Beranda

Ingat kebaikan orang lain, ingat kejahatan sendiri

Memaparkan catatan dengan label hikmah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hikmah. Papar semua catatan

Rabu, 30 April 2014

DUA ANAK GADIS GILA KERANA DIDERA IBU KANDUNG SENDIRI

Dalam hidup ini kita sering menerima ujian misalnya  kematian orang terdekat, kehilangan barang, kemalangan, kerugian niaga, hilang kerja, sakit dan sebagainya.  Kita akan bersedih dan menderita kerananya.  Selalunya orang yang bersimpati akan beri kita kata nasihat, sabarlah, redhalah, Allah sayang tu, sikit tu, dan lain-lain yang tujuannya adalah untuk meringankan kesedihan kita.  Jarang kita dengar orang bagi kita nasihat, waspadalah dengan ujian tu!

Nah … yang jarang orang buat tulah yang nak ditulis dalam posting kali ini.  Kenapa nak kena waspada atau berhati-hati dengan ujian?  Tentu ada ilmu dan sabab musababnya kan?

Seperti sedia dimaklumkan dalam posting sebelum ini bahawa Allah beri ujian kepada manusia dengan beberapa tujuan.  Dua di antaranya telah kita bahas iaitu:

1.  Sebagai penghapusan dosa jika kita sabar dan redha.
2.  Sebagai peningkatan darjat bagi orang-orang yang tak berdosa.

Ada satu lagi tujuan ujian itu Allah beri iaitu:
3.  Sebagai penghinaan kepada manusia yang zalim kepada Allah dan sesama manusia.

Hikmah pertama dan kedua telahpun dibahas panjang lebar pada postingan lepas. Mari kita tengok pula apakah ujian sebagai penghinaan itu.

Nak mudahkan faham, mari kita fahami  kisah  dua orang gadis yang gila kerana didera oleh ibu kandungnya sendiri.

Kisah ini terbongkar ketika seorang perempuan telah bertemu dengan seorang ulama yang arifbillah.  Ulama arifbillah ni bukan calang-calang ulama.  Dia bukan saja banyak ilmu tapi banyak amalannya, samada ibadah fardhu ain atau fardhu kifayah.  Dia juga tak hanya berdakwah dengan kata-kata tapi mengotakan atau melaksanakan dakwahnya.

Dipendekkan cerita ada seorang ibu tunggal yang sedang ditimpa ujian.  Bukan calang-calang ujian pula tu. Sudahlah dia kematian suami, dua orang anak gadisnya pula menderita sakit jiwa alias gila. Terpaksalah dia membuat bilik khas di rumahnya untuk menjaga dua gadis gila itu.  Bilik tu kira macam bilik pasungan lah. Sebab kalau tak dibuat begitu, 2 gadis gila itu akan merayau, merbahaya bagi diri dan orang lain juga.  Dah macam kisah perempuan dalam pasungan pula.

Si ibu datang jumpa ulama itu kononnya nak minta ubat. Dia dengar doa ulama itu sangat mustajab. Tak lupa dia bawa air mineral botol besar untuk dijampi oleh sang ulama. Dua gadis gila itupun dibawanya sekali.  Ramai jugalah rombongan perempuan tu sebab nak tolong kawal dua gadis gila itu.

Maka ulama itu bertanya kepada si ibu,
“Apa dah jadi dengan anak-anak puan ni?”
“Itulah nasib kami, ujian bertimpa-timpa.  Mula-mula si kakak gila, tak lama lepas tu adiknya pula kena,” kata si ibu dengan selamba.
“Macamana boleh jadi begitu.  Ceritalah kejadian masa mula-mula dia sakit tu,” tanya ulama itu.
“Yang kakak ni gila sebab cinta, yang adiknya pula sebab perniagaan,” kata si ibu.
“Macamana tu, “ sang ulama semakin nak tahu.
“Kakak ni lepas balik dari belajar luar negara bercinta dengan seorang lelaki, tapi tak sekufu, jauh beza tarafnya.  Bila lelaki itu datang meminang, saya tolak lah.  Tapi dia tak boleh terima, katanya mereka dah lama bercinta sejak belajar lagi,” kata si ibu
“Tak sekufu apanya, lain agama ke? Lelaki tu mat saleh ke?” tanya ulama
“Takdelah macamtu sekali.  Budak melayu kita juga.  Tapi dia lepasan SPM je, kawan sekolah sejak sekolah menengah rupanya.  Sedangkan anak saya kan lepasan university oversea, tak sekufulah.  Lagipun dia kerja kilang je, sedangkan anak saya ni pegawai tinggi. Mana nak padan,” si ibu menjelaskan panjang lebar.
“Lelaki itu jahat ke? Atau dah bergaul bebas dengan anak puan”tanya ulama itu lagi
“Takdelah … dia kaki masjid.  Orang dakwah lah katakan.  Anak saya pun baik, tak suka bergaul bebas.  Mereka aktif dalam aktiviti dakwah masa sekolah dulu”, nada suara ibu tu kedengaran kurang senang.
“Baguslah tu.  Bertuahlah puan dapat menantu macamtu. Suami orang dakwah, moga-moga pandai didik anak puan,” kata ulama itu sambil tersenyum.
“Bagus apanya? Itu yang buat saya risau.  Nanti anak saya pula yang kerja keras, suami pula asik berdakwah je.  Dia bagi makan syarahan je anak bini dia,” perempuan tu bersuara keras.
“Ooh …” sang ulama hanya membulatkan bibir.
“Yang saya lagi geram tu, rupanya nampak je warak, tapi  kuat main sihir.  Bila tak dapat kahwin dengan anak saya, disihirkannya pula. Sampai anak saya gila dibuatnya,” kata perempuan itu lagi.
“Eh … mana boleh tuduh-tuduh.  Betulkah budak lelaki tu sihirkan anak puan,”tanya ulama itu.
“Iye … dah 10 bomoh saya pergi, semuanya cakap benda yang sama.  Lelaki itulah yang menganiaya anak saya ni.  Kata bomoh-bomoh tu, lelaki tu guna sihir Siam,” perempuan itu nampak geram.
“Ooh … jadi puan ni dah sering jumpa bomoh lah ye?”
“Dah merata tempat saya pergi cari bomoh, dah berpuluh ribu saya habis duit, tapi tak baik-baik juga anak saya. Sebab tu saya bawa datang sini ni, manalah tau.  Dengar kata doa tok guru ni mustajab.  Tapi itulah saya dah habis duit dah ni, takde apa nak bagi pada tok guru,” perempuan itu cakap dengan terus terangnya.

Suasana senyap seketika. Ulama itu tetap tenang. Tapi perempuan itu nampak mula rimas dengan soalan-soalan ulama itu.

“Yang adik ni pula macamana kisahnya,” tanya ulama itu lagi.
“Ini lagilah kejam.  Dia tak buat salah apapun tapi dia pula yang kena. Ini mangsa perniagaan arwah ayah dialah ni.  Saya dah ingatkan jangan meniaga dengan orang macamtu, tapi ayah dia nak buat juga.  Akhirnya untung tak kemana, dia pun mati kena sihir, anak pula gila,” si ibu bercerita penuh emosi.  Sepertinya dia marah dengan arwah suaminya.
“Siapa pula  yang buat sihir tu?” sang ulama menyoal lagi.
“Rakan niaga ayah dia tulah.  Dia dengki.  Bila untung sikit je dah tamak pula, nak bolot sorang.  Dia sihirkan lah kami.  Sebenarnya yang dia tuju saya dan suami.  Suami saya yang konon warak sangat tu terkena santau sampai mati dibuatnya.  Saya pula tak terkena tapi tempias kat anak pula,”
Dari cara penceritaan dan isi maklumatnya nampak perempuan tu macam ada masalah je dengan arwah suami dia. 

Sang ulama mengangguk-angguk.  Nampak mukanya berkerut-kerut menahan marah. Semua orang yang hadir jadi suspen.  Perempuan itu pula tak sabar-sabar nak air jampi.  Dihulurkannya botol air tu kepada ulama itu.

Tiba-tiba ulama itu bersuara tegas dan kuat.
“Sudahlah! Bawa air tu balik. Saya bukan bomoh jampi air! Jaga anak-anak puan ni baik-baik.  Bagi makan cukup, beri kasih sayang.  Jangan sesekali pukul atau dera mereka. Puan banyakkan muhasabah dan taubat banyak-banyak.  Kalau anak-anak ni tengah elok, ajak mereka taubat dan  selawat banyak-banyak,” ulama itu bercakap tapi tak pandang pun pada perempuan tu.                   

“Tak kan tuan tak doakan kami?” perempuan itu cuba merayu.
“Taubat kamu lebih mustajab dari doa saya,” jawab ulama itu dengan pantas.
“Saya doa panjang manapun tapi kalau puan tak bertaubat, tak ada maknanya!” suara ulama itu makin meninggi.
“Apa dosa saya?” perempuan itu bertanya dengan muka selamba je.  Macam tak boleh terima pula disuruh bertaubat.
“Ya Allah … dosa sebesar ini pun puan tak nampak? Memang patutlah Allah hina puan macam ni!” kali ini ulama itu betul-betul menampakkan kemarahannya, siap dengan gerak tangan sekali.

Perempuan itu diam tapi dengan muka mencuka.  Orang-orang lain semakin cemas dengan suasana itu.
“Allah dah tegur puan dengan ujian anak pertama sakit jiwa, patut puan dah insaf”.
“Insaf apanya? Patut budak lelaki tu yang insaf, cabut balik sihir ni,” perempuan tu bersuara agak tinggi.
“Astaghfirullah … astaghfirullah … ,” ulama itu mengurut dada.
“Puan faham tak? Dua anak puan gila itu maknanya Allah bagi bala bencana besar pada puan! Ini amaran Allah pada puan! Allah nak ingatkan puan supaya puan bertaubat, Sebab puan dah banyak buat dosa-dosa besar!”
“Apa dosa saya?” tanya perempuan tu macam tak boleh terima.
“Dengar sini!  Ini senarai dosa puan yang saya boleh tunjukkan:

Pertama, puan tak sedar dah buat dosa itu adalah DOSA!  Mana boleh seorang hamba tak rasa diri berdosa.  Inikan pula memang dah buat dosa.

Kedua, bila Allah uji puan dengan anak sakit, puan cari bomoh.  Puan tak faham pun apa maksud Allah uji puan dan tak taubat pun.  Puan tak minta tolong pada Allah.  Minta tolong bomoh yang guna jin dan syaitan itu juga DOSA. 

Ketiga, puan mudah-mudah je sangka jahat bahkan tuduh orang hantar sihir.  Kalau betul orang tu buat, puan dikira mengumpat.  Kalau orang tu tak buat, puan  dah kira memfitnah.

Keempat, puan dah halang niat baik anak berkahwin dengan lelaki yang baik semata-mata kerana  tamakkan harta.  Elok-elok anak puan tu nak dapat jodoh orang baik, puan halang, jadi andartu pula.  Dan sekarang dah gila. Puan sedar tak yang puan ni cinta dunia sangat?"

panjang lebar pula ulama itu menganalisa kesalahan perempuan itu.

Perempuan itu terkebil-kebil, entah faham atau tidak.  Tapi sempat pula dia menyampuk,
“Kita nak minta ubat, kena marah pula,”katanya dengan suara perlahan.

“Ini amaran saya pula!  Dah 2 orang anak puan gila, tapi puan tak nampak pun bahawa Allah yang buat.  Puan tak sedar pun bahawa Allah tengah marah pada puan.  Sebenarnya puan yang sakit jiwa!  Anak-anak puan adalah mangsa dari kesombongan puan pada Allah dan juga manusia”,
“Macamtu pula,” perempuan itu mengerutkan muka.
“Iye! Puan dah dera anak-anak kandung sendiri sampai gila.  Puan dera dengan dosa-dosa puan. Allah jadikan anak-anak ini mangsa supaya senang puan insaf, sebab puan sayang anak-anak ini kan?”
“Betul … saya sayang anak-anak saya.  Sebab itu saya tertekan bila anak-anak saya jadi begini,” jawab perempuan itu macam nak bela diri.
“Okeylah … puan balik rumah.  Renungkan apa yang saya cakap ni.  Moga-moga puan faham dan sedar.  Lepastu taubat dengan sepenuh hati.  Minta maaf kepada sesiapa yang telah puan zalimi, terutama pada anak-anak puan ni.  Mereka mangsa penderaan puan sendiri walaupun secara fizikal macam tak ada penderaan. Puan juga kena minta maaf pada  orang yang puan tuduh hantar sihir. Dan Puan juga kena taubat betul-betul sebab dah pilih jalan khurafat gunakan bomoh,”
“Bbb  …  baiklah tok guru,” kata perempuan itu sambil tertunduk.
“Saya berdoa moga Allah bagi kefahaman pada puan.  InsyaAllah kalau puan betul-betul taubat, Allah akan ampunkan puan.  Dan Allah akan tarik balik ujian ini.  Saya yakin masa itu anak-anak puan akan sihat dengan sendirinya,”.

Perempuan itupun balik tanpa membawa air jampi tapi segudang ilmu rohani untuk membongkar penyebab sebenar sakit anak-anaknya. Entah apa yang dia fikirkan.  Moga-moga dia faham dan membuat perubahan.

Itulah secebis kisah bagaimana ujian itu adakalanya adalah penghinaan Allah kepada manusia yang sombong dan zalim.  Terlajak sombong dan zalim hingga sombong dan zalim kepada Allah.  Dah buat dosa banyak tapi tak rasa berdosa.

Sebab itu, marilah kita berwaspada bila sedang diuji, samada ujian penderitaan atau ujian nikmat.  Kenalah curiga pada diri sendiri, adakah Allah beri ujian ini untuk penghapusan dosa atau untuk menghina diri kita.  Bila dapat nikmat  kena waspada juga, apakah Allah beri dengan rahmat supaya kita makin hampir kepada-Nya atau diberi sebagai istidraj hingga kita makin jauh dari-Nya.

Renung-renungkanlah

Salsabeel, 1 Mei 2014

Kamus istilah untuk pembaca luar Malaysia:

Mat saleh = orang putih,  orang bule, orang Barat.
Kaki masjid = orang yang rajin ikut kegiatan masjid
Bomoh = dukun
Santau = santet = sihir pembunuh
Siam = Thailand
Rimas = gerah = tidak nyaman
Andartu = anak dara tua

Khamis, 24 April 2014

TAK SEBAIK ASIAH TAK SEJAHAT FIR'AUN

(Siri kedua dari artikel MENGAPA KITA DIUJI)
Tak sebaik Asiah tak sejahat Fir’aun.  Apa cerita ni?  Cecite … cecite ….!!!
Ini bukan kisah drama bersiri slot Akasia TV3 atau telemovie Al-Hijrah.  Tapi lebih famous dari itu.  Nama Fir’aun memang famous mememous di dunia ini sebab diulang banyak kali dalam Al-Quran.  Sesiapa umat Islam yang pernah baca Al-Quran mestilah tahu nama ini disebut-sebut berulang kali.  Dan sesiapa yang prihatin dan faham  Al-Quran (atau terjemahannya) sudah tentu tahu siapakah Fir’aun tu. 
Apakah iktibar yang dapat diambil dari kisah Fir’aun ini juga telah banyak diperkatakan orang.  Jangan sombong … jangan sombong … takut terlajak sombong macam Fir’aun sampai mengaku diri Tuhan.  Jangan celupar … jangan celupar … takut terlajak celupar mencabar Tuhan macam kisah  couple mat rempit yang hancur berkecai digilis treler 16 tayar.  Itu kira macam Fir’aun jugalah.   Jangan tamak … jangan cinta dunia … sebab harta bukan boleh bawa mati pun.  Kalau bawa pun bukan boleh tolong dari siksa kubur.  Fir’aun yang bodoh sombong dan sejenisnya sahajalah yang bawa harta hingga ke kubur. 
Dan berbagai pengajaran lagi yang kita boleh ambil dari cerita Fir’aun.  Allah kekalkan pula jasad Fir’aun yang berlawan dengan Nabi Musa AS hingga sekarang supaya pengajaran dari kisah Fir’aun ini terus kekal dari zaman ke zaman.  Menurut para saintis nama Fir’aun lawan Nabi Musa AS itu Tutankhamun, mati lemas di laut merah, lalu mayatnya diawetkan (mumia) dan boleh dilihat di muzium hingga sekarang.  Ambillah manfaat dari kisah Fir’aun ini dengan menjadikan kejahatan Fir’aun itu sebagai sempadan.  Misalnya, kalau nafsu nak menyombong, cepat pintas dengan ingatan “tak nak lah sombong … tak nak jadi Fir’aun”.
Kali ini saya nak cerita satu lagi pengajaran dari kisah Fir’aun ini.  Bukan bahagian cerita buruk untuk sempadan, tapi bahagian cerita baik untuk tauladan.  Dah tentu bukan cerita baik tentang Fir’aun sebab memang tak ada yang baik pun yang boleh kita jadikan tauladan pada Fir’aun tu.  Tapi cerita tentang isteri Fir’aun iaitu Siti Asiah. 
Siti Asiah adalah isteri atau permaisuri kepada raja Fir’aun.  Cantik jelita, beriman kepada Allah dan solehah pula.  Fir’aun pun sayang sangat pada Asiah ni.  Macamana pula suami jahat macam Fir’aun tu boleh ada isteri solehah pula?  Pelik kan? Suami kafir, tak beriman kepada Allah, siap mengaku diri Tuhan pulak tu, tapi isterinya adalah seorang yang beriman dan  solehah.  Macam mustahil pula.  Macamana pula Fir’aun boleh biarkan isterinya beriman pada Allah?
Itulah kuasa Allah.  Tak ada perkara yang mustahil bagi Allah.  Dalam sarang penyamun boleh ada waliyullah.Dalam istana Fir’aun ada isteri solehah.Macamana Allah buat?  Yang Asiah itu pula tak tersiksa ke bersuamikan lelaki mahazalim Fir’aun tu. Kalau dengan Allah pun dia boleh sombong macamtu, macamana pula agaknya dia layan isteri yang tak ikut kehendak dia? Boleh tahan ke Asiah dengan ujian berat tu?
Asiah memang seorang wanita solehah.  Bahkan boleh dikatakan supersolehah sebab dia itu solehah dalam lingkungan orang-orang zalim.  Kalau solehah di kalangan orang-orang soleh tak lah hebat sangat dibandingkan Asiah yang dia tetap solehah sedangkan suaminya adalah Fir’aun yang superzalim. Bagi Asiah memang itu satu ujian.  Seorang wanita supersolehah diuji dengan bersuamikan lelaki superjahat atau superzalim.
Ada maksud Allah menguji Asiah.  Sebelum ini (dalam artikel MENGAPA KITA DIUJI) telah dijelaskan tentang maksud ujian Allah yang pertama iaitu UNTUK PENGHAPUSAN DOSA JIKA KITA SABAR DAN REDHA.  Itu bagi orang-orang yang banyak dosa.  Bagaimana pula ujian kepada orang-orang yang tidak berdosa seperti para nabi dan rasul? Atau ujian kepada orang-orang soleh dan supersolehah macam Asiah ini? Inilah maksud ujian yang kedua, iaitu ujian UNTUK MENINGKATKAN DARJAT.
Allah uji Asiah yang supersolehah itu dengan bersuamikan Fir’aun yang superzalim itu adalah untuk meningkatkan lagi darjat Asiah di sisi Allah.  Asiah pun sabar dan redha dengan ujian itu.  Dia tak mengeluh pun, malah bertambah iman dan taqwanya.  Bertambah giat dan gigih dia memperjuangkan Allah dan Rasul-Nya.  Tercatit dalam Al-Quran, atas usaha Asiah inilah seorang bayi lelaki yang patutnya mati dibunuh Fir’aun (Nabi Musa AS) akhirnya menjadi anak angkat kesayangan Fir’aun dan Asiah.  Dramatik sungguh bila Allah mencipta sejarah, musuh paling ketat Fir’aun pernah menjadi anak kesayangannya sendiri.  Sibuk memburu musuh serata negara untuk dibunuh rupanya musuh sedang berada  di istana sendiri disayang dan dimanjakan. Fir’aun nak menipudaya Allah tapi Allah tipudaya dia dengan cara yang sangat ajaib dan memalukan sekali.
    
“Mereka membuat tipudaya dan Allah membalas tipudaya  mereka, sesungguhnya Allah lah sebaik-baik pembuat tipudaya”
Bagaimana kisah dramatik ini berlaku?  Kerana kesabaran, keredhaan Asiah kepada apa sahaja ujian yang Allah timpakan padanya, maka Allah selamatkan Asiah dari kezaliman Fir’aun.  Malah dia menjadi kecintaan Fir’aun.  Rupanya Allah berikan berbagai karamah kepada Asiah.  Selain rupa paras yang menawan, dia juga mempunyai akhlak yang sangat menawan hati Fir’aun.  Suami mana yang tidak tergoda dan jatuh hati bila isteri sentiasa memenuhi hajatnya? Dengan layanan yang kualiti supersolehah pula tu.  Kata-katanya menawan, pujuk rayunya susah nak ditolak.  Itulah yang Fir’aun dapat dari Asiah.
Mungkin kita fikir, kesiannya Asiah! Wanita solehah tapi kena layan suami zalim?!  Sebenarnya bukan begitu. Tidak !  Tidak begitu yang berlaku pada Asiah.  Allah tak biarkan hamba-Nya yang supersolehah itu menderita.  Bahkan tak sekalipun Fir’aun menyentuh (bersetubuh) dengan Asiah.  Sebab itulah Asiah tidak mempunyai anak.  Dan oleh sebab tidak anak inilah maka Asiah meminta izin untuk mengambil Nabi Musa sebagai anak angkatnya. Allah pelihara Asiah dengan begitu ajaib.  Setiap kali Fir’aun berhajat kepada Asiah, maka Allah datangkan seekor jin betina yang menyerupai Asiah.  Jin betina inilah yang memberi layanan istimewa kepada Fir’aun tanpa disedari oleh Fir’aun dan kuncu-kuncunya.  Apa yang Fir’aun tahu dan rasa adalah Asiah adalah isteri yang terbaik baginya.  Tak peliklah jika Fir’aun sangat menyayangi Asiah dan segala permintaan Asiah dipenuhinya.
Tatkala Asiah meminta izin untuk mengambil bayi yang hanyut di sungai sebagai anak angkat mereka, Fir’aun pun tak mampu menolak kerana terlalu dalam cintanya pada Asiah.  Walhal waktu itu Fir’aun sedang mengarahkan operasi besar-besaran membunuh semua anak lelaki Bani Israel.  Kahin-kahin (tukang sihir) Fir’aun pula telah meramalkan bahawa bayi hanyut itulah anak lelaki Bani Israel yang kelak akan menjatuhkannya.  Tapi Fir’aun tidak peduli kerana tidak mahu menghampakan permintaan Asiah isteri tercinta.  Begitu sekali penangan isteri solehah.  Kerananya suami sanggup berbuat apa sahaja sekalipun ia berbahaya bagi dirinya. 
Sekalipun Asiah tak dapat insafkan Fir’aun dari kekufuran dan kezalimannya, tetapi berkat supersolehah Asiah, terselamatlah Nabi Musa AS.  Selamatnya seorang Nabi adalah keselamatan bagi umat manusia di zaman itu.  Sungguh besar peranan dan jasa seorang isteri solehah sekalipun dia berada di istana suami yang superzalim.
 
Pengajaran dari kisah ini, marilah kita koreksi diri:
1. Adakah kita seorang isteri sebaik Siti Asiah untuk menuntut pembelaan dari Allah terhadap kejahatan suami?  Kalau bukan, maka mari kita berusaha untuk menjadi lebih baik supaya Allah memberi pembelaan sewajarnya.
2. Adakah  suami kita sejahat Fir’aun hingga kita tak sanggup bersabar dan redha dengan kekurangan suami?  Sedangkan Asiah yang bersuami Fir’aun itu boleh terus sabar dan redha.  Kalau suami kita tak sejahat Fir’aun berilah dia peluang dan galakan untuk sama-sama membaiki diri.
3. Jika suami sedang tewas oleh nafsunya,  bayangkanlah dia ibarat lelaki malang yang sedang terbakar oleh sifat-sifat mazmumahnya (sifat jahat) sendiri.  Selamatkan dia dengan sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) yang ada pada diri kita.  Mazmumah dan mahmudah ibarat api dan air.  Jika api sedang membakar suami, jadilah isteri  yang menyiram air untuk memadamkannya.  Bukankah suami itu belahan jiwamu?  Bak kata orang jawa, suami/isteri itu garwa (sigaraning nyawa), belahan jiwa isteri/suami. Jika susah dia, maka susahlah kita. Dan kesusahan besar bagi seseorang kalau dia sedang diperkuda oleh nafsunya. Sebab itu bila suami tengah tewas oleh nafsunya maka isteri hendaklah berusaha selamatkannya.  Minta tolonglah kepada Allah kerana Dialah Pemilik dan Pencipta nafsu itu.  Dia boleh mengawal nafsu kita dan nafsu sesiapa sahaja.  Nafsu ibarat anjing  yang Allah arahkan untuk mengganggu manusia.  Kalau kita nak selamat dari gangguannya mengadulah kepada tuan anjing itu.
4.  Jika kejahatan suami ditambah pula dengan kejahatan isteri, maka hanguslah rumahtangga di tangan kita sendiri.  Suami curang, isteri pula curiga. Suami kedekut, isteri pula pemarah.  Aduhai ... meriah sungguh keluarga ini dengan mazmumah.  Usahakanlah diri menjadi baik supaya mendapat pasangan yang baik dan meriah pula keluarga yang dibina dengan kebaikan.
5. Jangan salahkan orang lain atau sebab-sebab semasa seperti masalah kerja, kewangan atau adanya orang ketiga, kerana sesungguhnya dia itu Allah datangkan untuk menguji, apakah kita termasuk orang yang sabar dan redha.  Jika kita boleh sabar dan redha moga-moga Allah tingkatkan darjat kita seperti Siti Asiah sekalipun kita tak sebaik Siti Asiah dan kita diuji dengan suami yang tak sejahat Fir’aun.
Nota:
famous mememous = terkenal. 
Cecite = ceritalah
Salsabeel, 23 April 2014

Rabu, 16 April 2014

KENAPA KITA DIUJI?

Sudah jatuh ditimpa tangga, dihempap pintu, disimbah air pula.  Berderetnya ujian!  Ada seorang ibu yang kehilangan anak akibat kemalangan, sibuk uruskan anak, balik rumah, tengok rumah berterabur kena samun.

Ini bukan synopsis drama, tapi reality yang berlaku setiap hari.  Ada orang yang diberi nikmat melimpah ruah, ada pula yang sedang diuji teruk. Kadang-kadang pada orang yang sama Allah bagi dua-dua sekali, nikmat dan ujian serentak.  Nikmat dapat rezeki banyak tapi ujian keluarga pula bergolak.

Selalunya bila diuji, manusia cepat sahaja ingat Allah, samada nak komplen, mengeluh atau minta tolong diselamatkan dari ujian itu.  Ayat-ayat ni otomatik je muncul:

“Ya Allah … kenapa buat macam ini? Aku tak tahan … Ya Allah aku tak sanggup!  Aku tak kuat … aku tak kuat!”

Begitulah manusia, bila diuji tahu pula yang ujian itu dari Allah.  Terpekik-pekiklah komplen pada Allah, tersungkur-sungkurlah minta Allah lepaskan.  Tapi bila dapat nikmat, buat-buat tak reti dan tak perasan pula yang nikmat itu dari Allah.  Jarang pula kita tengok orang dapat nikmat terpekik-pekik ucap syukur pada Allah dan tersungkur-sungkur pada Allah minta diselamatkan  dari nikmat itu.

Padahal ujian dan nikmat itu sebenarnya sama sahaja di sisi Allah.  Dua-duanya dari Allah, didatangkan kepada manusia sebagai kasih sayang dari-Nya, sebagai pembuktian cinta Allah kepada hamba-Nya.

“Ujian adalah kasih sayang Allah? Iye ke? Kalau sayang kenapa disusahkan?” 

Cara Allah sayang hamba-Nya bukan macam manusia.  Kita kalau sayang seseorng tu ditimang-timang, dimanja, dipenuhi segala yang diminta, dihiburkan, dilayan, dibuatkan dia seronok, supaya puas nafsu kita dan nafsu orang yang kita sayang tu. Tapi cara Allah lain, tak sama macam cara makhluk sayang.  Allah kalau sayang seseorang dipastikan seseorang itu selamat di dunia dan di Akhirat. Selamat masa ini dan masa depan.

Ujian Allah beri ada beberapa maksud:

1. Nak hapuskan dosa kita kalau kita sabar dan redha. 

Mengaku atau tidak sebenarnya dosa kita bertimbun  dari dosa kecil hinggalah dosa-dosa besar. Sebab dosa-dosa kecil kalau tak ditaubatkan lama-lama jadi dosa besar. Cuba kita ingat sejak kita akil baligh, berapa banyak dosa kita buat? Apakah kita pernah serius meminta ampun kepada Allah dan minta maaf kepada sesama.  Dosa kita tak solat masa umur-umur belasan, walhal dah baligh.  Dosa tipu-tipu ibubapa, cikgu atau warden asrama.  Dosa curi tulang. Dosa kita bercouple dengan lelaki/perempuan bukan muhram.  Berdua-duaan dengan pakwe/makwe dan melepak di tempat-tempat sunyi.  Ingat Allah tak nampak ke? Dan lain-lain dosa yang kita pun dah lupa. Ingat Allah lupa ke? Aduh … banyaknya dosa!! Macamana nak taubat ni????

Tapi kita pun ada hati nak selamat, nak hidup senang, nak selesa, nak bahagia, happy di dunia dan masuk Syurga di Akhirat dan lain-lain dan sebagainya.  Sebab itu kita minta benda-benda best tu  hari-hari pada Allah.  Samada secara lisan kita berdoa atau perbuatan kita yang macam lipas kudung mengejar impian-impian kita itu.  Sedangkan mana ada selamat, bahagia kalau dosa tak ditaubatkan?  Oleh sebab tu Allah bagi shortcut iaitu ujian yang menyakitkan nafsu kita untuk tebus dosa-dosa tu. Seolah-olah Allah cakap,

“Okey kalau kau nak ni kau taubat dulu dan aku rotan 100 kali”.

Jadi kalau kita faham begini, bila kena uji, kenalah sabar dan redha.  Bertenang!  Fikir dan rasa betul-betul adanya perhubungan dengan Allah.  Jangan buat-buat tak ada kena mengena dengan Allah pula.  Nanti masalah akan makin berjela.  Elok-elok Allah nak ampun dosa kita, malah kita buat dosa baru pula.  Sabar …redha …ikut sahaja aliran takdir Allah.  Ikut berdasarkan apa yang kita mampu. Sebab Allah dah janji, Dia tak akan uji hamba-Nya melainkan dengan apa yang orang itu boleh tanggung.  Jangan buat teori yang kita tak mampu tanggung ujian itu.  Allah dah sukat dah.  Orang ni tahan ujian ni, orang tu tahan ujian tu.  So, sabar dan redha!  Moga-moga Allah akan taubatkan dosa-dosa silam kita tu.

Atleast bila kita setuju terima ujian tu dengan sabar dan redha, satu masalah besar moga-moga dah kita lepasi iaitu Allah ampunkan dosa-dosa kita.  Bukan senang nak dapat tu.  Kalau kita minta ampun 100 tahun pun entah-entah tak terampun.  Tapi dengan setuju pada ujian Allah ni maka Allah angkat dosa-dosa kita yang lampau.

Sebab itu orang mukmin sejati tak pernah bimbang dan sedih pun dengan ujian (la khauf wa tahzan) sebab dia tahu maksud Allah disebalik ujian.  Malah mereka bersedih bila tak diuji. Dia kata,

“Allah dah tak sayang aku ke? Kenapa aku dibiarkan macamni?”

Ada seorang wali Allah masuk kebun kelapa. Tetiba buah kelapa jatuh terkena kepala dia.  Dia langsung terpekik, 

“Ya Allah ampunkan saya. Hari ini saya lupa tak puasa sunat”

Rupanya Wali Allah itu selalu istiqamah puasa sunat, tapi hari itu dia terlupa.  Sedangkan amalan istiqamah itu adalah salah satu syarat kewalian.  Jadi bila dia lupa amalan itu, dia rasa dah satu dosa, padahal amalan sunat sahaja.  Tapi begitulah hati mukmin sejati, amat peka dengan ‘bahasa atau isyarat dari Allah’.  Bila diuji terus sahaja ingat dosanya, hingga dia terlupa pada penderitaan akibat ujian itu.

Pengajarannya, bila kita diuji, selain sabar dan redha, maka ingat dosa banyak-banyak.  Ini lebih mujarab dari pain killer.  Ingat betapa Allah sayangkan kita kerana Dia nak selamatkan iman dan Islam kita.  Lagipun yang nak buat kita happy tak happy pun Allah juga.  Yang nak buatkan kita kuat tak kuat pun Allah juga.  So, jangan panik dengan ujian yang menimpa.  Bertenang dan bertenang!  Selesaikan masalah satu persatu dengan tenang.  Bak kata Maher Zein, insya Allah you find the way

Bersambung ……

Salsabeel, 15 April 2014