Beranda

Ingat kebaikan orang lain, ingat kejahatan sendiri

Khamis, 24 April 2014

PRAYING IS LOVING, SHARING IS CARING

Ayat “dirikanlah solat dan bayarlah zakat” disebut berulang-ulang kali dalam Al-Quran.  Makna ayat ini dalam sangat, bukan selapis.  Solat itu simbol hubungan dengan  Allah (habluminallah) dan zakat itu simbol hubungan manusia dengan manusia (habluminannas).  Kedua-duanya adalah hubungan yang berprofil tinggi, bertaraf mulia, berkualiti super.  Solat adalah hubungan cinta hamba dengan Allah dan zakat adalah hubungan kasih sayang antara sesama hamba.

Kenapa solat itu dikatakan hubungan cinta?  Kerana solat itu adalah sebuah temujanji cinta, dating, rendesvouz antara manusia dengan Allah.  Dalam solat itu makhluk memadu kasih dengan khaliqnya.  Manusia sepuas hati meluahkan cinta, rindu, manja dan meminta segala keperluan pada Yang Maha Pencipta. 

Tak ada kekasih yang boleh buat dating seperti ini melainkan Allah.  Kalau kekasih manusia, paling hebat pun dating di restoran mewah, belanja makan, dan ajak shopping beberapa barang sahaja.  Itupun sesekali sahaja.  Kalau tiap-tiap hari kita minta ini dan itu pada kekasih lama-lama dia boring dan meluat pada kita.  Sebab kemampuan kekasih taraf manusia ini terbatas.  Kalau kekasih itu kaya sekalipun, boleh bagi segala kekayaannya, mana boleh menandingi kekayaan Allah?  Shah Jehan boleh buatkan Taj Mahal untuk isteri terkasihnya, tapi mampukah Shah Jehan menyembuhkan sakit si isteri, melindungi isteri dari siksa kubur? Mampukah?

Sedangkan Allah boleh beri kita apa sahaja.  Dia yang beri kita nyawa, beri kita oksigen setiap masa, beri kita bahagia, beri kita makan, jaga kita waktu tidur, sembuhkan kita dari sakit, dan lain-lain.  Dia tak pernah bosan pula menerima permintaan kita, bahkan Dia wajibkan pula kita meminta pada-Nya.  Lima kali sehari Dia wajibkan kita mengadu apa sahaja pada-Nya. Minta keampunan, kasih sayang, rezeki, petunjuk, ditinggikan darjat, ditampung segala kekurangan, diberi kesihatan dan kemaafan.  Dan Allah menerima dan mengabulkan segala permintaan kita itu.  Allah sebenar-benar kekasih.  Dialah Cinta Yang Agung. Dan solat yang sebenar itu adalah bukti cinta.  Bukti bahawa Allah dan si hamba itu sedang saling mencintai. PRAYING IS LOVING

Allah juga kata, bayarlah zakat, maknanya memberi, give, share, korban bukannya menuntut dan meminta. Ertinya Allah sangat menggalakkan orang memberi, share apa yang ada pada seseorang untuk orang lain.

Berkongsi itu tanda kasih.  Berbagi itu tanda sayang.  Sharing is caring. 

Whatever lah istilahnya!  Yang jelas Allah dan Rasul memang kempen sakan untuk kita care kepada sesama.  Berkasih sayang kepada sesama manusia, sesama makhluk Allah di dunia ini adalah perkara penting dalam ajaran Islam.  Tapi dah ramai yang lupakan dan abaikan sekalipun di kalangan umat Islam sendiri.

Walaupun disebut dalam ayat itu zakat samada zakat fitrah atau zakat harta, tapi makna ayat itu sebenarnya luas.  Allah suruh kita share bukan makanan asas, duit atau harta sahaja.  Nak share duit tak ada, share lah apa-apa yang Allah beri sebagai tanda care kepada sesama manusia.  Care nilah yang paling payah nak dapat sekarang ni.   Selalunya orang nak, mahu, ingin, menuntut, meminta, berkehendak kepada orang lain, sebab sifat tamak itu memang ada dalam diri setiap insan.  Lebih-lebih lagi ajaran kapitalis yang diajar secara rasmi di sekolah-sekolah dan tak rasmi dimana-mana membuatkan manusia menjadi “matre”, selfish, cinta dunia, tak pernah puas dengan apa yang ada, mahu lagi dan mahu lagi.  Akibatnya share, give, memberi, berkorban, ambil berat, peduli dan lain-lain itu menjadi amalan terpinggir. 

Sedangkan Allah sangat mendorong manusia untuk jadikan amalan sharing itu sebagai amalan mainstream.  Solat dan zakat itu diwajibkan sebagai amalan pokok, sebagai perkara yang termasuk dalam rukun Islam. Allah mahu amalan solat dan  membayar zakat itu menjadi kesukaan.  Sebab itulah Allah suruh berulang-ulang supaya ia menjadi amalan yang sebati, kesukaan dan budaya dalam masyarakat. Bukan solat dan bayar zakat hanya kerana disuruh atau diwajibkan seperti sekarang. Itupun ada yang mengelak dan buat-buat tak faham.

Solat dan zakat sebenarnya tak boleh dipisahkan, mesti diamalkan kedua-duanya.  Praying and sharing ini berkaitan. 

Kita meminta sesuatu kepada Allah dalam solat, lalu Allah memberikannya, kemudian kita kongsikan kepada sesama.  Kita meminta lagi dan  mendapatkannya, lalu dikongsikan lagi. Begitulah seterusnya berulang-ulang menjadi sebuah lingkaran kehidupan yang indah dan harmoni.  Ada kepuasan, ada kebahagiaan yang dicari oleh semua orang di situ.

Inilah lingkaran kehidupan orang mukmin, kokoh dilandasi oleh cinta kepada Allah dan kasih kepada sesama

Cantik berhias-hias oleh pelbagai pujian dan kemanjaan kepada Allah, hadiah dan pemberian kepada sesama. Sesiapa yang ada di dalam lingkaran ini merasa cukup dan puas.  Siapa yang melihatnya merasa syahdu dan merindukannya.

Ia sungguh berbeda dengan lingkaran hidup tanpa iman.  Manusia mendapatkan kehendaknya dengan cara-cara biasa, dengan usaha semata-mata.  Allah beri juga tapi bukan dengan cinta, malah sebagai penghinaan (istidraj) kepada si hamba.  Bila dapat jadi kedekut, sombong dan tamak haloba. Tak mahu sharing bahkan tak puas-puas lagi. Caring tiada sama sekali.

Lingkaran hidup sebegini adalah lingkaran hidup nafsu dan syaitan. No pray no share no care

Selalunya yang keluar dari mulut mereka pun I don’t care!

Ya Allah … lindungi kami dari lingkaran hidup nafsu dan syaitan ini.  Jadikanlah kami berada dalam lingkaran hidup mukmin.  Ingatkan kami selalu bahawa solat itu adalah cinta dan berkongsi nikmat itu kasih sayang.  Kerana, hanya orang yang mencintai Allah yang mampu solat dengan sebenar-benar solat dan hanya orang yang menyayangi sesama yang mampu berkongsi dengan sesama. Dan cukupkan, bahagiakan, selesakan dan sukakan kami  dengan itu semua.

Salsabeel, 24 April 2014