Beranda

Ingat kebaikan orang lain, ingat kejahatan sendiri

Khamis, 24 April 2014

TAK SEBAIK ASIAH TAK SEJAHAT FIR'AUN

(Siri kedua dari artikel MENGAPA KITA DIUJI)
Tak sebaik Asiah tak sejahat Fir’aun.  Apa cerita ni?  Cecite … cecite ….!!!
Ini bukan kisah drama bersiri slot Akasia TV3 atau telemovie Al-Hijrah.  Tapi lebih famous dari itu.  Nama Fir’aun memang famous mememous di dunia ini sebab diulang banyak kali dalam Al-Quran.  Sesiapa umat Islam yang pernah baca Al-Quran mestilah tahu nama ini disebut-sebut berulang kali.  Dan sesiapa yang prihatin dan faham  Al-Quran (atau terjemahannya) sudah tentu tahu siapakah Fir’aun tu. 
Apakah iktibar yang dapat diambil dari kisah Fir’aun ini juga telah banyak diperkatakan orang.  Jangan sombong … jangan sombong … takut terlajak sombong macam Fir’aun sampai mengaku diri Tuhan.  Jangan celupar … jangan celupar … takut terlajak celupar mencabar Tuhan macam kisah  couple mat rempit yang hancur berkecai digilis treler 16 tayar.  Itu kira macam Fir’aun jugalah.   Jangan tamak … jangan cinta dunia … sebab harta bukan boleh bawa mati pun.  Kalau bawa pun bukan boleh tolong dari siksa kubur.  Fir’aun yang bodoh sombong dan sejenisnya sahajalah yang bawa harta hingga ke kubur. 
Dan berbagai pengajaran lagi yang kita boleh ambil dari cerita Fir’aun.  Allah kekalkan pula jasad Fir’aun yang berlawan dengan Nabi Musa AS hingga sekarang supaya pengajaran dari kisah Fir’aun ini terus kekal dari zaman ke zaman.  Menurut para saintis nama Fir’aun lawan Nabi Musa AS itu Tutankhamun, mati lemas di laut merah, lalu mayatnya diawetkan (mumia) dan boleh dilihat di muzium hingga sekarang.  Ambillah manfaat dari kisah Fir’aun ini dengan menjadikan kejahatan Fir’aun itu sebagai sempadan.  Misalnya, kalau nafsu nak menyombong, cepat pintas dengan ingatan “tak nak lah sombong … tak nak jadi Fir’aun”.
Kali ini saya nak cerita satu lagi pengajaran dari kisah Fir’aun ini.  Bukan bahagian cerita buruk untuk sempadan, tapi bahagian cerita baik untuk tauladan.  Dah tentu bukan cerita baik tentang Fir’aun sebab memang tak ada yang baik pun yang boleh kita jadikan tauladan pada Fir’aun tu.  Tapi cerita tentang isteri Fir’aun iaitu Siti Asiah. 
Siti Asiah adalah isteri atau permaisuri kepada raja Fir’aun.  Cantik jelita, beriman kepada Allah dan solehah pula.  Fir’aun pun sayang sangat pada Asiah ni.  Macamana pula suami jahat macam Fir’aun tu boleh ada isteri solehah pula?  Pelik kan? Suami kafir, tak beriman kepada Allah, siap mengaku diri Tuhan pulak tu, tapi isterinya adalah seorang yang beriman dan  solehah.  Macam mustahil pula.  Macamana pula Fir’aun boleh biarkan isterinya beriman pada Allah?
Itulah kuasa Allah.  Tak ada perkara yang mustahil bagi Allah.  Dalam sarang penyamun boleh ada waliyullah.Dalam istana Fir’aun ada isteri solehah.Macamana Allah buat?  Yang Asiah itu pula tak tersiksa ke bersuamikan lelaki mahazalim Fir’aun tu. Kalau dengan Allah pun dia boleh sombong macamtu, macamana pula agaknya dia layan isteri yang tak ikut kehendak dia? Boleh tahan ke Asiah dengan ujian berat tu?
Asiah memang seorang wanita solehah.  Bahkan boleh dikatakan supersolehah sebab dia itu solehah dalam lingkungan orang-orang zalim.  Kalau solehah di kalangan orang-orang soleh tak lah hebat sangat dibandingkan Asiah yang dia tetap solehah sedangkan suaminya adalah Fir’aun yang superzalim. Bagi Asiah memang itu satu ujian.  Seorang wanita supersolehah diuji dengan bersuamikan lelaki superjahat atau superzalim.
Ada maksud Allah menguji Asiah.  Sebelum ini (dalam artikel MENGAPA KITA DIUJI) telah dijelaskan tentang maksud ujian Allah yang pertama iaitu UNTUK PENGHAPUSAN DOSA JIKA KITA SABAR DAN REDHA.  Itu bagi orang-orang yang banyak dosa.  Bagaimana pula ujian kepada orang-orang yang tidak berdosa seperti para nabi dan rasul? Atau ujian kepada orang-orang soleh dan supersolehah macam Asiah ini? Inilah maksud ujian yang kedua, iaitu ujian UNTUK MENINGKATKAN DARJAT.
Allah uji Asiah yang supersolehah itu dengan bersuamikan Fir’aun yang superzalim itu adalah untuk meningkatkan lagi darjat Asiah di sisi Allah.  Asiah pun sabar dan redha dengan ujian itu.  Dia tak mengeluh pun, malah bertambah iman dan taqwanya.  Bertambah giat dan gigih dia memperjuangkan Allah dan Rasul-Nya.  Tercatit dalam Al-Quran, atas usaha Asiah inilah seorang bayi lelaki yang patutnya mati dibunuh Fir’aun (Nabi Musa AS) akhirnya menjadi anak angkat kesayangan Fir’aun dan Asiah.  Dramatik sungguh bila Allah mencipta sejarah, musuh paling ketat Fir’aun pernah menjadi anak kesayangannya sendiri.  Sibuk memburu musuh serata negara untuk dibunuh rupanya musuh sedang berada  di istana sendiri disayang dan dimanjakan. Fir’aun nak menipudaya Allah tapi Allah tipudaya dia dengan cara yang sangat ajaib dan memalukan sekali.
    
“Mereka membuat tipudaya dan Allah membalas tipudaya  mereka, sesungguhnya Allah lah sebaik-baik pembuat tipudaya”
Bagaimana kisah dramatik ini berlaku?  Kerana kesabaran, keredhaan Asiah kepada apa sahaja ujian yang Allah timpakan padanya, maka Allah selamatkan Asiah dari kezaliman Fir’aun.  Malah dia menjadi kecintaan Fir’aun.  Rupanya Allah berikan berbagai karamah kepada Asiah.  Selain rupa paras yang menawan, dia juga mempunyai akhlak yang sangat menawan hati Fir’aun.  Suami mana yang tidak tergoda dan jatuh hati bila isteri sentiasa memenuhi hajatnya? Dengan layanan yang kualiti supersolehah pula tu.  Kata-katanya menawan, pujuk rayunya susah nak ditolak.  Itulah yang Fir’aun dapat dari Asiah.
Mungkin kita fikir, kesiannya Asiah! Wanita solehah tapi kena layan suami zalim?!  Sebenarnya bukan begitu. Tidak !  Tidak begitu yang berlaku pada Asiah.  Allah tak biarkan hamba-Nya yang supersolehah itu menderita.  Bahkan tak sekalipun Fir’aun menyentuh (bersetubuh) dengan Asiah.  Sebab itulah Asiah tidak mempunyai anak.  Dan oleh sebab tidak anak inilah maka Asiah meminta izin untuk mengambil Nabi Musa sebagai anak angkatnya. Allah pelihara Asiah dengan begitu ajaib.  Setiap kali Fir’aun berhajat kepada Asiah, maka Allah datangkan seekor jin betina yang menyerupai Asiah.  Jin betina inilah yang memberi layanan istimewa kepada Fir’aun tanpa disedari oleh Fir’aun dan kuncu-kuncunya.  Apa yang Fir’aun tahu dan rasa adalah Asiah adalah isteri yang terbaik baginya.  Tak peliklah jika Fir’aun sangat menyayangi Asiah dan segala permintaan Asiah dipenuhinya.
Tatkala Asiah meminta izin untuk mengambil bayi yang hanyut di sungai sebagai anak angkat mereka, Fir’aun pun tak mampu menolak kerana terlalu dalam cintanya pada Asiah.  Walhal waktu itu Fir’aun sedang mengarahkan operasi besar-besaran membunuh semua anak lelaki Bani Israel.  Kahin-kahin (tukang sihir) Fir’aun pula telah meramalkan bahawa bayi hanyut itulah anak lelaki Bani Israel yang kelak akan menjatuhkannya.  Tapi Fir’aun tidak peduli kerana tidak mahu menghampakan permintaan Asiah isteri tercinta.  Begitu sekali penangan isteri solehah.  Kerananya suami sanggup berbuat apa sahaja sekalipun ia berbahaya bagi dirinya. 
Sekalipun Asiah tak dapat insafkan Fir’aun dari kekufuran dan kezalimannya, tetapi berkat supersolehah Asiah, terselamatlah Nabi Musa AS.  Selamatnya seorang Nabi adalah keselamatan bagi umat manusia di zaman itu.  Sungguh besar peranan dan jasa seorang isteri solehah sekalipun dia berada di istana suami yang superzalim.
 
Pengajaran dari kisah ini, marilah kita koreksi diri:
1. Adakah kita seorang isteri sebaik Siti Asiah untuk menuntut pembelaan dari Allah terhadap kejahatan suami?  Kalau bukan, maka mari kita berusaha untuk menjadi lebih baik supaya Allah memberi pembelaan sewajarnya.
2. Adakah  suami kita sejahat Fir’aun hingga kita tak sanggup bersabar dan redha dengan kekurangan suami?  Sedangkan Asiah yang bersuami Fir’aun itu boleh terus sabar dan redha.  Kalau suami kita tak sejahat Fir’aun berilah dia peluang dan galakan untuk sama-sama membaiki diri.
3. Jika suami sedang tewas oleh nafsunya,  bayangkanlah dia ibarat lelaki malang yang sedang terbakar oleh sifat-sifat mazmumahnya (sifat jahat) sendiri.  Selamatkan dia dengan sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) yang ada pada diri kita.  Mazmumah dan mahmudah ibarat api dan air.  Jika api sedang membakar suami, jadilah isteri  yang menyiram air untuk memadamkannya.  Bukankah suami itu belahan jiwamu?  Bak kata orang jawa, suami/isteri itu garwa (sigaraning nyawa), belahan jiwa isteri/suami. Jika susah dia, maka susahlah kita. Dan kesusahan besar bagi seseorang kalau dia sedang diperkuda oleh nafsunya. Sebab itu bila suami tengah tewas oleh nafsunya maka isteri hendaklah berusaha selamatkannya.  Minta tolonglah kepada Allah kerana Dialah Pemilik dan Pencipta nafsu itu.  Dia boleh mengawal nafsu kita dan nafsu sesiapa sahaja.  Nafsu ibarat anjing  yang Allah arahkan untuk mengganggu manusia.  Kalau kita nak selamat dari gangguannya mengadulah kepada tuan anjing itu.
4.  Jika kejahatan suami ditambah pula dengan kejahatan isteri, maka hanguslah rumahtangga di tangan kita sendiri.  Suami curang, isteri pula curiga. Suami kedekut, isteri pula pemarah.  Aduhai ... meriah sungguh keluarga ini dengan mazmumah.  Usahakanlah diri menjadi baik supaya mendapat pasangan yang baik dan meriah pula keluarga yang dibina dengan kebaikan.
5. Jangan salahkan orang lain atau sebab-sebab semasa seperti masalah kerja, kewangan atau adanya orang ketiga, kerana sesungguhnya dia itu Allah datangkan untuk menguji, apakah kita termasuk orang yang sabar dan redha.  Jika kita boleh sabar dan redha moga-moga Allah tingkatkan darjat kita seperti Siti Asiah sekalipun kita tak sebaik Siti Asiah dan kita diuji dengan suami yang tak sejahat Fir’aun.
Nota:
famous mememous = terkenal. 
Cecite = ceritalah
Salsabeel, 23 April 2014