesar kapak. Mereka tak peduli dengan lolongan saya meminta ampun. Sungguh sakitnya tak terperi, bahkan masih terasa sampai sekarang, busuknya bau mereka juga seakan merasuk ke dalam seluruh saraf saya.”
Syani menangis terisak-isak.
"Syukurlah... Tuhan telah memberimu hidayah. Tuhan telah menyelamatkanmu dari kematian yang sia-sia."
"Terima kasih Tuhan... " Rintih Syani dengan suara terputus-putus di celah-celah isak tangisnya.
"Marilah kita berfikiran positif. Rupanya dibalik ujian yang menimpa keluarga Syani, sebenarnya Tuhan nak Syani kembali merujuk kepada-Nya. Mungkin selama ini Syani hanya memberi cinta kepada suami dan melupakan Tuhan. Sedangkan Tuhan itu lebih patut dicintai. Akhirnya Tuhan ambil suamimu supaya kamu kembali mengingati dan mencintai-Nya." Terang Bonda.
"Betul Bonda, selama ini saya memang lalai dengan Tuhan. Selama ini saya rasakan Reza itulah segala-galanya. Sebab itulah ketika dia mengkhianati saya, saya nak gila, saya seperti kehilangan segalanya hingga terfikir nak bunuh diri." Sahut Syani.
"Sebenarnya suami itu Tuhan hadiahkan kepada kita untuk menjadi kawan dalam kita menempuh perjalanan menuju Tuhan. Sepatutnya kita dan suami bersama-sama dalam mencintai Tuhan. InsyaAllah kalau kita sama-sama mencintai Tuhan, kasih sayang antara suami dan isteri itu akan lahir dengan sendirinya. Itulah mawaddah wa rahmah yang Tuhan janjikan kepada setiap keluarga yang membesarkan-Nya."
"Betul Bonda, sepatutnya saya mencintai Tuhan kerana sebenarnya Tuhanlah yang menciptakan cinta kasih suami isteri itu. Dia dapat menumbuhkan dan mencabutnya bila-bila masa sahaja."
Sejak kejadian itu Syani meninggalkan pangsapuri Kota Metro yang mengingatkannya pada kenangan-kenangan pahit. Yang paling getir adalah kebodohannya berniat terjun dari pangsapuri itu, seolah-olah nyawa memang ada di tangannya. Syani amat malu jika mengingat itu. Maka dimantapkan hatinya untuk hijrah ke salah satu rumah di antara dua rumah yang dimilikinya di pinggiran Kuala Lumpur. Selama ini rumah itu disewakan dan sekaligus asset pelaburan masa depan. Syani berniat sungguh-sungguh, dengan hijrahnya dia ke rumah baru, dia juga akan hijrah dari kejahilan menuju redha dan cinta Tuhan. Syani juga bercadang akan menjaga anak tunggalnya dengan penuh kasih sayang selepas Danial habis periksa sekolah akhir tahun nanti .
Syani benar-benar berubah. Dia mulai serius mencari ilmu-ilmu agama terutama tentang perhubungannya dengan Tuhan. Dia mengikuti kursus sholat membina pribadi agung yang dianjurkan oleh syarikat motivasi dimana Bonda adalah salah seorang pengarahnya. Syani benar-benar berusaha menjalin hubungan cinta dengan Tuhan. Lambat laun Syani mulai dapat menerima kenyataan perbuatan Reza terhadapnya. Syani yang selama ini dikenal sebagai wanita besi dan business woman yang sibuk siang malam mencari wang, kini jadi ramah, mudah membantu walaupun tetap saja aktif dalam kerja dan aktiviti kemasyarakatan. Pakaiannya sebagai seorang muslimah semakin baik, auratnya ditutup dengan rapi. Sholatnya istiqamah, baik di pejabat atau di mana saja. Kemana-mana dia selalu membawa telekong dan sejadah di keretanya. Di waktu malam kelihatan Syani begitu serius beribadah, bermanja-manja dengan Tuhan. Diam-diam kini Syani mempunyai budaya hidup yang baru. Semua hadiah dari Reza yang bertuliskan Aku Cinta Padamu kini dia ubah. Huruf m kecil Syani conteng dan ganti dengan M besar menjadi Aku Cinta Pada-Mu sebuah ikrar bahawa kini dia sedang mencuba untuk mencintai Tuhan.
---
Lima bulan berlalu. Suatu malam, beberapa menit menjelang Isyak, Syani baru sampai ke rumah dari tempat kerja. Seperti biasa Syani membunyikan hon kereta, memberi isyarat kepada Bik Imah bahawa dia dah balik. Namun berkali-kali Syani membunyikan hon, Bik Imah tetap tak muncul juga. Akhirnya Syani turun dari kereta, terus menuju pintu yang rupanya tak dikunci. Tapi tak seperti biasanya, Bik Imah tak menyambutnya di pintu. Syani fikir mungkin Bik Imah sedang sibuk menyiapkan makan malam di dapur. Kedengaran ada bunyi orang cuci pinggan di dapur. Syani terus ke biliknya, dia nak mandi dan bersiap-siap untuk sholat Isyak. Di tengah jalan tadi Syani menyempatkan diri untuk sholat Maghrib di mesjid.
Saat Syani membuka pintu bilik, dia terkejut melihat ada sejambak bunga yang diletakkan di meja biliknya. Syani meneliti siapa pengirimnya tapi tak ditemukannya. Gubahan mawar merah segar itu sangat indah, diletak dalam bakul rotan comel yang tak sepadan dengan mawar yang jumlahnya banyak, namun itu menambah keindahannya apalagi dihiasi pula dengan ribbon-ribbon kecil berwarna-warni di sekeliling bakul comel itu.
“Bik Imaaah!” Teriak Syani memanggil pembantu rumahnya dari bilik Syani yang pintunya masih terbuka.
“Bik Imah, siapa kirim bunga ni?” pekik Syani.
Tapi tak ada jawaban, sepertinya Bik Imah benar-benar tak dengar panggilannya. Pelik juga, biasanya kalau dia pekik macam ni, Bik Imah tengah tidur pun akan terjaga.
Syani mengangkat bunga itu dan menciumnya, tiba-tiba sebuah envelop kecil yang terletak dibawah bunga itu terseret dan terjatuh di lantai, lalu Syani mengambilnya. Dibukanya envelop itu perlahan, tak ada nama pengirim, hanya sebaris perkataan tertulis pada kad berbentuk hati dalam envelop itu yang begitu dia kenal AKU CINTA PADAMU.
"Reza...." Pekik Syani.
Syani dengan tergesa-gesa keluar dari bilik, maksudnya ingin mencari Bik Imah nak bertanya bila dan siapa yang menghantar bunga itu, namun di pintu bilik dia melanggar badan seseorang. Ya, seorang lelaki tegap berpakaian lengkap seperti baru selesai sholat menghadangnya di pintu...dan lelaki itu adalah...Reza! Syani terkesiap, ada perasaan gembira bercampur sedih dan takut tiba-tiba mendera jiwanya.
Reza melebarkan kedua tangan seperti hendak memeluknya dan Syani hampir saja menyambutnya, tapi dia tersentak dan mundur.
"Reza..?" Syani hairan. Matanya memandang tepat ke arah lelaki itu hampir tak percaya.
Reza yang memang dah lama berdiri di depan pintu memperhatikan gelagat Syani, seperti dah membaca fikiran istrinya itu. Reza lalu menunjukkan beberapa anak kunci.
"Abang masuk rumah dengan kunci ini." Katanya.
"Haah! Itu kan kunci simpanan Bik Imah?” kata Syani. Dicuba sekuatnya menekan perasaannya.
"Betul... abang tahu kunci lama dah tak boleh dipakai sebab Syani dah mengganti semua kunci pintu, kan? Abang dah tiga kali menjadi tamu Bik Imah. Tadi pagi abang mengantarnya ke airport, kakaknya di kampung baru meninggal. Dia minta cuti balik kampung dua minggu. Abang yang uruskan tiketnya. Abang minta maaf sebab abang yang melarangnya memberitahu Syani.” Terang Reza panjang lebar.
"Jadi...?” Syani tercekat, hampir tak mampu berkata-kata.
"Ye...Bik Imah sedang tak ada di rumah ini”. Kata Reza sambil tersenyum.
“Sampai hati bibik buat macamni ….”, perlahan suara Syani.
“Jangan salahkan dia. Abang yang suruh. Bukan nak susahkan Syani. Abang bersedia mengganti tempat Bik Imah menemani Syani selama dia di kampung, supaya tak kesepian. Boleh, kan?” Reza tersenyum nakal.
“Tapi…..”
”Ya…abang sedar, abang memang suami yang jahat. Tapi abang mohon berilah abang kesempatan, setidaknya untuk menceritakan apa yang telah terjadi selama ini.”
Syani jadi bingung, tak tahu nak buat apa. Pandai Reza buat perangkap. Bibik pula sangat memberi kerjasama. Nak halau Reza, macam kurang ajar pula. Lagipun, ini rumah Reza juga. Tapi nak terima dia pun tak semudah itu. Macam-macam sangkaan bermain di benaknya.
Dari kejauhan terdengar sayup-sayup suara azan.
”Ba …ba …baiklah…saya nak bersiap sholat Isya dulu.” Kata Syani tergagap.
“Terima kasih… Abang tunggu di ruang sholat, kita sholat berjemaah ye?” Ajakan Reza menambah kebingungan Syani.
“Aik ….sejak bila pula dia sholat? Siap ajak berjemaah pula tu! Baiknya dia, macam ustaz pula … betul ke ini Reza suami aku,” kata hati Syani setengah tak percaya.
Malam itu Reza dan Syani sholat Isya berjemaah. Syani hampir tak percaya ketika Reza mengimaminya sholat Isya dengan begitu tenang dan bacaan yang fasih.
“Dimana dia belajar? Bila dia belajar? Sejak bila dia berubah? Apakah aku sedang bermimpi?” Berulang-ulang Syani bertanya-tanya dalam hatinya. Maha Kuasa Tuhan yang telah mengubah Reza dengan begitu ketara.
Setelah selesai sholat dan berdoa, Reza membalikkan badannya, duduk menghadap Syani di ruang sholat itu. Masing-masing merasa kekok, seperti orang yang baru kenal satu sama lain.
“Boleh abang mula bercakap?” Tanya Reza setelah beberapa minit membisu. Syani mengangguk.
”Mula-mula Abang mohon maaf kerana masuk ke rumah ini tanpa izin dari Syani.” Kata Reza.
”Ah…tak apa. Ini kan rumah abang juga,” jawab Syani sambil tersenyum. Ada kelembutan dalam nada suaranya.
”Abang juga ucapkan terima kasih kerana Syani sudi memberi kesempatan pada abang untuk bercakap.”
”Silalah…. insyaAllah saya boleh jadi pendengar yang baik,”jawab Syani semakin ramah
”Hmm… panjang ceritanya…
Setelah Syani jumpa abang di hotel lima bulan yang lalu, abang jadi serba salah. Abang minta maaf, sebenarnya saat itu abang memang bersama Farhana.” Hati Syani kembali pedih mengingat peristiwa itu dan mendengar pengakuan suaminya, namun masih dicubanya menahan perasaannya yang tiba-tiba bergemuruh.
“Namun kami tak sempat berbuat apa-apa. Tuhan Yang Maha Baik telah mencegah perbuatan nista itu dengan kedatangan Syani yang pada akhirnya membuat kami berfikir rasional.”
Cess…sebentuk bongkahan ais terasa menyejukkan hati Syani mendengar pengakuan suaminya itu. Hati Syani begitu lega mengetahui Reza tak berbuat hina dengan Farhana.
“Walaupun waktu itu kami sempat menyalahkanmu, tapi sebenarnya hati kecil kami tersiksa. Apalagi ketika abang dan Farhana mendengar Syani melakukan percubaan bunuh diri, kami jadi semakin merasa bersalah. Farhana terlalu malu denganmu. Dia begitu menyesal telah berkhianat kepada sahabat karibnya sendiri. Akhirnya dia membuat keputusan pindah ke luar negara ikut suaminya yang membuka bisnis baru di Maldives. Dia hanya meninggalkan pesan permintaan maaf kepada Syani melalui abang. Tinggallah abang seorang melalui hari-hari yang penuh penyesalan dan kekesalan. Tapi nasi telah menjadi bubur. Abang terlalu malu untuk menghadap dan meminta maaf kepada Syani. Abang sedar, kesalahan kali ini terlalu besar, terlalu payah untuk Syani maafkan. Namun, di hati kecil ini, abang tetap mencintai Syani.” Lembut suara Reza saat mengucapkan ayat terakhir, membuat pipi putih pualam Syani merona merah.
“Lebih kurang seminggu setelah abang dengar Syani melakukan percubaan bunuh diri, ada kejadian ganjil berlaku pada abang. Tengah hari itu abang baru turun dari kereta di kawasan parking pejabat abang. Tiba-tiba ada kawan call. abang pun mundar-mandir di sekitar tempat parking tu sambil menjawab panggilan talipon. Beberapa saat setelah abang selesai bercakap, seorang tukang sapu menghampiri abang. Abang sempat melihat sekilas pakcik tua itu sejak tadi memerhatikan abang yang sedang bercakap di talipon. Semakin dekat, pakcik itu semakin mengamati wajah abang. Abang jadi kekok, bahkan abang sempat berfikir orang ini tak betul kot. Apalagi tiba-tiba saja pakcik itu menunjuk-nunjuk wajah abang sambil tersenyum, “kesian ..kesian ..kesian.” katanya sambil menggelengkan kepala. Abang sama sekali tak faham pakcik itu nak apa dari abang. Yang ada dalam benak abang adalah orang ini memang benar-benar tak waras. Anehnya, abang tak pergi meninggalkannya, padahal selama ini abang tak pernah memperdulikan hal-hal remeh seperti itu, apalagi pada pakcik tukang sapu tu.
“Maaf Encik …boleh pakcik cakap sikit” kata pakcik itu semakin dekat. Abang tak minat langsung tapi peliknya abang masih juga belum nak berganjak dari hadapannya.
“Pakcik nak cakap apa? Apasal tiba-tiba je pakcik nak cakap dengan saya ni?” Tanya abang dengan muka masam, namun pakcik itu masih saja tersenyum.
“Kita memang belum saling kenal. Tapi pakcik dah selalu tengok Encik. Kenalkan nama saya Ahmad, kalau nama Encik …. Reza kan?.” Kata pakcik itu lagi sambil menjeling nametag didada abang. Dia mengulurkan tangannya namun abang tak hiraukan.
“Pakcik dah beberapa kali melihat Encik meskipun sekilas, pakcik juga heran mengapa tiba-tiba je pakcik tergerak hati nak cakap dengan Encik.”
“Sudahlah pakcik, saya tak banyak masa ni, pakcik nak cakap apa?
“Maafkan pakcik, siapalah pakcik nak tegur Encik Reza. Tapi pakcik rasa kesian je. Pakcik tengok akhir-akhir ni Encik macam serabut je. Tengoklah tu, pakaian tak matching, berkedut pula tu. Rambut dan jambang tak terurus. Apa masalah Encik sebenarnya? Gaduh dengan isteri ke?”
Otomatik abang tengok baju, seluar dan necktie abang, memang tak matching dan tak licin. Abang pegang jambang abang yang memang dah serabut.
“Hemmm ….terima kasih lah kerana pakcik ambilberat hal saya.”
“Bukan apa, bila tengok Encik, saya terkenangkan arwah anak lelaki saya,” kata pakcik tu dengan suara sedih.
“Oh …pakcik kematian anak ke?” tiba-tiba abang jadi rasa simpati pula bila dengar suara sedihnya itu.
“Ye … 3 bulan lepas. Anak pakcik muda lagi …. mungkin sebaya Encik. Pasal ikut sangat jiwa muda tu akhirnya dia bernasib malang” kata pakcik dengan nada kesal.
“Apa yang berlaku pada anak pakcik?”, abang semakin tertarik dengan cerita pakcik tu.
“Anak pakcik ni bukannya sekolah tinggi. Walaupun dia ada sakit lelah, tapi dia rajin berusaha. Maklumlah anak orang miskin, mak dia pula dah lama meninggal. Dia berniaga elok, buka bengkel motor. Isteri baik, anak baru seorang. Bolehlah hidup ala kadar kat bandar besar ni. Tapi dia tak sabar ….. nak cepat hidup senang. Dapat pula peluang niaga cepat kaya dari seorang janda kaya. Bengkel motor pun dia tutup. Dah ke hulu-ke hilir pula dengan si janda tu. Last-last kena tangkap khalwat. Isteri balik kampung. Si janda tu pula bukannya nak kahwin dengan anak pakcik yang miskin tu. Cuma nak seronok-seronok je. Si janda itupun pergi tinggalkan dia. Anak pakcik tinggallah sorang. Apa pun takde. Duit tak ada, kerja tak ada, rumah pun dah tak mampu nak bayar sewa. Akhirnya dia menumpang di gerobok buruk pakcik kat kampung setinggan. Penyakit lelah dia makin parah. Akhirnya dia mati meragan sorang-sorang”. Pakcik itu menghentikan ceritanya dengan suara yang semakin sebak.
Tanpa sedar abang jadi ikut sedih mendengar cerita pakcik itu.
“Hemm …saya minta maaf kalau saya telah membuat pakcik jadi terkenangkan anak pakcik. Sabarlah lah ye. Nampaknya pakcik menerima ujian lebih berat dari saya”.
Pakcik itu memandang abang dan tersenyum. Lalu dia kembali menyapu di tengah teriknya matahari. Abang jadi malu, pakcik yang sudah tua begitu, sudahlah kerja berat, didera pula oleh panasnya matahari, sedangkan abang yang duduk di kursi empuk dalam ruangan, masih merungut walaupun dah pakai aircond, walhal abang jauh lebih muda dari dia.
Dipendekkan cerita abang jadi bersimpati dengan pakcik Ahmad tu. Rasa macam ayah pula. Petangnya Abang singgah kedai baju, membeli beberapa kemeja dan seluar yang abang agak-agak boleh muat di badan pakcik Ahmad tu. Entahlah, ada apa dengan Abang, mungkin Abang terlalu bersimpati mendengar cerita pakcik Ahmad tu. Atau sebagai tanda syukur abang kepada Allah kerana ujian yang menimpa abang tidaklah seteruk yang dialami anak pakcik Ahmad. Petang itu abang habiskan masa membeli barang-barang untuk pakcik Ahmad. Abang juga membelikan kasut, capal, kopiah, kain pelikat dan juga sejadah. Ada kebahagiaan tersendiri membayangkan pancaran kebahagiaan pakcik Ahmad atas hadiah itu. Esok masa rehat tengahari abang akan berikan hadiah itu ,padanya. Pelik juga. kan? Syani dah kenal Abang selama sepuluh tahun, Abang ni kan jenis tak peduli hal orang, tiba-tiba je jadi berubah” tanya Reza. Syani tidak mampu menjawab, matanya lurus menatap Reza dengan rasa syukur yang mendalam.
“Lepas tu macamana? Pakcik Ahmad menerima hadiah dari abang tu ke?” Tanya Syani mencuba menguasai perasaan harunya.
“Ye … dan sesuai bayanganku, pakcik Ahmad begitu bahagia, ada air yang bertakung di pelupuk matanya. Pakcik Ahmad menciumi hadiah itu, macam mahal sangat. Ah, begitu berhargakah hadiah-hadiah itu? Padahal harganya sama sahaja nilainya dengan harga sekali makan abang di restoran mewah"
“Terima kasih Tuhan, ini adalah rezeki dari Allah yang disalurkan melalui tangan Encik. InsyaAllah pakcik akan menggunakannya seperlunya, selebihnya akan pakcik agihkan pada yang lain.” Abang semakin terpana. Berapa lama abang melupakan Tuhan? Padahal kekayaan yang sudah dilimpahkan-Nya pada abang jauh melebihi orang lain. Sedangkan pakcik Ahmad yang hanya diberi hadiah tak seberapa itu terus saja memuji-muji nama Allah, bersyukur dan terharu. Walhal itu hanya secubit saja dari apa yang setiap hari abang terima dari Allah. Abang merasa malu sekali. Abang segera berlari menuju surau pejabat. Kebetulan surau tu dah sepi. Di sana abang menangis sejadi-jadinya. Abang mencerca diri abang sendiri yang dah melupakan Allah, bahkan di saat kesusahan pun masih melupakan-Nya, bagaimana pada saat senang? Sejak siang itu, abang mulai sholat.
Beberapa hari kemudian abang bermimpi bertemu seseorang, wajahnya bercahaya, berpakaian serba putih, berserban dan berjanggut rapi, Abang dapat mencium harum tangan dan jubahnya. Entahlah, dalam mimpi itu abang mencium tangannya, beliau menyambut abang kemudian memeluk abang kuat-kuat. Selepas itu beliau menegur abang dengan suara yang sangat lembut dn berwibawa, membuat hati abang terbuka untuk mendengar segala tegurannya. Dia memaparkan dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan abang. Yang paling banyak adalah dosa abang pada Allah, ibu dan ayah juga pada Syani dan Danial. Abang menangis saat satu persatu dosa dibentangkan. Beliau seperti melapah lapisan-lapisan kulit abang satu persatu. Dosa-dosa abang didedahkan, aib-aib abang dibuka. Abang tak henti-henti menangis. Namun wajah teduhnya membuat abang merasa selamat di sampingnya. Beliau meraih bahu abang kemudian kembali memeluk abang, ada perasaan damai tak terhingga yang masih boleh abang rasakan sampai sekarang. Terasa sangat dia nak selamatkan abang. Dia buka aib dan bentang dosa abang dalam pertemuan empat mata yang sungguh menginsafkan.
“Bertaubatlah, anakku, taubat orang yang berdosa lebih Allah sukai daripada tasbih para wali.” Pesan beliau sebelum pergi.
Kemudian abang terbangun. Wajah abang basah oleh air mata, berarti tangis abang dalam mimpi itu terbawa sampai ke alam nyata. Abang segera mengambil wuduk kemudian sholat taubat. Abang mencuba bertaubat sungguh-sungguh kepada Allah.
Sejak saat itu, secara diam-diam, abang mengintai kehidupan Syani. Beberapa kali secara sembunyi-sembunyi di waktu malam abang cuba balik ke pangsapuri tapi tak berani nak masuk. Sampai akhirnya abang tengok pangsapuri dah kosong. Hanya tinggal sekeping kertas bertuliskan for rent dan no talipon Syani terlekat di pintu. Abang sungguh kecewa, rupanya kalian dah pindah.
Lalu abang pergi ke rumah kita ini, dan ternyata rumah ini yang Syani pilih untuk dihuni, terlihat dari pagar dan dinding rumah yang dah dicat baru dan dipasangkan langsir baru. Abang fikir boleh langsung masuk rumah dengan kunci simpanan abang, namun gagal kerana rupanya Syani telah mengganti semua gagang pintu dan kunci dengan yang baru.
Bagaimanapun, abang beruntung kerana Bik Imah secara sembunyi-sembunyi nak memberi kerjasama. Dari Bik Imah lah Abang tahu segalanya, juga tentang Bonda yang telah banyak mengubah hidup Syani.
Dari maklumat Bik Imah ini juga akhirnya abang dapat berkenalan dan mendapat bimbingan dari Bonda namun abang minta Bonda rahsiakan dari Syani. Mulanya abang hanya ingin mengintai Syani, namun ternyata abang terserempak dengan seseorang di depan pejabat motivasi Bonda.
“Assalamu’alaikum, Encik, sedang menunggu seseorang ke?” Tanyanya ramah. Dia mendekati abang dalam kereta yang abang parking di depan pejabat itu. Abang jadi kekok dan serba salah sampai tidak menjawab salamnya.
“Jomlah ke dalam, kita sembang-sembang sekejap.” Ajaknya. Sebenarnya abang nak turun dari kereta, namun bagaimana kalau tiba-tiba Syani melihat abang? Bukankah Syani sedang ada di dalam sana? Wajah abang pasti akan seperti ketam rebus kalau sampai terserempak dengan Syani.” Gurau Reza membuat Syani terkikik geli. Suasana jadi cair. Ada aura bahagia menyapa mereka.
“Lalu, bagaimana lagi selanjutnya, bang?” Tanya Syani tersenyum. Reza membalas senyum Syani yang dirasakannya senyum paling indah yang pernah diberikan Syani untuknya.
“Abang menolak ajakan orang itu yang pada akhirnya abang tahu namanya Ustaz Fuad. Kerana Abang takut terus didesak untuk masuk, maka Abang segera minta diri. Namun sebelum pergi Ustaz Fuad memberikan sesuatu pada abang yang terus diletakkannya ke dalam kereta. Abang hairan, pelik betul orang ini, baru kenal dan hanya sembang sekejap je dah bagi hadiah.
Saat abang terpaksa berhenti kerana lampu merah, abang buka bungkusan pemberian Ustaz Fuad, ternyata sebuah buku. Sambil menunggu lampu hijau menyala, Abang tak sabar nak baca buku itu, namun darah abang dah berdesir ketika membaca bagian belakang buku itu:
Jasad lahir hanyalah sangkar untuk jasad batin. Kalau kita gagal mengenal batin manusia, kita akan gagal mendidik diri manusia. Jadi mengenal diri sebenarnya bukanlah mengenal rupa lahir, tapi yang lebih penting sebenarnya mengenal watak batin, iaitu jiwa, fikiran, kepakaran, kecenderungan, watak, nafsu dan kekuatan yang ada pada diri kita. Dengan mengetahui sifat-sifat yang ada pada diri kita, kita nanti dapat melatih diri kita dan meletakkan diri sesuai pada tempatnya, jika tidak maka akan terjadi kerusakan di muka bumi ini kerana kita telah melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan jiwa kita. Terjadilah kejahatan, krisis jiwa dan ketegangan pikiran hingga hilanglah kebahagiaan.
Bukankah itu yang sedang terjadi pada abang? Abang makin tak sabar nak baca semua isinya, namun kereta di belakang abang dah membunyikan hon kerana lampu dah hijau.”
Kedua mata Reza berkaca-kaca. Syani dapat menangkap keharuan yang sedang menyelimuti suaminya saat ini, sehingga Syani tidak berani bertanya apa-apa, dibiarkannya Reza bercerita sendiri.
“Ajaibnya, isi dari buku itu sama sebijik intinya dengan ucapan orang yang menemui abang dalam mimpi…” perlahan suara Reza, air matanya seketika menderas. Meskipun tak berapa faham, Syani cuba meraih telapak tangan suaminya, cuba menenangkan perasaan Reza yang tidak dimengerti Syani.
“Buku itu abang baca habis sampai lima kali. Setiap kali membacanya abang selalu menangis, abang ingat dosa-dosa dan kebodohan-kebodohan abang. Hanya dengan berfikir sedikit saja tentang Tuhan abang dah merasa masalah abang akan boleh diselesaikan. Patutlah Allah kata dalam Al Quran, hanya dengan mengingati Tuhan hati menjadi tenang. Rupanya dengan mengenal Tuhan, mencintai-Nya dan takut pada-Nya, segala masalah dapat diselesaikan. Abang bertekad kuat untuk boleh menjadi orang yang mengenal dengan baik diri ini supaya abang boleh mengenal Tuhan. Abang teramat yakin bahawa buku itu hakikatnya Allah yang kirim untuk menyedarkan dan memberi jalan keluar untuk abang. Ayat-ayat dalam buku itu sederhana dan ringan, namun begitu dalam menghujam ke dalam hati. Siapapun yang membacanya dengan niat yang baik pasti akan mendapat ilmu-ilmu rohani yang dituliskannya dalam buku itu.
Abang cuba menghubungi Ustaz Fuad yang kad namanya terselit di buku itu. Akhirnya melalui Ustaz Fuad, teman sekerja Bonda di syarikat motivasi itu, abang mendapat bimbingan bagaimana seharusnya melalui kehidupan ini. Tuhan telah memproses Abang sebagaimana Tuhan juga telah memproses Syani.”
“Jadi selama ini abang juga mendapat bimbingan dari sana?” Tanya Syani macam tak percaya.
“Ye, abang dah kesana sekitar tiga bulan yang lalu, setiap motivasi dan kaunseling yang abang terima amat berkesan yang belum pernah Abang temui selama hidup. Setiap kali mendapat motivasi, abang selalu menangis, abang rasa malu pada Allah dan kesal sangat pada diri sendiri.” Air mata Reza menetes, semakin lama semakin menderas dan akhirnya Reza terisak-isak. Syani terpana, selama sepuluh tahun pernikahannya Syani baru pertama kali inilah dia melihat suaminya menangis begitu rupa.
“Kita sangat beruntung Allah membimbing kita yang buta dan tersesat. Kita sangat beruntung, nikmat Allah yang mana lagi yang tidak kita syukuri…?” Reza mencari mata Syani yang wajahnya menunduk. Syani tidak kuasa menahan titisan air matanya.
“Selama ini abang merasa hidup hanya sekali, di dunia saja, mana pernah abang fikir serius tentang akhirat? Tiba-tiba tanpa abang sangka-sangka, Tuhan mengenalkan diri-Nya sendiri pada kita dengan cara-Nya yang unik, yang tidak pernah terpikir oleh kita sebelumnya. Tuhan Yang Maha Baik masih nak menerima kita yang dah berpuluh tahun derhaka pada-Nya”. Mereka berdua menangis dengan rasa haru yang mendalam. Malu, syukur, takjub dan berbagai perasaan kepada Tuhan memenuhi jiwa mereka.
”Abang sedar bahawa semua ujian yang terjadi pada keluarga kita adalah kerana abang melupakan Tuhan. Abang hanya cinta pada diri sendiri, abang hanya mementingkan diri sendiri…” Ucap Reza kemudian.
”Syani juga bersalah. Selama ini Syani terlalu cinta dan menganggap abang adalah segalanya dalam hidup Syani hingga Syani lupa bahawa suami hanyalah pinjaman dari Tuhan yang patut disyukuri dan dijaga dengan baik. Lalu, Tuhan pun murka dan mengambil apa yang Syani cintai itu…” ucap Syani pula.
”Abang sungguh menyesal terhadap apa yang telah terjadi di antara kita. Ini semua terjadi kerana dosa-dosa abang.”
”Syani juga begitu Bang. Syanilah penyebab dari segala masalah dalam keluarga kita.” jawab Syani.
“Apakah Syani nak menerima abang kembali dalam kehidupan Syani? Abang ingin menebus dosa-dosa abang kepada Syani hingga Syani benar-benar memaafkan abang. Abang ingin membahagiakan Syani...”
”Sepatutnya Syani yang bercakap begitu. Syani juga banyak bersalah kepada abang.”
Dengan spontan Syani menangkap tangan kanan Reza dan mencium tangan suaminya itu. Reza mengusap kepala Syani dengan lembut. Kedua-dua mereka tak dapat membendung airmata keinsafan dan kesyukuran yang mengalir deras. Semoga airmata itu menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu, menghilangkan jejak-jejak hitam yang telah menodai sejarah kebahagiaan dan ikatan kasih sayang mereka sebagai suami isteri.
“Alhamdulillah ….Tuhan Cinta Agung kita dengan kasih sayang-Nya, menyatukan kita kembali.”
Reza mengangkat tangan dan berdoa, Syani mengaminkan.
”Tuhan! Ampunkanlah aku dan isteriku! Ketika kami merasa saling mencintai hingga kami melupakan-Mu, Engkau pisahkan kami dengan cara yang begitu hina. Engkau hukum kami dengan dosa, derita dan kekecewaan. Namun, ketika kami cuba untuk mengenal dan mencintai-Mu, Kau satukan kami dalam keindahan dan kemuliaan. Engkaulah sumber kebahagiaan dan keselamatan. Selamatkan kami, bahagiakan kami dalam keredhaan-Mu. Sungguh Engkau Maha Agung. Engkau memang patut dicintai. Tuhan! Jadikanlah Engkau Cinta Agung kami. Agar kami tidak lagi lebih cinta kepada selain-Mu. Agar cinta kami kepada sesama manusia adalah kerana cinta kami pada-Mu.
TAMAT
http://www.penulisan2u.my/2014/01/cerpen-aku-cinta-padamu-3/