Beranda

Ingat kebaikan orang lain, ingat kejahatan sendiri

Selasa, 27 Mei 2014

MEMBACA, MENULIS DAN MENCIPTA SEJARAH

“Bacalah dengan nama Tuhanmu”

Membaca adalah amat penting, kalau tidak takkan Allah letakkan perintah membaca sebagai wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.  Mengapa perlu membaca? Kerana umumnya maklumat, ilmu, pengalaman, hasil kajian, sejarah dan lain-lain sumber pengetahuan itu boleh diperolehi dengan membaca.  Ia adalah kaedah asas bagi orang awam. 

Lainlah kalau seseorang itu adalah nabi dan Rasul yang mendapat pengetahuan tanpa perlu membaca, kerana mereka diberi pengetahuan secara langsung oleh Allah tanpa proses membaca seperti manusia biasa. Sebab itulah Rasulullah SAW itu ummiy (tak perlu membaca dan menulis) bukanlah satu kekurangan, malah satu bukti besar bahawa baginda adalah utusan Allah.  Dapat maklumat direct dari Allah terus ke dalam hatinya.  Banyak orang yahudi dan nasrani yang buat testing perihal keajaiban saluran maklumat Rasulullah SAW itu.  Mereka tanya macam-macam hal tentang masa lalu, Rasulullah jawab dengan jelas dan terang.  Bila mereka check dalam kitab Taurat dan Injil ternyata jawaban itu betul.  Begitu juga mereka tanya hal-hal yang akan datang, Rasulullah juga jawab dengan terang.  Bila perkara itu benar-benar berlaku, mereka pun tercengang.  Macamana Rasulullah boleh tahu?  Sebab Allah yang bagitau!

Jangan pula sesiapa mengartikan ummiy itu sebagai buta huruf macam manusia biasa.  Rasulullah SAW adalah saluran maklumat yang paling canggih sepanjang zaman sebab berbagai maklumat Allah salurkan kepada baginda tanpa perlu membaca dan menulis.  Baginda tahu apa yang berlaku sejak sebelum Nabi Adam hinggalah kiamat bahkan selepasnya, yang lahir dan yang ghaib sebanyak mana yang Allah beritahukan kepadanya. 

Bagi orang awam yang bukan nabi dan rasul, kita perlu membaca.  Bukan sebarang baca tapi baca dengan nama Tuhan.  Ertinya niat membaca, cara baca, perkara yang dibaca, hasil bacaan adalah kerana, untuk dan sesuai dengan kehendak Tuhan. 

Bila mahu membaca maka kenalah ada tulisan.  So, secara tak langsung, arahan membaca juga bermaksud menggalakkan kita menulis.  Maka berlakulah pertukaran maklumat.  Kita tulis orang baca, orang tulis kita baca.  Menulis pun sama jugalah, mestilah dengan nama Tuhan.  Ertinya niat menulis, cara tulis, perkara yang ditulis, hasil tulisan adalah kerana, untuk dan sesuai dengan kehendak Tuhan.

Orang kata, harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama.  Nama je ke?  Nama dalam erti sejarah orang itu, samada hal baik atau buruknya.  Macamana orang kemudian nak tahu?  Kalau cara dulu-dulu cerita seseorang dibawa secara turun-temurun, macam cerita Si Malin Kundang, Hang Tuah, Hang Jebat, Mahsuri, Puteri Gunung Ledang dll, dsb.  Cerita itu tersebar di kalangan rakyat, sebab itu ada orang kata dah jadi cerita rakyat.  Tentang kesahihan cerita itu payah nak cakap, mungkin sudah ada tokok tambah kita pun tak tahu.

Zaman sekarang pula macamana? Masih adakah anak cucu yang rajin bercerita tentang datuk nenek dia?  Ramai ke rakan taulan dan jiran-jiran yang tahu cerita kita?   Kalau orang itu glamor, berpengaruh, kaya atau berkuasa mungkin ada orang lain yang sibuk tulis cerita tentang dia.  Maka tersimpanlah tulisan-tulisan itu sebagai khazanah sejarah orang itu.  Tapi kebenarannya tak lah dijamin sangat, sebab orang lain yang tulis.  Kalau yang tulis itu penyokongnya mungkin cerita baik-baik, pujian-pujian sahaja yang ditulis.  Kalau yang tulis itu musuh atau penentangnya, maka yang ditulis yang buruk-buruk belaka.  Kalau yang tulis itu wartawan picisan, gossip sahajalah isinya.

So, cara paling selamat agar sejarah kita diingat dan dikenang orang dengan sebenarnya adalah kita tulis sendiri.  Tulis dengan nama Allah, supaya apa yang kita tulis itu kebenaran.  Bukan tulisan memuji diri, mengampu orang atau mengutuk orang.  Tulis apa sahaja perkara, yang penting apa yang kita tulis itu kebenaran.  Maksudnya benda betul, bukan tipu, bukan bohong.  Ia akan menjadi sejarah peninggalan kita.  Terpulanglah pada pembaca samada orang sezaman atau generasi hadapan nanti nak menilai kita macamana.  Dari tulisan akan tergambar peribadi seseorang itu. 

Macamana tulisan itu akan tersebar dan dibaca orang? Jangan risau sebab zaman ini teknologi maklumat dah berjuta kali canggih dari zaman adanya para nabi.  Kalau dulu orang Mekah nak tahu cerita yang berlaku di Jordan yang jarak tak jauh sangat tu, kena tunggu datangnya nabi baru tahu.  Tapi sekarang, apa yang berlaku di Ukraine, orang Kuala Lumpur pun dapat melihatnya secara langsung di kaca TV.  Apa yang terjadi di sebuah lorong di Jakarta, orang New York dapat melihatnya dengan internet.  Apa yang terjadi 100 tahun dahulu, kita dapat membacanya di arkib berita. Tugas rasul menyampaikan maklumat dari zaman lain atau tempat lain itu sudah diambilalih oleh teknologi maklumat.

Kita gunakan teknologi itu untuk menyampaikan perkara-perkara bermanfaat.  Ceritalah sesuatu yang boleh menjadi iktibar kepada sesama agar dapat memberi kesedaran khasnya pada diri sendiri. Secara tak langsung, kita juga sedang mengumpul maklumat tentang diri kita sendiri untuk diwariskan pada generasi akan datang.

Menulislah!  Dengan menulis kita mencipta sejarah.  Jangan biarkan dirimu hilang tanpa jejak!

Salsabeel 27 May 2014
(Terimakasih Mas Jiki, tulisan ini diinspirasikan dari comment anda: “Menulislah, maka kamu ada,  jangan biarkan sejarah menghapusmu tanpa jejak”)