Beranda

Ingat kebaikan orang lain, ingat kejahatan sendiri

Khamis, 24 April 2014

PRAYING IS LOVING, SHARING IS CARING

Ayat “dirikanlah solat dan bayarlah zakat” disebut berulang-ulang kali dalam Al-Quran.  Makna ayat ini dalam sangat, bukan selapis.  Solat itu simbol hubungan dengan  Allah (habluminallah) dan zakat itu simbol hubungan manusia dengan manusia (habluminannas).  Kedua-duanya adalah hubungan yang berprofil tinggi, bertaraf mulia, berkualiti super.  Solat adalah hubungan cinta hamba dengan Allah dan zakat adalah hubungan kasih sayang antara sesama hamba.

Kenapa solat itu dikatakan hubungan cinta?  Kerana solat itu adalah sebuah temujanji cinta, dating, rendesvouz antara manusia dengan Allah.  Dalam solat itu makhluk memadu kasih dengan khaliqnya.  Manusia sepuas hati meluahkan cinta, rindu, manja dan meminta segala keperluan pada Yang Maha Pencipta. 

Tak ada kekasih yang boleh buat dating seperti ini melainkan Allah.  Kalau kekasih manusia, paling hebat pun dating di restoran mewah, belanja makan, dan ajak shopping beberapa barang sahaja.  Itupun sesekali sahaja.  Kalau tiap-tiap hari kita minta ini dan itu pada kekasih lama-lama dia boring dan meluat pada kita.  Sebab kemampuan kekasih taraf manusia ini terbatas.  Kalau kekasih itu kaya sekalipun, boleh bagi segala kekayaannya, mana boleh menandingi kekayaan Allah?  Shah Jehan boleh buatkan Taj Mahal untuk isteri terkasihnya, tapi mampukah Shah Jehan menyembuhkan sakit si isteri, melindungi isteri dari siksa kubur? Mampukah?

Sedangkan Allah boleh beri kita apa sahaja.  Dia yang beri kita nyawa, beri kita oksigen setiap masa, beri kita bahagia, beri kita makan, jaga kita waktu tidur, sembuhkan kita dari sakit, dan lain-lain.  Dia tak pernah bosan pula menerima permintaan kita, bahkan Dia wajibkan pula kita meminta pada-Nya.  Lima kali sehari Dia wajibkan kita mengadu apa sahaja pada-Nya. Minta keampunan, kasih sayang, rezeki, petunjuk, ditinggikan darjat, ditampung segala kekurangan, diberi kesihatan dan kemaafan.  Dan Allah menerima dan mengabulkan segala permintaan kita itu.  Allah sebenar-benar kekasih.  Dialah Cinta Yang Agung. Dan solat yang sebenar itu adalah bukti cinta.  Bukti bahawa Allah dan si hamba itu sedang saling mencintai. PRAYING IS LOVING

Allah juga kata, bayarlah zakat, maknanya memberi, give, share, korban bukannya menuntut dan meminta. Ertinya Allah sangat menggalakkan orang memberi, share apa yang ada pada seseorang untuk orang lain.

Berkongsi itu tanda kasih.  Berbagi itu tanda sayang.  Sharing is caring. 

Whatever lah istilahnya!  Yang jelas Allah dan Rasul memang kempen sakan untuk kita care kepada sesama.  Berkasih sayang kepada sesama manusia, sesama makhluk Allah di dunia ini adalah perkara penting dalam ajaran Islam.  Tapi dah ramai yang lupakan dan abaikan sekalipun di kalangan umat Islam sendiri.

Walaupun disebut dalam ayat itu zakat samada zakat fitrah atau zakat harta, tapi makna ayat itu sebenarnya luas.  Allah suruh kita share bukan makanan asas, duit atau harta sahaja.  Nak share duit tak ada, share lah apa-apa yang Allah beri sebagai tanda care kepada sesama manusia.  Care nilah yang paling payah nak dapat sekarang ni.   Selalunya orang nak, mahu, ingin, menuntut, meminta, berkehendak kepada orang lain, sebab sifat tamak itu memang ada dalam diri setiap insan.  Lebih-lebih lagi ajaran kapitalis yang diajar secara rasmi di sekolah-sekolah dan tak rasmi dimana-mana membuatkan manusia menjadi “matre”, selfish, cinta dunia, tak pernah puas dengan apa yang ada, mahu lagi dan mahu lagi.  Akibatnya share, give, memberi, berkorban, ambil berat, peduli dan lain-lain itu menjadi amalan terpinggir. 

Sedangkan Allah sangat mendorong manusia untuk jadikan amalan sharing itu sebagai amalan mainstream.  Solat dan zakat itu diwajibkan sebagai amalan pokok, sebagai perkara yang termasuk dalam rukun Islam. Allah mahu amalan solat dan  membayar zakat itu menjadi kesukaan.  Sebab itulah Allah suruh berulang-ulang supaya ia menjadi amalan yang sebati, kesukaan dan budaya dalam masyarakat. Bukan solat dan bayar zakat hanya kerana disuruh atau diwajibkan seperti sekarang. Itupun ada yang mengelak dan buat-buat tak faham.

Solat dan zakat sebenarnya tak boleh dipisahkan, mesti diamalkan kedua-duanya.  Praying and sharing ini berkaitan. 

Kita meminta sesuatu kepada Allah dalam solat, lalu Allah memberikannya, kemudian kita kongsikan kepada sesama.  Kita meminta lagi dan  mendapatkannya, lalu dikongsikan lagi. Begitulah seterusnya berulang-ulang menjadi sebuah lingkaran kehidupan yang indah dan harmoni.  Ada kepuasan, ada kebahagiaan yang dicari oleh semua orang di situ.

Inilah lingkaran kehidupan orang mukmin, kokoh dilandasi oleh cinta kepada Allah dan kasih kepada sesama

Cantik berhias-hias oleh pelbagai pujian dan kemanjaan kepada Allah, hadiah dan pemberian kepada sesama. Sesiapa yang ada di dalam lingkaran ini merasa cukup dan puas.  Siapa yang melihatnya merasa syahdu dan merindukannya.

Ia sungguh berbeda dengan lingkaran hidup tanpa iman.  Manusia mendapatkan kehendaknya dengan cara-cara biasa, dengan usaha semata-mata.  Allah beri juga tapi bukan dengan cinta, malah sebagai penghinaan (istidraj) kepada si hamba.  Bila dapat jadi kedekut, sombong dan tamak haloba. Tak mahu sharing bahkan tak puas-puas lagi. Caring tiada sama sekali.

Lingkaran hidup sebegini adalah lingkaran hidup nafsu dan syaitan. No pray no share no care

Selalunya yang keluar dari mulut mereka pun I don’t care!

Ya Allah … lindungi kami dari lingkaran hidup nafsu dan syaitan ini.  Jadikanlah kami berada dalam lingkaran hidup mukmin.  Ingatkan kami selalu bahawa solat itu adalah cinta dan berkongsi nikmat itu kasih sayang.  Kerana, hanya orang yang mencintai Allah yang mampu solat dengan sebenar-benar solat dan hanya orang yang menyayangi sesama yang mampu berkongsi dengan sesama. Dan cukupkan, bahagiakan, selesakan dan sukakan kami  dengan itu semua.

Salsabeel, 24 April 2014

TAK SEBAIK ASIAH TAK SEJAHAT FIR'AUN

(Siri kedua dari artikel MENGAPA KITA DIUJI)
Tak sebaik Asiah tak sejahat Fir’aun.  Apa cerita ni?  Cecite … cecite ….!!!
Ini bukan kisah drama bersiri slot Akasia TV3 atau telemovie Al-Hijrah.  Tapi lebih famous dari itu.  Nama Fir’aun memang famous mememous di dunia ini sebab diulang banyak kali dalam Al-Quran.  Sesiapa umat Islam yang pernah baca Al-Quran mestilah tahu nama ini disebut-sebut berulang kali.  Dan sesiapa yang prihatin dan faham  Al-Quran (atau terjemahannya) sudah tentu tahu siapakah Fir’aun tu. 
Apakah iktibar yang dapat diambil dari kisah Fir’aun ini juga telah banyak diperkatakan orang.  Jangan sombong … jangan sombong … takut terlajak sombong macam Fir’aun sampai mengaku diri Tuhan.  Jangan celupar … jangan celupar … takut terlajak celupar mencabar Tuhan macam kisah  couple mat rempit yang hancur berkecai digilis treler 16 tayar.  Itu kira macam Fir’aun jugalah.   Jangan tamak … jangan cinta dunia … sebab harta bukan boleh bawa mati pun.  Kalau bawa pun bukan boleh tolong dari siksa kubur.  Fir’aun yang bodoh sombong dan sejenisnya sahajalah yang bawa harta hingga ke kubur. 
Dan berbagai pengajaran lagi yang kita boleh ambil dari cerita Fir’aun.  Allah kekalkan pula jasad Fir’aun yang berlawan dengan Nabi Musa AS hingga sekarang supaya pengajaran dari kisah Fir’aun ini terus kekal dari zaman ke zaman.  Menurut para saintis nama Fir’aun lawan Nabi Musa AS itu Tutankhamun, mati lemas di laut merah, lalu mayatnya diawetkan (mumia) dan boleh dilihat di muzium hingga sekarang.  Ambillah manfaat dari kisah Fir’aun ini dengan menjadikan kejahatan Fir’aun itu sebagai sempadan.  Misalnya, kalau nafsu nak menyombong, cepat pintas dengan ingatan “tak nak lah sombong … tak nak jadi Fir’aun”.
Kali ini saya nak cerita satu lagi pengajaran dari kisah Fir’aun ini.  Bukan bahagian cerita buruk untuk sempadan, tapi bahagian cerita baik untuk tauladan.  Dah tentu bukan cerita baik tentang Fir’aun sebab memang tak ada yang baik pun yang boleh kita jadikan tauladan pada Fir’aun tu.  Tapi cerita tentang isteri Fir’aun iaitu Siti Asiah. 
Siti Asiah adalah isteri atau permaisuri kepada raja Fir’aun.  Cantik jelita, beriman kepada Allah dan solehah pula.  Fir’aun pun sayang sangat pada Asiah ni.  Macamana pula suami jahat macam Fir’aun tu boleh ada isteri solehah pula?  Pelik kan? Suami kafir, tak beriman kepada Allah, siap mengaku diri Tuhan pulak tu, tapi isterinya adalah seorang yang beriman dan  solehah.  Macam mustahil pula.  Macamana pula Fir’aun boleh biarkan isterinya beriman pada Allah?
Itulah kuasa Allah.  Tak ada perkara yang mustahil bagi Allah.  Dalam sarang penyamun boleh ada waliyullah.Dalam istana Fir’aun ada isteri solehah.Macamana Allah buat?  Yang Asiah itu pula tak tersiksa ke bersuamikan lelaki mahazalim Fir’aun tu. Kalau dengan Allah pun dia boleh sombong macamtu, macamana pula agaknya dia layan isteri yang tak ikut kehendak dia? Boleh tahan ke Asiah dengan ujian berat tu?
Asiah memang seorang wanita solehah.  Bahkan boleh dikatakan supersolehah sebab dia itu solehah dalam lingkungan orang-orang zalim.  Kalau solehah di kalangan orang-orang soleh tak lah hebat sangat dibandingkan Asiah yang dia tetap solehah sedangkan suaminya adalah Fir’aun yang superzalim. Bagi Asiah memang itu satu ujian.  Seorang wanita supersolehah diuji dengan bersuamikan lelaki superjahat atau superzalim.
Ada maksud Allah menguji Asiah.  Sebelum ini (dalam artikel MENGAPA KITA DIUJI) telah dijelaskan tentang maksud ujian Allah yang pertama iaitu UNTUK PENGHAPUSAN DOSA JIKA KITA SABAR DAN REDHA.  Itu bagi orang-orang yang banyak dosa.  Bagaimana pula ujian kepada orang-orang yang tidak berdosa seperti para nabi dan rasul? Atau ujian kepada orang-orang soleh dan supersolehah macam Asiah ini? Inilah maksud ujian yang kedua, iaitu ujian UNTUK MENINGKATKAN DARJAT.
Allah uji Asiah yang supersolehah itu dengan bersuamikan Fir’aun yang superzalim itu adalah untuk meningkatkan lagi darjat Asiah di sisi Allah.  Asiah pun sabar dan redha dengan ujian itu.  Dia tak mengeluh pun, malah bertambah iman dan taqwanya.  Bertambah giat dan gigih dia memperjuangkan Allah dan Rasul-Nya.  Tercatit dalam Al-Quran, atas usaha Asiah inilah seorang bayi lelaki yang patutnya mati dibunuh Fir’aun (Nabi Musa AS) akhirnya menjadi anak angkat kesayangan Fir’aun dan Asiah.  Dramatik sungguh bila Allah mencipta sejarah, musuh paling ketat Fir’aun pernah menjadi anak kesayangannya sendiri.  Sibuk memburu musuh serata negara untuk dibunuh rupanya musuh sedang berada  di istana sendiri disayang dan dimanjakan. Fir’aun nak menipudaya Allah tapi Allah tipudaya dia dengan cara yang sangat ajaib dan memalukan sekali.
    
“Mereka membuat tipudaya dan Allah membalas tipudaya  mereka, sesungguhnya Allah lah sebaik-baik pembuat tipudaya”
Bagaimana kisah dramatik ini berlaku?  Kerana kesabaran, keredhaan Asiah kepada apa sahaja ujian yang Allah timpakan padanya, maka Allah selamatkan Asiah dari kezaliman Fir’aun.  Malah dia menjadi kecintaan Fir’aun.  Rupanya Allah berikan berbagai karamah kepada Asiah.  Selain rupa paras yang menawan, dia juga mempunyai akhlak yang sangat menawan hati Fir’aun.  Suami mana yang tidak tergoda dan jatuh hati bila isteri sentiasa memenuhi hajatnya? Dengan layanan yang kualiti supersolehah pula tu.  Kata-katanya menawan, pujuk rayunya susah nak ditolak.  Itulah yang Fir’aun dapat dari Asiah.
Mungkin kita fikir, kesiannya Asiah! Wanita solehah tapi kena layan suami zalim?!  Sebenarnya bukan begitu. Tidak !  Tidak begitu yang berlaku pada Asiah.  Allah tak biarkan hamba-Nya yang supersolehah itu menderita.  Bahkan tak sekalipun Fir’aun menyentuh (bersetubuh) dengan Asiah.  Sebab itulah Asiah tidak mempunyai anak.  Dan oleh sebab tidak anak inilah maka Asiah meminta izin untuk mengambil Nabi Musa sebagai anak angkatnya. Allah pelihara Asiah dengan begitu ajaib.  Setiap kali Fir’aun berhajat kepada Asiah, maka Allah datangkan seekor jin betina yang menyerupai Asiah.  Jin betina inilah yang memberi layanan istimewa kepada Fir’aun tanpa disedari oleh Fir’aun dan kuncu-kuncunya.  Apa yang Fir’aun tahu dan rasa adalah Asiah adalah isteri yang terbaik baginya.  Tak peliklah jika Fir’aun sangat menyayangi Asiah dan segala permintaan Asiah dipenuhinya.
Tatkala Asiah meminta izin untuk mengambil bayi yang hanyut di sungai sebagai anak angkat mereka, Fir’aun pun tak mampu menolak kerana terlalu dalam cintanya pada Asiah.  Walhal waktu itu Fir’aun sedang mengarahkan operasi besar-besaran membunuh semua anak lelaki Bani Israel.  Kahin-kahin (tukang sihir) Fir’aun pula telah meramalkan bahawa bayi hanyut itulah anak lelaki Bani Israel yang kelak akan menjatuhkannya.  Tapi Fir’aun tidak peduli kerana tidak mahu menghampakan permintaan Asiah isteri tercinta.  Begitu sekali penangan isteri solehah.  Kerananya suami sanggup berbuat apa sahaja sekalipun ia berbahaya bagi dirinya. 
Sekalipun Asiah tak dapat insafkan Fir’aun dari kekufuran dan kezalimannya, tetapi berkat supersolehah Asiah, terselamatlah Nabi Musa AS.  Selamatnya seorang Nabi adalah keselamatan bagi umat manusia di zaman itu.  Sungguh besar peranan dan jasa seorang isteri solehah sekalipun dia berada di istana suami yang superzalim.
 
Pengajaran dari kisah ini, marilah kita koreksi diri:
1. Adakah kita seorang isteri sebaik Siti Asiah untuk menuntut pembelaan dari Allah terhadap kejahatan suami?  Kalau bukan, maka mari kita berusaha untuk menjadi lebih baik supaya Allah memberi pembelaan sewajarnya.
2. Adakah  suami kita sejahat Fir’aun hingga kita tak sanggup bersabar dan redha dengan kekurangan suami?  Sedangkan Asiah yang bersuami Fir’aun itu boleh terus sabar dan redha.  Kalau suami kita tak sejahat Fir’aun berilah dia peluang dan galakan untuk sama-sama membaiki diri.
3. Jika suami sedang tewas oleh nafsunya,  bayangkanlah dia ibarat lelaki malang yang sedang terbakar oleh sifat-sifat mazmumahnya (sifat jahat) sendiri.  Selamatkan dia dengan sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) yang ada pada diri kita.  Mazmumah dan mahmudah ibarat api dan air.  Jika api sedang membakar suami, jadilah isteri  yang menyiram air untuk memadamkannya.  Bukankah suami itu belahan jiwamu?  Bak kata orang jawa, suami/isteri itu garwa (sigaraning nyawa), belahan jiwa isteri/suami. Jika susah dia, maka susahlah kita. Dan kesusahan besar bagi seseorang kalau dia sedang diperkuda oleh nafsunya. Sebab itu bila suami tengah tewas oleh nafsunya maka isteri hendaklah berusaha selamatkannya.  Minta tolonglah kepada Allah kerana Dialah Pemilik dan Pencipta nafsu itu.  Dia boleh mengawal nafsu kita dan nafsu sesiapa sahaja.  Nafsu ibarat anjing  yang Allah arahkan untuk mengganggu manusia.  Kalau kita nak selamat dari gangguannya mengadulah kepada tuan anjing itu.
4.  Jika kejahatan suami ditambah pula dengan kejahatan isteri, maka hanguslah rumahtangga di tangan kita sendiri.  Suami curang, isteri pula curiga. Suami kedekut, isteri pula pemarah.  Aduhai ... meriah sungguh keluarga ini dengan mazmumah.  Usahakanlah diri menjadi baik supaya mendapat pasangan yang baik dan meriah pula keluarga yang dibina dengan kebaikan.
5. Jangan salahkan orang lain atau sebab-sebab semasa seperti masalah kerja, kewangan atau adanya orang ketiga, kerana sesungguhnya dia itu Allah datangkan untuk menguji, apakah kita termasuk orang yang sabar dan redha.  Jika kita boleh sabar dan redha moga-moga Allah tingkatkan darjat kita seperti Siti Asiah sekalipun kita tak sebaik Siti Asiah dan kita diuji dengan suami yang tak sejahat Fir’aun.
Nota:
famous mememous = terkenal. 
Cecite = ceritalah
Salsabeel, 23 April 2014

Isnin, 21 April 2014

AKIBAT MENCABAR TUHAN

Mari kita ambil pengajaran dari kisah nyata berikut ini:

Sepasang couple, dinasihat oleh keluarga & kawan2 agar jangan suka buat maksiat.. Semua nasihat hanya dibalas dengan kata2 perli oleh mereka berdua..

Nak jadi cerita,.. semalam.. Terluncur kata2 dari mereka berdua, “Kalau Tuhan berani , meh kita jumpa.. Tengok sapa lagi kuat ! ” Sambil ketawa. Kedua2nya gelak..

Kira2 jam 11.30 mlm (tanggal 16 sept 2013), mrk brdua berkenderaankan motosikal memecut laju di highway tepi kampung kami. Tiba2 berdentum bunyi accident. Kedua2 pasangn itu terpelusok didapati terpelosok ke bawah lori 16 tayar.  

Baca sepenuhnya dengan klik link di bawah ini:



Rabu, 16 April 2014

KENAPA KITA DIUJI?

Sudah jatuh ditimpa tangga, dihempap pintu, disimbah air pula.  Berderetnya ujian!  Ada seorang ibu yang kehilangan anak akibat kemalangan, sibuk uruskan anak, balik rumah, tengok rumah berterabur kena samun.

Ini bukan synopsis drama, tapi reality yang berlaku setiap hari.  Ada orang yang diberi nikmat melimpah ruah, ada pula yang sedang diuji teruk. Kadang-kadang pada orang yang sama Allah bagi dua-dua sekali, nikmat dan ujian serentak.  Nikmat dapat rezeki banyak tapi ujian keluarga pula bergolak.

Selalunya bila diuji, manusia cepat sahaja ingat Allah, samada nak komplen, mengeluh atau minta tolong diselamatkan dari ujian itu.  Ayat-ayat ni otomatik je muncul:

“Ya Allah … kenapa buat macam ini? Aku tak tahan … Ya Allah aku tak sanggup!  Aku tak kuat … aku tak kuat!”

Begitulah manusia, bila diuji tahu pula yang ujian itu dari Allah.  Terpekik-pekiklah komplen pada Allah, tersungkur-sungkurlah minta Allah lepaskan.  Tapi bila dapat nikmat, buat-buat tak reti dan tak perasan pula yang nikmat itu dari Allah.  Jarang pula kita tengok orang dapat nikmat terpekik-pekik ucap syukur pada Allah dan tersungkur-sungkur pada Allah minta diselamatkan  dari nikmat itu.

Padahal ujian dan nikmat itu sebenarnya sama sahaja di sisi Allah.  Dua-duanya dari Allah, didatangkan kepada manusia sebagai kasih sayang dari-Nya, sebagai pembuktian cinta Allah kepada hamba-Nya.

“Ujian adalah kasih sayang Allah? Iye ke? Kalau sayang kenapa disusahkan?” 

Cara Allah sayang hamba-Nya bukan macam manusia.  Kita kalau sayang seseorng tu ditimang-timang, dimanja, dipenuhi segala yang diminta, dihiburkan, dilayan, dibuatkan dia seronok, supaya puas nafsu kita dan nafsu orang yang kita sayang tu. Tapi cara Allah lain, tak sama macam cara makhluk sayang.  Allah kalau sayang seseorang dipastikan seseorang itu selamat di dunia dan di Akhirat. Selamat masa ini dan masa depan.

Ujian Allah beri ada beberapa maksud:

1. Nak hapuskan dosa kita kalau kita sabar dan redha. 

Mengaku atau tidak sebenarnya dosa kita bertimbun  dari dosa kecil hinggalah dosa-dosa besar. Sebab dosa-dosa kecil kalau tak ditaubatkan lama-lama jadi dosa besar. Cuba kita ingat sejak kita akil baligh, berapa banyak dosa kita buat? Apakah kita pernah serius meminta ampun kepada Allah dan minta maaf kepada sesama.  Dosa kita tak solat masa umur-umur belasan, walhal dah baligh.  Dosa tipu-tipu ibubapa, cikgu atau warden asrama.  Dosa curi tulang. Dosa kita bercouple dengan lelaki/perempuan bukan muhram.  Berdua-duaan dengan pakwe/makwe dan melepak di tempat-tempat sunyi.  Ingat Allah tak nampak ke? Dan lain-lain dosa yang kita pun dah lupa. Ingat Allah lupa ke? Aduh … banyaknya dosa!! Macamana nak taubat ni????

Tapi kita pun ada hati nak selamat, nak hidup senang, nak selesa, nak bahagia, happy di dunia dan masuk Syurga di Akhirat dan lain-lain dan sebagainya.  Sebab itu kita minta benda-benda best tu  hari-hari pada Allah.  Samada secara lisan kita berdoa atau perbuatan kita yang macam lipas kudung mengejar impian-impian kita itu.  Sedangkan mana ada selamat, bahagia kalau dosa tak ditaubatkan?  Oleh sebab tu Allah bagi shortcut iaitu ujian yang menyakitkan nafsu kita untuk tebus dosa-dosa tu. Seolah-olah Allah cakap,

“Okey kalau kau nak ni kau taubat dulu dan aku rotan 100 kali”.

Jadi kalau kita faham begini, bila kena uji, kenalah sabar dan redha.  Bertenang!  Fikir dan rasa betul-betul adanya perhubungan dengan Allah.  Jangan buat-buat tak ada kena mengena dengan Allah pula.  Nanti masalah akan makin berjela.  Elok-elok Allah nak ampun dosa kita, malah kita buat dosa baru pula.  Sabar …redha …ikut sahaja aliran takdir Allah.  Ikut berdasarkan apa yang kita mampu. Sebab Allah dah janji, Dia tak akan uji hamba-Nya melainkan dengan apa yang orang itu boleh tanggung.  Jangan buat teori yang kita tak mampu tanggung ujian itu.  Allah dah sukat dah.  Orang ni tahan ujian ni, orang tu tahan ujian tu.  So, sabar dan redha!  Moga-moga Allah akan taubatkan dosa-dosa silam kita tu.

Atleast bila kita setuju terima ujian tu dengan sabar dan redha, satu masalah besar moga-moga dah kita lepasi iaitu Allah ampunkan dosa-dosa kita.  Bukan senang nak dapat tu.  Kalau kita minta ampun 100 tahun pun entah-entah tak terampun.  Tapi dengan setuju pada ujian Allah ni maka Allah angkat dosa-dosa kita yang lampau.

Sebab itu orang mukmin sejati tak pernah bimbang dan sedih pun dengan ujian (la khauf wa tahzan) sebab dia tahu maksud Allah disebalik ujian.  Malah mereka bersedih bila tak diuji. Dia kata,

“Allah dah tak sayang aku ke? Kenapa aku dibiarkan macamni?”

Ada seorang wali Allah masuk kebun kelapa. Tetiba buah kelapa jatuh terkena kepala dia.  Dia langsung terpekik, 

“Ya Allah ampunkan saya. Hari ini saya lupa tak puasa sunat”

Rupanya Wali Allah itu selalu istiqamah puasa sunat, tapi hari itu dia terlupa.  Sedangkan amalan istiqamah itu adalah salah satu syarat kewalian.  Jadi bila dia lupa amalan itu, dia rasa dah satu dosa, padahal amalan sunat sahaja.  Tapi begitulah hati mukmin sejati, amat peka dengan ‘bahasa atau isyarat dari Allah’.  Bila diuji terus sahaja ingat dosanya, hingga dia terlupa pada penderitaan akibat ujian itu.

Pengajarannya, bila kita diuji, selain sabar dan redha, maka ingat dosa banyak-banyak.  Ini lebih mujarab dari pain killer.  Ingat betapa Allah sayangkan kita kerana Dia nak selamatkan iman dan Islam kita.  Lagipun yang nak buat kita happy tak happy pun Allah juga.  Yang nak buatkan kita kuat tak kuat pun Allah juga.  So, jangan panik dengan ujian yang menimpa.  Bertenang dan bertenang!  Selesaikan masalah satu persatu dengan tenang.  Bak kata Maher Zein, insya Allah you find the way

Bersambung ……

Salsabeel, 15 April 2014

Isnin, 14 April 2014

QURRATU ‘AIN

(Bahagian kedua dari artikel Permata Hati)

Berdasarkan pengalaman, mengasuh dan  mendidik kanak-kanak ni sangat-sangatlah mencabar.  Bukan mencabar fizikal macam panjat tebing atau angkat berat, tapi mencabar fizikal dan ruh sekali.  Fizikal tu memang penat lah melayan kerenah anak yang serba-serbinya belum boleh berdikari.  Kalau yang bayi-bayi tu selain nak kena suapkan makan dan buatkan susu, kena pula dimandikan dan ditukar lampinnya.  Yang agak besar pula walaupun dah pandai suap sendiri kena pula pantau supaya makanan tak bersepah satu rumah, kotor dan membazir pula.  Yang dah pandai buang air dan basuh sendiri pun nak kena tengok juga takut thaharah tak selesai, najis pula satu rumah.  Belum lagi nak melatih dan disiplinkan mereka dalam hal perkara-perkara lain, seperti susun kasut, kemas bag sendiri, latihan solat, beradab dengan cikgu dan orang tua, bekerjasama dan bertolak ansur dengan kawan-kawan, dan lain-lain. Memang penatlah … penat.  Itu yang fizikal.    Belum lagi yang ruhani.

Secara ruhani pula, kerja menjaga kanak-kanak adalah medan memerangi mazmumah sendiri.  Sifat-sifat keji seperti pemarah, baran, gopoh, merajuk, kedekut (bakhil), perengus, tamak, sombong, ego, dan lain-lain memang kena tepis dan lemahkan.  Kalau tidak, alamat cepatlah masuk lokap sebab ada anak yang kena dera.  Sering tengok di surat khabar ada saja orang kena tangkap sebab dera anak.  Bukan sahaja anak orang, anak sendiri pun ada yang didera dan dibunuh oleh ibubapa sendiri.  Sebab apa?  Sebab anak tak comel ke? Bukan! Bukan! Sama sekali bukan! Tapi kerana ibubapa atau penjaga itu dah rosak ruhaninya, tak mampu nak lawan sifat-sifat jahat dalam dirinya.  Main lepas je rasa marah, geram, dendam, benci pada anak-anak tu.  Kadang-kadang anak-anak tu tak ada kena mengena pun dengan masalah mereka.  Ada ibu yang marahkan suami, lepas pada anak.  Atau bapa yang kesal tak cukup duit, lepas geram pada anak. Dan banyak lagi ….

Memang mencabar rohani sungguh.  Bayangkanlah, tengah bernasyid-nasyid lembut tidurkan  baby, tetiba pula abang-abang bising bergaduh sesama sendiri.  Bergusti dan saling menggigit pula tu.  Habislah riuh rendah satu rumah.  Kalau tak sabar-sabar memang boleh naik tekanan darah dibuatnya.  Tarik nafas dalam-dalam dan istighfar banyak-banyak.  Cepat-cepat ingat bahawa pembuka  penyelesaian masalah adalah bertenang.  Bila kita tenang barulah boleh berfikir dan bertindak dengan betul. 

Bila difikir-fikir barulah teringat, “apalah dosa aku hingga anak-anak buat hal macamni?”.  Yakin sungguh bahawa sebenarnya Allah sedang nak tegur sesuatu hingga didatangkan masalah pada kita.  Sebab apa? Sebab anak-anak tu masih suci bersih, bukan pandai pun nak berjahat-jahat dan bergaduh-gaduh ni.  Jadi, kalau berlaku pergaduhan di antara anak-anak yang suci bersih ni, mestilah Allah yang sedang gaduhkan mereka sebab nak menegur pengasuhnya.  Ada dosa-dosa yang belum ditaubatkan dan belum ditebus dengan kebaikan.  Sebab itulah Allah datangkan kifarah untuk bayar balik dosa-dosa kita tu.

Pernah suatu hari, seorang anak tu kencing merata, habis satu carpet kena basuh.  Teruk jugalah kerja yang nak kena buat sebab kena sucikan lantainya sekali.  Bila dah selesai, aku menung-menung sendiri, apalah agaknya yang aku buat hingga Allah biarkan anak tu buat masalah? Adakah aku terkencing merata di mana-mana sebelum ini hingga Allah bayar balik begitu.  Kencing merata secara lahiriah memanglah aku tak buat.  Tapi “kencing maknawi” iaitu mengata orang, mengumpat, menyakitkan hati orang tentulah aku terbuat samada secara sedar atau tidak.  Oleh kerana dosa-dosa belum ditaubatkan, belum minta maaf, maka Allah tegur dengan cara itu.

Jadi sebenarnya masalah anak-anak itu bukan dari mereka tapi dari kita sendiri.  Pendidik ibarat kayu yang dipancang dan anak-anak didik itu adalah bayangan dari kayu pancang itu.  Lurus kayu itu maka luruslah bayangannya.  Bengkok kayu itu maka bengkoklah bayangannya.  Janganlah harap bayangan lurus kalau kayunya bengkok.  Bak kata pepatah melayu, “seperti ibu ketam mengajar anaknya berjalan lurus”.  Sedangkan ibu ketam itu sendiri berjalan miring.

Sebenarnya ada hikmah yang lebih besar dari itu, iaitu pembentukan pribadi  anak-anak samada jadi baik atau jahat, jadi sopan atau ganas hakikatnya adalah kerja Allah.  Kerana factor utama perubahan mereka adalah hati atau ruh, sedangkan ruh itu Allah yang pegang.  Usaha kita mendidik dan mengasuh mereka hanyalah untuk memenuhi syariat yang Allah tuntut.  Berjaya atau tidak usaha kita itu kenalah serah sepenuhnya kepada Allah.  Sebab itulah orang-orang soleh yang  bertungkus lumus mendidik dan memberi contoh yang baik kepada anak-anak, mereka terus tawakkal dan  berdoa.

Firman Allah Ta’ala:

Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi qurratu ’ain dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Furqan:74)

Apakah yang dimaksudkan dengan qurratu ‘ain?  Secara umumnya qurratu ‘ain bererti penyejuk mata atau penyenang hati.  Qurratu ‘ain adalah dari bahasa Arab yang penjelasannya adalah seperti berikut ini.

1. Sesuatu yang memberi kegembiraan, ketenangan hati dan bahagia

Untuk memahami makna qurratu ‘ain atau penyejuk mata ini,  kita lihat pula perkataan yang berlawanan dengannya, di mana dalam masyarakat Arab dahulu, antara perkataan buruk yang boleh diucapkan oleh seseorang kepada orang yang lain adalah “Semoga mata anda menjadi panas.” Apakah yang dimaksudkan dengan ‘panas’ di sini? Dalam kata lain, ia bermaksud “Semoga anda sentiasa dilanda kesedihan, hidup tertekan, dan diselubungi sengsara.” Jadi, bila disebut penyejuk mata, maksudnya kegembiraan, hidup ceria, dan dipenuhi dengan sesuatu yang menyenangkan, tenang dan bahagia.

2. Sesuatu yang melindungi dan memberi kerehatan

Masyarakat Arab dahulu, apabila mengembara dengan menggunakan unta, dan apabila dalam pengembaraannya, ribut pasir melanda, mereka akan menutup seluruh tubuh dan muka mereka dengan kain atau pakaian, melainkan mata mereka. Maka mata terpaksa bertahan, sehingga ribut berhenti atau mereka sampai ke tempat perlindungan. Apabila mereka berjaya mencari tempat berlindung dan istirahat, mereka berkata “Mataku kini menjadi sejuk.” Sebenarnya bukan suhu mata itu yang sejuk, tapi pemandangan yang dilihat mata itu yang menyenangkan, merehatkan perasaan. 

Begitulah perasaan kita bila melihat keletah anak-anak kecil yang menghiburkan, anak-anak yang bersopan santun, anak-anak yang mendengar kata, pandai hormat orang tua, suka menolong dan lain-lain.  Pendekata, qurratu ‘ain itu adalah anak-anak yang soleh dan solehah.  Bukan kerana mereka comel loteh atau bijak pandai tapi kerana akhlak mereka yang menyenangkan.  Betapalah kalau anak soleh/solehah itu juga comel dan bijak, sudah tentu lebih sejuk lagi mata dan hati  sesiapa yang memandangnya.

Sekian,

Salsabeel, 14 April 2014

Ahad, 13 April 2014

PERMATA HATI

Lenguhnya tangan menulis buku log tugasan kursus ni.  Banyaknya maklumat yang perlu diberikan kepada pihak JKM.  Apa tidaknya, segala  aktiviti sepanjang hari kena direkodkan.  Segala program yang dibuat dan tindakbalas anak-anak kena dinilai dan dicatitkan.  Memang meletihkan!

Alhamdullillah, dalam banyak-banyak kursus yang telah aku ikuti, kursus KAP ini sangat berbeza.  Walaupun penat tapi bahagianya … Ya Allah … syukur pada-Mu  … berbaloi juga hiburan yang kudapat dengan kepenatan yang terpaksa kutanggung.

Anak-anak itu … senyumannya ... tangisannya  ... telatahnya … oh tidak!!  Tak boleh nak diungkap dengan kata-kata …   Semua penat lelah  berkerja  hilang dengan suara kecilmu memanggilku ... aduhai permata hatiku.  
                                                   
Permata hati setiap insan … permata hati negara ... buah hatiku ... penyejuk mata … penghibur hati … pengarang jantung dan macam-macam lagi gelaranku untukmu.

Banyak pengalaman, pengajaran dan ilmu setiap kali aku membelai-belaimu.  Nikmatnya!!  Ye, satu bentuk nikmat yang Allah anugerahkan dari berbagai nikmat yang setiap saat menghujaniku.  Moga nikmat ini Allah sertakan rahmat, supaya dengan nikmat itu aku dapat bersyukur, dapat bertambah kenal, cinta dan takut aku pada-Mu Ya Allah.

Walaupun pada awalnya berat hati untuk memasuki alam permata hati.  Lebih-lebih lagi dapat nasihat percuma dari seorang kenalan:  

"Kerja yang paling tension sekali ialah bila bekerja dengan kanak-kanak”.

YES I AGREE !! Aku setuju sangat-sangat! Pada mulanya, tetapi apabila aku cuba memberikan ruang untuk menyayangi mereka, lain pula jadinya. Oh indahnya!  Dapat bersama mereka menyanyikan lagu-lagu yang memuji  Allah dan Rasul memberi kesan rohani yang sungguh syahdu.  LIFE IS BEAUTIFUL!!

1 … 1 saya sayang Allah 
2 ...  2 sayang Rasulluah 
3 ...  3 sayang ibu  ayah  
123 … sayang …

Eh kenapa anak-anak diam? 123 sayang … semuanya ….
“Semuanya tu siapa cikgu”, salah seorang mereka tiba-tiba mencelah.
“Semuanya tu semua orang lah, adik beradik kita, tok, nenek, kawan-kawan dan orang di seluruh dunia ini terutama yang sesama Islam,” aku cuba jelaskan.

“Tak nak … tak nak …,” si kecil tu nampak tak puas hati.
“Kenapa sayang?, aku pula tak faham kerenah dia ni.

“Kita nak 123 sayang cikgu … sayang cikgu …,” jawab si kecil dengan lantang.  Serentak dengan itu anak-anak lain menyanyi beramai-ramai:

123 kami sayang cikgu … kami sayang cikgu …

Ya Allah ... aku dipeluk oleh mereka beramai-ramai.  Terharunya! Tanpa sedar airmatku jatuh berderai.   Mudahnya nak keluar air mata ni sampai lupa aku di mana.  [ sedang menyiapkan buku log di restoran ]
     
“Iyelah … bolehlah …123 sayang cikgu.  Abis dengan kawan, atok, nenek, dan semua-semua yang lain tu tak sayang ke?”
“Sayanglah juga …tapi dengan cikgu lagiiiii …sayang,” jawab mereka lurus.

Terharunya ….mendengar luahan hati mereka.  Kanak-kanak tak pandai bohong, tak reti mengampu.  Apa yang mereka rasa itulah yang mereka luahkan.  Aku rasa munasabahlah juga mereka rasa begitu.  Bayangkanlah, dalam  sehari 24 jam tu 12 atau 14 jam mereka duduk dengan aku.  Datang ke pusat asuhan seawal pukul 6 pagi, balik rumah pukul 6 petang atau 8 malam.  Dalam pukul 10 malam dah tidur.  Esok pagi pula dikejut pagi-pagi buta untuk datang lagi ke pusat asuhan.  Adakalanya mereka datang dalam keadaan tidur. Maknanya mereka benar-benar duduk sedar bersama ibubapa di rumah itu hanya dalam 3-4 jam sahaja sehari.  Jangan salahkan mereka kalau mereka lebih sayang cikgu dan kawan-kawan.  Bila dah meningkat remaja pula adakalanya mereka lebih dengar cakap kawan-kawan di luar rumah daripada cakap ibubapa.

Aku harap sangatlah ibubapa faham situasi ini, sebagai persiapan dan tindakan dalam mengasuh dan mendidik mereka di rumah.  Gunakan masa yang sedikit itu dengan pengisian yang berkualiti.  Berilah mereka kenangan-kenangan manis yang akan terus diingat hingga dewasa.  Dan kenangan manis yang paling lekat itu bukan sekadar yang bersifat kebendaan macam hadiah harijadi, jalan-jalan cari makan atau berseronok di taman thema.  Kerana perkara macam itu hanya bersifat pemuas nafsu, sedangkan nafsu itu tak pernah puas.

Berilah mereka kenangan-kenangan indah yang melekat dijiwa.  Ruh mereka perlu dipuaskan juga.  Alangkah syahdunya perasaan mereka kalau dapat solat berjemaah dengan ibubapa dan seluruh keluarga.  Sebelum tidur dodoikan mereka dengan kisah-kisah teladan Nabi kita dan orang-orang soleh.  Kuatkan jiwa mereka dengan rasa cinta dan takutkan Allah.  InsyaAllah cinta dan kasih sayang anak-anak akan bertambah subur kepada ibubapa, kerana Allah lah yang akan mengikat hati mereka.  Kerana nilai cinta itu bukan pada kuantiti masa bertemu, tapi kualiti dari pertemuan itu.  Buat apa lama-lama kalau asik kena marah sahaja? Tak ada maknanya hiburan kalau hanya memuaskan nafsu sahaja.  Kalau mereka jumpa keseronokan yang lebih, maka akan tertutup keseronokan sebelumnya.

Namun ketenangan jiwa kerana kenal, cinta dan takut pada Allah itu bukan boleh dapat dengan mudah dimana-mana.  Kita sebagai ibubapa dan penjaga kena usahakan sungguh-sungguh untuk mereka.  Sebab itulah tangggungjawab mencorak anak-anak itu Allah persoalkan kepada ibubapa.  Sabda Nabi yang bermaksud:

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih) dan ibubapanya yang mencorakkan kehidupan anak itu samada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”

Sekian, jumpa lagi dalam post berikutnya …

Salsabeel, 13 April 2014

Sabtu, 12 April 2014

MALU

Malu aku pada kata dustaku padaMU…

Malu aku ingin memulakan luahan ini…

Malu kerana aku hanya hamba,…

Malu kerana rasa semakin jauh denganMU…

Ak sedar, rasa malu itu perlu…

Malu bila melakukan kerosakan..

Malu pada manusia tidak cukup,malulah kepada Tuhan…

Kerana malu itu cukup bermakna…

Bila rasa malu melakukan kejahatan, terhalanglah niat jahat itu..

Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap perkara…

Rabu, 9 April 2014

PANDANGAN AKAL SELALU TERSALAH

Pandangan AKAL selalu TERSALAH.   Apanya yang salah? Macamana boleh salah? Nak tahu ... jom ikuti kisah ni.

Tok Lebai benar-benar kalut. Apa tidaknya, bertahun dia tunggu kepulangan Mat dari oversea tak muncul-muncul,  tetiba je harini Mat muncul dengan penampilan yang pelik.

Tujuh tahun dulu Tok Lebai bergolok gadai untuk memberi duit bekal Mat belajar di UK. Sekalipun kos pembelajaran Mat dibiayai duit beasiswa dari sebuah syarikat gergasi negara, tapi duit poket dari ibubapa perlu juga dibekalkan.  Maklumlah kursus yang Mat ambil agak glamor, jadi Mat kenalah berpenampilan glamor juga. 

Beribu jugalah Tok Lebai keluar duit untuk beli pakaian dan peralatan gadget Mat selain duit poket yang tak kurang tebalnya. Tok Lebai tak kisah pun, yang penting anaknya berjaya dalam pelajaran.  Satu pesanan yang selalu diulang kepada Mat, jangan lupakan agama, jangan cuai solat dan jangan mudah terpengaruh dakyah agama lain atau aliran sesat atau gaya hidup mungkar.

Bukan apa, Tok Lebai bimbang Mat yang dibentuk menjadi anak yang kuat beragama itu akan hanyut oleh budaya Barat. Maklumlah sebelum ni Mat tak pernah terdedah pada kehidupan yang mencabar.  Dari kecil dia duduk di kampung, tolong dia di kebun dan aktiviti masjid. Tok Lebai takut anaknya mengikut jejak pelajar yang belajar overseas balik-balik jadi pejuang Syiah, militan atau pejuang Islam liberal atau aktivis LGBTQ pula.

Dipendekkan cerita dah 4 tahun Mat terputus hubungan dengan keluarga. Kali terakhir dia balik kampung pada raya 4 tahun lepas.  Masa tu ada bergaduh-gaduh mulut dengan Mahmood anak sulong Tok Lebai.  Kata abang dia tu mereka berhujah pasal ajaran ingkar sunnah.  Lepas tu Mat lenyap dan senyap je. Tak minta duit dan tak tanya khabar keluarga. Mahmood kata mungkin Mat dah terikut ajaran tu.

Tetiba harini muncul dengan keadaan yang sangat mengejutkan. Rupa Melayu tu tetaplah ada, tapi cara berfikir dan berperasaan si Mat ni sungguh jauh berubah.  Mat yang sopan santun, taat, tawadhuk dan kuat beribadah tu dah hilang.  Yang tinggal adalah Mat yang kuat akal,  suka berhujah dan rasa pandai sahaja. Setiap ibadah Islam dipersoalkanya. Sejak balik ni tak nampak pun dia solat.

Bila Tok Lebai tanya, dia jawab selamba je: "saya nak beragama secara berilmu dan berakal, bukannya taat membutatuli macam ayah."

"Apanya yang membuta-tuli, solat tu kan perintah Allah, ada ilmunya dan boleh diterima akal pun, " kata Tok Lebai sambil mengelap air wudhuk yang membasahi janggut putihnya.

"Okeylah ayah. Saya nak tanya satu benda je .... kalau ayah boleh jawab dan boleh puaskan akal saya, maka saya akan solat", kata Mat dengan sombongnya.

"Woi ...cabar aku nampak", kata Tok Lebai dalam hati. Sambil tu dia berdoa moga Allah beri hidayah pada anak dia untuk kembali ke jalan yang benar.

"Ayah baru ambil wudhuk kan?  Cuba ayah terangkan, kenapa ayah ambil wudhuk tadi tu"

"Ayah tadi terkentut, kira berhadas kecil lah. Sebab tu ayah ambil wudhuk, " jawab Tok Lebai agak terkejut. Tak sangka soalan Mat macamtu je rupanya.

"Yang kentut tu kat mana, yang ayah basuh masa wudhuk tu kat mana? Tanya Mat dengan nada sinis.

"Yang kentut kat dubur lah ...yang ayah basuh muka, tangan, kepala, kaki ...," jawab Tok Lebai agak hairan dengan soalan pelik tu.

"Nah ..itulah yang saya tak boleh terima ...akal saya tak puas ...macamana boleh ..yang busuk kat tempat lain tapi dibasuhnya kat tempat lain..Banyak lagi hukum hakam lain dalam Islam ni yang akal saya payah nak terima. Dulu saya taat jelah sebab belum terbuka,  macam katak bawah tempurung.", kata Mat tak puas hati.

"Hmmm.....itu ke masalah anak aku ni. Jauh-jauh belajar ke luar negara, ini yang dia dapat?", kata hati Tok Lebai sambil terus merintih pada Allah moga Mat segera diinsafkan.

Tok Lebai bercakap dengan tenang,
"Baiklah ... ayah tak nak jawab soalan kamu ni dengan kata-kata, tapi dengan amali sekali.  Hulurkan tangan kamu pada ayah..."

Mat pun menghulurkan tangannya pada Tok Lebai. Lalu Tok Lebai membawa Mat ke arah pintu.   Sesampainya di pintu, tiba-tiba sahaja Tok Lebai kepit tangan Mat dengan pintu kuat-kuat.  Mat memekik melolong sambil menahan sakit.

"Ayah ...sakit ...sakit ...sakit!!!"

Setelah itu barulah Mat dilepaskan.

"Inilah jawaban ayah ... puas akal kamu? " kata Tok Lebai selamba.

"Apa ayah ni ...tak sporting langsung ...orang tanya baik-baik, dijawab macam ni pula ..."

"Oh ..jadi kamu tak faham lagi lah ni? Konon akal bergeliga sangat, logik sangat ...dah terbuka dah keluar dari tempurung ...tapi perkara macam ni pun tak tahu" jawab Tok Lebai dengan sinis.

"Iyelah .... tak adil lah jawaban ayah ni.  Saya tanya dengan logik ... jawablah dengan logik juga...".

"Okey ... ayah nak tanya ...kamu jawablah dengan jujur ...."

"Masa ayah kepit tangan kamu dengan pintu tadi, bagian mana yang kamu rasa sakit?"

"Tangan lah", jawab Mat sambil mengusap-usap tanganya yang kena kepit pintu tu.

"Yang menjerit ...terpekik ..terlolong .sakit ...sakit ...tu bagian mana pula?,"

"Eh ..eh ...hh ...mulut lah ....," jawab Mat sambil tersipu-sipu. Nampaknya dia dah mula faham.

"Abis ..kalau tangan yang sakit ...kenapa pula mulut kamu yang terpekik terlolong? ," lanjut Tok Lebai dengan penuh wibawa

"Hmmm ... hah ... hah ... itu sistem badan lah," jawab Mat mula menunduk.

"Sistem badan apa? Kepala otak kamu ni memang dah teruk ....ingat sistem badan ni jadi dengan sendirinya ke? Inilah siatem yang Allah ciptakan.  Tangan yang sakit ...mulut yang menjerit.  Kuasa Allah lah nak buat begitu. Macamtu jugalah sistem wudhuk ...Allah juga yang perintahkan.  Terpulang pada Allah lah nak suruh kita basuh bagian mana. Yang kamu persoalkan ni kenapa? Kamu nak cabar Allah ke?"

"Err ..err ....takdelah sampai macamtu sekali ... nampaknya akal saya je yang cethek, pandangan akal saya yang salah," kata Mat menyerah.

Tok Lebai brsyukur akhirnya Mat dapat disedarkan.

"Jomlah kita solat. Nanti mengucap syahadat semula ...ayah takut iman kamu dah cacat disebabkan pandangan akal bengap kamu tu ..."

Nah itulah contoh Pandangan AKAL. Nampak macam logik dan benar rupanya SALAH belaka. Yang konon otak bergeliga belajar sampai luar negara ...rupanya bengap je ....

Salsabeel 10 April 2014

PANDANG-PANDANG

Pandangan MATA selalu MENIPU
Pandangan AKAL selalu TERSALAH
Pandangan NAFSU selalu MELULU
Pandangan HATI itu yang HAKIKI

Kes 1:
Ada seorang lelaki tua tinggal di ujung kampung yang bersempadan dengan negara jiran.  Tiap hari kejanya ialah mengutip buah kepala muda yang dibelinya dari penduduk di sekitar kampung itu.  Dia mengangkut buah kelapa muda itu dengan lori buruk milik nya ke seberang sempadan.  Di negara jiran sebelah ada banyak restoran yang akan membeli kelapa muda darinya.
Begitulah berlaku bertahun-tahun.

Apa yang pelik pada Pakcik ni dia ada harta yang banyak. Dia dapat beli lembu kerbau yang banyak dan tanah yang luas. Kira kaya ala kampung lah. Walhal kalau nak dikira pendapatannya dari jual kelapa muda tu boleh cukup untuk makan minum pun kira okeylah. Tapi orang kampung tak ada siapa yang syak apa-apa pun.  Mereka bersangka baik, mungkin Pakcik ni dapat duit dari harta pusaka dari keluarganya di kampung lain atau duit kiriman dari anak-anaknya di bandar.  Lagipun Pakcik ni bukannya ada tanda-tanda perangai jahat, walaupun bukanlah termasuk kaki masjid. Adalah sesekali orang kampung tengok dia muncul di masjid kalau ada gotong royong atau kenduri-kendara.

Sampailah suatu hari tetiba Pakcik ni ditangkap polis.  Orang kampung gempar. Rupanya Pakcik ni ada 'bisnes' lain selain jual buah kelapa muda.  Dalam diam rupanya dia menyeludup minyak ke negara jiran.   Lori buruknya tu telah diubahsuai untuk menyeludup minyak. Perniagaan buah kelapa muda tu sebenarnya hanya sampingan untuk menutup aktiviti penyeludupan itu.

Nah ..... itulah contoh Pandangan MATA selalu MENIPU ...

Macamana pula dengan pandangan AKAL? .....Sabarlah ....tunggu posting selanjutnya .....hehe

Salsabeel 9 April 2014

Isnin, 7 April 2014

RESEPI MOIST CHOCOLATE LAVA CAKE

Salam

Saya suka sangat makan  chocolate ...teringat masa buat amali di Yomie Bakery di Bangi...masahaAllah kesedapan semua kek yang Cik Yong buatkan lidah tak terkata.

Sebelum terleka dengan kesedapan kek-kek di Yomie Bakery, saya nak share resepi yang mudah namun hasilnya marvellous! ! Yummy ..

Ni resepi nya..kek MOIST CHOCOLATE LAVA CAKE. 
Saya pun agak-agak je sebab salin resepi dekat atas angin

Resepi ni kalau pakai tart foil tu dapat 4 biji, kalau pakai bekas ramekin maybe dapat 2-3.
Masa first time buat saya pakai tart foil, masa second time saya pakai bekas loyang kecil sangat ala-ala ramekin lah juga..


Bahan-bahan 
a. 150gm dark chocolate (saya pakai van houten baking chocolate)

b. 80gm salted butter (saya pakai anchor)

c. 3 biji telur (jangan lupa  telurnya dibasuh hingga suci dan bersih dari najis ... baru boleh dilabel standard halal)

Hati yang bersih itu ditempa makanan yang halal.

d. 2 sudu gula kastor (saya tak suka manis sangat)

e. 1/2 sudu teh esen vanilla

f. 1 sudu tepung gandum

g. 1 sudu serbuk koko



Cara-cara

1. Panaskan oven 180 darjah.

Cairkan butter & dark choc secara double boil. Double boil ni masak atas air supaya tak direct  kena api. Pakai periuk rebus air. Letak choc yang dah dipotong kecil-kecil dalam periuk yang lebih kecil.  Periuk kecil itu letak atas air yang sedang dipanaskan itu.  Bila dah ah cair biarkan choc itu sejuk.

2. Pukul telur, gula & esen dengan mixer.

3. Masukkan choc cair tadi sedikit demi sedikit sambil pukul.  Jangan masukkan choc ketika masih panas, nanti jadi telur dadar masak choc ... hahaha.

4. Masukkan tepung & serbuk koko, kacau sehingga sebati.

5. Griskan bekas dengan butter dan masukkan adunan sehingga 3/4 penuh bekas tu.

6. Bakar dalam oven selama 13-15 min. Kalau bekas kecik 13 min je. Kalau lama nanti lava tu jadi kek sekali.

Okey ... dah siap! Boleh terbalikkan kek tu atas piring & hias dengan krim atau aiskrim.


Terima kasih Cik Yoong untuk ilmu dan resepi yang sangat marvellous nie..

Selamat mencuba!!! Jangan lupe ya semua telor ayam DiWAJIBkan basuh suci dan bersih dari najisnya....barulah kek yang kita buat menjadi  ....  the best cake ever!


Hati yang bersih itu ditempa oleh Makanan yang halal..