Beranda

Ingat kebaikan orang lain, ingat kejahatan sendiri

Ahad, 13 April 2014

PERMATA HATI

Lenguhnya tangan menulis buku log tugasan kursus ni.  Banyaknya maklumat yang perlu diberikan kepada pihak JKM.  Apa tidaknya, segala  aktiviti sepanjang hari kena direkodkan.  Segala program yang dibuat dan tindakbalas anak-anak kena dinilai dan dicatitkan.  Memang meletihkan!

Alhamdullillah, dalam banyak-banyak kursus yang telah aku ikuti, kursus KAP ini sangat berbeza.  Walaupun penat tapi bahagianya … Ya Allah … syukur pada-Mu  … berbaloi juga hiburan yang kudapat dengan kepenatan yang terpaksa kutanggung.

Anak-anak itu … senyumannya ... tangisannya  ... telatahnya … oh tidak!!  Tak boleh nak diungkap dengan kata-kata …   Semua penat lelah  berkerja  hilang dengan suara kecilmu memanggilku ... aduhai permata hatiku.  
                                                   
Permata hati setiap insan … permata hati negara ... buah hatiku ... penyejuk mata … penghibur hati … pengarang jantung dan macam-macam lagi gelaranku untukmu.

Banyak pengalaman, pengajaran dan ilmu setiap kali aku membelai-belaimu.  Nikmatnya!!  Ye, satu bentuk nikmat yang Allah anugerahkan dari berbagai nikmat yang setiap saat menghujaniku.  Moga nikmat ini Allah sertakan rahmat, supaya dengan nikmat itu aku dapat bersyukur, dapat bertambah kenal, cinta dan takut aku pada-Mu Ya Allah.

Walaupun pada awalnya berat hati untuk memasuki alam permata hati.  Lebih-lebih lagi dapat nasihat percuma dari seorang kenalan:  

"Kerja yang paling tension sekali ialah bila bekerja dengan kanak-kanak”.

YES I AGREE !! Aku setuju sangat-sangat! Pada mulanya, tetapi apabila aku cuba memberikan ruang untuk menyayangi mereka, lain pula jadinya. Oh indahnya!  Dapat bersama mereka menyanyikan lagu-lagu yang memuji  Allah dan Rasul memberi kesan rohani yang sungguh syahdu.  LIFE IS BEAUTIFUL!!

1 … 1 saya sayang Allah 
2 ...  2 sayang Rasulluah 
3 ...  3 sayang ibu  ayah  
123 … sayang …

Eh kenapa anak-anak diam? 123 sayang … semuanya ….
“Semuanya tu siapa cikgu”, salah seorang mereka tiba-tiba mencelah.
“Semuanya tu semua orang lah, adik beradik kita, tok, nenek, kawan-kawan dan orang di seluruh dunia ini terutama yang sesama Islam,” aku cuba jelaskan.

“Tak nak … tak nak …,” si kecil tu nampak tak puas hati.
“Kenapa sayang?, aku pula tak faham kerenah dia ni.

“Kita nak 123 sayang cikgu … sayang cikgu …,” jawab si kecil dengan lantang.  Serentak dengan itu anak-anak lain menyanyi beramai-ramai:

123 kami sayang cikgu … kami sayang cikgu …

Ya Allah ... aku dipeluk oleh mereka beramai-ramai.  Terharunya! Tanpa sedar airmatku jatuh berderai.   Mudahnya nak keluar air mata ni sampai lupa aku di mana.  [ sedang menyiapkan buku log di restoran ]
     
“Iyelah … bolehlah …123 sayang cikgu.  Abis dengan kawan, atok, nenek, dan semua-semua yang lain tu tak sayang ke?”
“Sayanglah juga …tapi dengan cikgu lagiiiii …sayang,” jawab mereka lurus.

Terharunya ….mendengar luahan hati mereka.  Kanak-kanak tak pandai bohong, tak reti mengampu.  Apa yang mereka rasa itulah yang mereka luahkan.  Aku rasa munasabahlah juga mereka rasa begitu.  Bayangkanlah, dalam  sehari 24 jam tu 12 atau 14 jam mereka duduk dengan aku.  Datang ke pusat asuhan seawal pukul 6 pagi, balik rumah pukul 6 petang atau 8 malam.  Dalam pukul 10 malam dah tidur.  Esok pagi pula dikejut pagi-pagi buta untuk datang lagi ke pusat asuhan.  Adakalanya mereka datang dalam keadaan tidur. Maknanya mereka benar-benar duduk sedar bersama ibubapa di rumah itu hanya dalam 3-4 jam sahaja sehari.  Jangan salahkan mereka kalau mereka lebih sayang cikgu dan kawan-kawan.  Bila dah meningkat remaja pula adakalanya mereka lebih dengar cakap kawan-kawan di luar rumah daripada cakap ibubapa.

Aku harap sangatlah ibubapa faham situasi ini, sebagai persiapan dan tindakan dalam mengasuh dan mendidik mereka di rumah.  Gunakan masa yang sedikit itu dengan pengisian yang berkualiti.  Berilah mereka kenangan-kenangan manis yang akan terus diingat hingga dewasa.  Dan kenangan manis yang paling lekat itu bukan sekadar yang bersifat kebendaan macam hadiah harijadi, jalan-jalan cari makan atau berseronok di taman thema.  Kerana perkara macam itu hanya bersifat pemuas nafsu, sedangkan nafsu itu tak pernah puas.

Berilah mereka kenangan-kenangan indah yang melekat dijiwa.  Ruh mereka perlu dipuaskan juga.  Alangkah syahdunya perasaan mereka kalau dapat solat berjemaah dengan ibubapa dan seluruh keluarga.  Sebelum tidur dodoikan mereka dengan kisah-kisah teladan Nabi kita dan orang-orang soleh.  Kuatkan jiwa mereka dengan rasa cinta dan takutkan Allah.  InsyaAllah cinta dan kasih sayang anak-anak akan bertambah subur kepada ibubapa, kerana Allah lah yang akan mengikat hati mereka.  Kerana nilai cinta itu bukan pada kuantiti masa bertemu, tapi kualiti dari pertemuan itu.  Buat apa lama-lama kalau asik kena marah sahaja? Tak ada maknanya hiburan kalau hanya memuaskan nafsu sahaja.  Kalau mereka jumpa keseronokan yang lebih, maka akan tertutup keseronokan sebelumnya.

Namun ketenangan jiwa kerana kenal, cinta dan takut pada Allah itu bukan boleh dapat dengan mudah dimana-mana.  Kita sebagai ibubapa dan penjaga kena usahakan sungguh-sungguh untuk mereka.  Sebab itulah tangggungjawab mencorak anak-anak itu Allah persoalkan kepada ibubapa.  Sabda Nabi yang bermaksud:

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih) dan ibubapanya yang mencorakkan kehidupan anak itu samada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”

Sekian, jumpa lagi dalam post berikutnya …

Salsabeel, 13 April 2014