Beranda

Ingat kebaikan orang lain, ingat kejahatan sendiri

Isnin, 14 April 2014

QURRATU ‘AIN

(Bahagian kedua dari artikel Permata Hati)

Berdasarkan pengalaman, mengasuh dan  mendidik kanak-kanak ni sangat-sangatlah mencabar.  Bukan mencabar fizikal macam panjat tebing atau angkat berat, tapi mencabar fizikal dan ruh sekali.  Fizikal tu memang penat lah melayan kerenah anak yang serba-serbinya belum boleh berdikari.  Kalau yang bayi-bayi tu selain nak kena suapkan makan dan buatkan susu, kena pula dimandikan dan ditukar lampinnya.  Yang agak besar pula walaupun dah pandai suap sendiri kena pula pantau supaya makanan tak bersepah satu rumah, kotor dan membazir pula.  Yang dah pandai buang air dan basuh sendiri pun nak kena tengok juga takut thaharah tak selesai, najis pula satu rumah.  Belum lagi nak melatih dan disiplinkan mereka dalam hal perkara-perkara lain, seperti susun kasut, kemas bag sendiri, latihan solat, beradab dengan cikgu dan orang tua, bekerjasama dan bertolak ansur dengan kawan-kawan, dan lain-lain. Memang penatlah … penat.  Itu yang fizikal.    Belum lagi yang ruhani.

Secara ruhani pula, kerja menjaga kanak-kanak adalah medan memerangi mazmumah sendiri.  Sifat-sifat keji seperti pemarah, baran, gopoh, merajuk, kedekut (bakhil), perengus, tamak, sombong, ego, dan lain-lain memang kena tepis dan lemahkan.  Kalau tidak, alamat cepatlah masuk lokap sebab ada anak yang kena dera.  Sering tengok di surat khabar ada saja orang kena tangkap sebab dera anak.  Bukan sahaja anak orang, anak sendiri pun ada yang didera dan dibunuh oleh ibubapa sendiri.  Sebab apa?  Sebab anak tak comel ke? Bukan! Bukan! Sama sekali bukan! Tapi kerana ibubapa atau penjaga itu dah rosak ruhaninya, tak mampu nak lawan sifat-sifat jahat dalam dirinya.  Main lepas je rasa marah, geram, dendam, benci pada anak-anak tu.  Kadang-kadang anak-anak tu tak ada kena mengena pun dengan masalah mereka.  Ada ibu yang marahkan suami, lepas pada anak.  Atau bapa yang kesal tak cukup duit, lepas geram pada anak. Dan banyak lagi ….

Memang mencabar rohani sungguh.  Bayangkanlah, tengah bernasyid-nasyid lembut tidurkan  baby, tetiba pula abang-abang bising bergaduh sesama sendiri.  Bergusti dan saling menggigit pula tu.  Habislah riuh rendah satu rumah.  Kalau tak sabar-sabar memang boleh naik tekanan darah dibuatnya.  Tarik nafas dalam-dalam dan istighfar banyak-banyak.  Cepat-cepat ingat bahawa pembuka  penyelesaian masalah adalah bertenang.  Bila kita tenang barulah boleh berfikir dan bertindak dengan betul. 

Bila difikir-fikir barulah teringat, “apalah dosa aku hingga anak-anak buat hal macamni?”.  Yakin sungguh bahawa sebenarnya Allah sedang nak tegur sesuatu hingga didatangkan masalah pada kita.  Sebab apa? Sebab anak-anak tu masih suci bersih, bukan pandai pun nak berjahat-jahat dan bergaduh-gaduh ni.  Jadi, kalau berlaku pergaduhan di antara anak-anak yang suci bersih ni, mestilah Allah yang sedang gaduhkan mereka sebab nak menegur pengasuhnya.  Ada dosa-dosa yang belum ditaubatkan dan belum ditebus dengan kebaikan.  Sebab itulah Allah datangkan kifarah untuk bayar balik dosa-dosa kita tu.

Pernah suatu hari, seorang anak tu kencing merata, habis satu carpet kena basuh.  Teruk jugalah kerja yang nak kena buat sebab kena sucikan lantainya sekali.  Bila dah selesai, aku menung-menung sendiri, apalah agaknya yang aku buat hingga Allah biarkan anak tu buat masalah? Adakah aku terkencing merata di mana-mana sebelum ini hingga Allah bayar balik begitu.  Kencing merata secara lahiriah memanglah aku tak buat.  Tapi “kencing maknawi” iaitu mengata orang, mengumpat, menyakitkan hati orang tentulah aku terbuat samada secara sedar atau tidak.  Oleh kerana dosa-dosa belum ditaubatkan, belum minta maaf, maka Allah tegur dengan cara itu.

Jadi sebenarnya masalah anak-anak itu bukan dari mereka tapi dari kita sendiri.  Pendidik ibarat kayu yang dipancang dan anak-anak didik itu adalah bayangan dari kayu pancang itu.  Lurus kayu itu maka luruslah bayangannya.  Bengkok kayu itu maka bengkoklah bayangannya.  Janganlah harap bayangan lurus kalau kayunya bengkok.  Bak kata pepatah melayu, “seperti ibu ketam mengajar anaknya berjalan lurus”.  Sedangkan ibu ketam itu sendiri berjalan miring.

Sebenarnya ada hikmah yang lebih besar dari itu, iaitu pembentukan pribadi  anak-anak samada jadi baik atau jahat, jadi sopan atau ganas hakikatnya adalah kerja Allah.  Kerana factor utama perubahan mereka adalah hati atau ruh, sedangkan ruh itu Allah yang pegang.  Usaha kita mendidik dan mengasuh mereka hanyalah untuk memenuhi syariat yang Allah tuntut.  Berjaya atau tidak usaha kita itu kenalah serah sepenuhnya kepada Allah.  Sebab itulah orang-orang soleh yang  bertungkus lumus mendidik dan memberi contoh yang baik kepada anak-anak, mereka terus tawakkal dan  berdoa.

Firman Allah Ta’ala:

Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi qurratu ’ain dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Furqan:74)

Apakah yang dimaksudkan dengan qurratu ‘ain?  Secara umumnya qurratu ‘ain bererti penyejuk mata atau penyenang hati.  Qurratu ‘ain adalah dari bahasa Arab yang penjelasannya adalah seperti berikut ini.

1. Sesuatu yang memberi kegembiraan, ketenangan hati dan bahagia

Untuk memahami makna qurratu ‘ain atau penyejuk mata ini,  kita lihat pula perkataan yang berlawanan dengannya, di mana dalam masyarakat Arab dahulu, antara perkataan buruk yang boleh diucapkan oleh seseorang kepada orang yang lain adalah “Semoga mata anda menjadi panas.” Apakah yang dimaksudkan dengan ‘panas’ di sini? Dalam kata lain, ia bermaksud “Semoga anda sentiasa dilanda kesedihan, hidup tertekan, dan diselubungi sengsara.” Jadi, bila disebut penyejuk mata, maksudnya kegembiraan, hidup ceria, dan dipenuhi dengan sesuatu yang menyenangkan, tenang dan bahagia.

2. Sesuatu yang melindungi dan memberi kerehatan

Masyarakat Arab dahulu, apabila mengembara dengan menggunakan unta, dan apabila dalam pengembaraannya, ribut pasir melanda, mereka akan menutup seluruh tubuh dan muka mereka dengan kain atau pakaian, melainkan mata mereka. Maka mata terpaksa bertahan, sehingga ribut berhenti atau mereka sampai ke tempat perlindungan. Apabila mereka berjaya mencari tempat berlindung dan istirahat, mereka berkata “Mataku kini menjadi sejuk.” Sebenarnya bukan suhu mata itu yang sejuk, tapi pemandangan yang dilihat mata itu yang menyenangkan, merehatkan perasaan. 

Begitulah perasaan kita bila melihat keletah anak-anak kecil yang menghiburkan, anak-anak yang bersopan santun, anak-anak yang mendengar kata, pandai hormat orang tua, suka menolong dan lain-lain.  Pendekata, qurratu ‘ain itu adalah anak-anak yang soleh dan solehah.  Bukan kerana mereka comel loteh atau bijak pandai tapi kerana akhlak mereka yang menyenangkan.  Betapalah kalau anak soleh/solehah itu juga comel dan bijak, sudah tentu lebih sejuk lagi mata dan hati  sesiapa yang memandangnya.

Sekian,

Salsabeel, 14 April 2014