Beranda

Ingat kebaikan orang lain, ingat kejahatan sendiri

Jumaat, 20 November 2015

MY ROSEBUD: ROSEBUD

MY ROSEBUD: ROSEBUD: Rosebud bermakna putik bunga rose atau gadis cantik. Kedua-duanya manusia suka. Bunga rose selain cantik, ia juga harum. Begitulah juga gadi...

Ahad, 1 Mac 2015

BERJUANGLAH MEMBAWA 'AIR', BUKAN MEMBAWA 'API'

Engkau meluahkan rasa marahmu melalui lidahmu.
Rasa marah itu ibarat bara api gunung berapi.
Luahan itu adalah laharnya.
Laharnya telah melimpah ruah.
Melanda apa saja.
Aduh berapa banyak harta yang musnah.
Manusia yang cacat dan mati.
Begitulah perjuanganmu sekarang.
Kamu membawa api.
Membakar jiwa-jiwa manusia.
Mereka pun sakit hati.
Mereka pun membawa api membakar hati-hatimu semula.
Akhirnya bakar-membakar hati terjadi.
Dendam kesumat pun membara.
Hina-menghina, kata-mengata terjadi.
Beginikah perjuangan nabi?
Bilakah kamu berjuang membawa air menyejukkan jiwa.
Islam itu adalah indah.
Bak bunga di taman.
Senang-menyenangkan setiap hati.
Hati bahagia dan tenang.
Berjuanglah membawa air, jangan membawa api.
Biarlah musuh berjuang membawa api.
Kita membawa air memadamkan api.

Abu Nizam,
29 Julai 1999
Selepas Asar

Jumaat, 20 Jun 2014

DOSA KERING DAN DOSA BASAH

Wak Jamal beli kereta baru! Heboh satu kampung.  Apa tidaknya, Wak Jamal yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tu tiba-tiba bawa balik kereta baru.  Hampir tiap hari pula keluar rumah.  Van buruk yang selama ini dia guna untuk menjaja ikan dan sayur pun dah tak ada.  Agaknya dah dijual.  Dia pun dah berhenti berniaga.  Yang orang nampak, tiap hari dia keluar rumah.  Awal-awal pagi pula tu, lewat malam baru balik. Tiap hari Rabu  bawa Mak Limah, isteri dia yang dah lama berkurung di rumah kerana sakit.  Berubahnya hidup Wak Jamal! Dan fenomena itu telah menimbulkan kontroversi di kampung itu.

Ada juga orang kampung yang bersangka baik, mungkin Wak Jamal baru dapat pembahagian duit pusaka, tiba-tiba jadi kaya.  Tapi ramainya orang yang berjahat sangka, Wak Jamal buat bisnes baru jual dadah atau skim cepat kaya.  Yang lebih ramai lagi orang kampung yang tak peduli, tak kisah, tak ambil port.  Dalam ramai-ramai orang kampung tu adalah seorang tu yang terlebih caring and daring alias busy body, namanya Ucop.  Nasib baiklah dia jenis yang faham syariĆ t sikit, tahu bahwa mengumpat dan memfitnah itu dosa.  Dia sangat perihatin di kampungnya dosa umpat dan fitnah tentang fenomena Wak Jamal telah merebak dengan meriahnya.  Maka Ucop pun bercadang nak jumpa dan tanya Wak Jamal directly supaya dapat jawaban tepat, sahib and accurate.  Tapi dia tak nak jumpa seorang, kena bawa saksi yang jujur and dipercayai ramai. Dipilihnya Tok Imam sebagai saksi.

''Apa yang kau bersungguh nak pergi jumpa  Wak Jamal ni, Ucop?  Sebelum ni tak pernah pun engkau kisah dengan orang tua tu,'' tanya Tok  Imam.

''Saya cuma kesiankan Wak Jamal dan kampung ini Tok.  Dah merata umpat dan fitnah pasal Wak Jamal di kampung ni.  Saya takut  dosa-dosa ni mengundang bala dan menghilangkan keberkatan kampung ni.  Arwah ayah saya cakap, kita kena jaga perpaduan, kasih sayang warga kampung supaya keberkatan kampung ini terjaga.  Keberkatan ni penting supaya semua warga  kampung dapat hidup aman damai, makmur terhindar dari bala bencana," Ucop bersyarah panjang lebar.  Tok Imam tersenyum kambing.

"Budak ni nyindir aku ke ni? Patut ini kan kerja aku.  Apasal aku tak tahu yang umpat fitnah tentang Wak Jamal tersebar di kampung ni? Macamana aku boleh tak perasan benda ni," kata Tok Imam dalam hati.

"Apa fitnah yang tersebar tu?" Tok Imam cuba maintain cool.

"Tak lah Tok tak perasan? Wak Jamal tu kan tetiba je jadi OKB, beli kereta baru, sering keluar pula tu!  Orang kampung dah sangka macam-macam.  Ada yang kata Wak Jamal memang lottery, jual dadah, skim cepat kaya, bela toyol dan lain-lain.  Biasalah .... Syaitan seronok nak pecah belahkan kita Tok," Ucop bersemangat.

"Lha ..... pasal tu ke?  Cepatnya korang buat DOSA KERING!"

"Dosa kering? Apa benda tu Tok?" Ucop hairan.

"Duduk diam-diam, bersangka jahat dengan orang, tak dapat faedah apapun, yang pasti dapatlah dosa. Itu dosa kering namanya." Jawab Tok Imam selamba. Kemudian dia cakap lagi,

"Wak Jamal tu bukanlah dah jadi orang kaya baru.  Takat pakai kereta Proton Saga bayar bulanan 300 ringgit, bukan kereta mewah pun. Hai .... Kamu ni suka sangat melebih-lebihkan,"

"Aiik ... Tok tahu harga kereta Wak Jamal tu? Apa cerita sebenarnya?" Ucop pula terminat cerita Tok Imam.

"Macamana pula aku tak tau.  Akulah guarantor pinjaman kereta Wak Jamal tu.  Hasil mesyuarat AJK masjid, itulah cara kami nak tolong Wak Jamal.  Van buruk tu trade in dengan Saga sebagai bayaran down payment.  Senanglah dia nak ulang-alik bahwa isteri dia ke hospital.  Mak Limah tu kan kena dialisis tiap hari Rabu,"

"Ooooo .... jadi Wak Jamal bawa Mak Limah ke hospital tiap minggu untuk buat rawatan.... Ingatkan pergi jalan-jalan makan angin ....,"

"Kamu ni ...tak sensitive langsung dengan jiran tetangga yang sakit.  Tahu nak mengumpat je," Tok Imam bagi sebijik tamparan kata pada Ucop.  Kini Ucop pula yang tersenyum kambing.

"Habis ... yang keluar awal pagi balik lewat malam tu,  Wak Jamal buat apa Tok?" alang-alang dah terugkap fakta, Ucop makin nak tahu pasal kisah sebenar Wak Jamal.

"Ya Allah .... Itupun kamu tak tahu? Apa kamu buat pagi-pagi? Kamu solat  Subuh ke tidak ni?" Tok Imam meninggi suara.  Ucop merah pipi, terkulat-kulat tak reti nak jawab.

"Awal pagi Wak Jamal pergi masjid lah.  Dia antara AJK masjid paling rajin tau.  Dialah tukang bentang kain saf putih kat masjid tu.  Mak Limah pula yang jahit dan cuci.  Lepas Subuh dia pergi mengedar produk-produk makanan yang ada di kedai koperasi masjid tu.  Itulah hasil usaha ibu-ibu tunggal sekitar qariah masjid kita ni. Kamu  tak pernah tengok ke? Kamu tak pernah solat Jum'at kat masjid kita ni ke?" Penampar kata Tok Imam makin kuat.  Tapi Ucop terpaksa terima je dengan senyum kelat.

"Ooooo" membulat bibir Ucop.

"Dia pergi awal pagi balik lewat malam tu sebab mengedar jauh sikit, lebih lah sikit jualan.  Bolehlah tampung keperluan rumah dan bayaran bulanan kereta tu.  Kamu pula bila nak pakai kereta.  Tak kan nak pakai motor cabuk ni sampai tua," kata Tok Imam sambil tersenyum.

"Ala Tok, gaji saya mana cukup nak beli kereta. Kerja bengkel motor tu berapalah sangat gaji ..." Ucop merendah.

"Gaji sikit asal halal dan berkat.  Jangan gelojoh sangat.  Haritu aku dengar kawan kamu dah kena tangkap sebab jadi tukang modified motor curi, betul ke?"

"Bbbukan .... Bukan kawan saya lah Tok," Ucop tergagap.

"Apasal kamu gelabah. Kamu jangan terlibat sudahlah. Kalau kamu terlibat geng curi motor tu DOSA BASAH pula kamu dapat!"

"Dosa BASAH? Apa pula tu Tok?

"Dosa curi, rompak, lanun, rasuah, tipu, peras dan lain-lain perbuatan yang kamu dapat untung tapi dapat dosa juga. Itulah dosa basah."

"Apa beza dosa BASAH dan dosa KERING tu Tok?, tanya Ucop.

"Sama je. Tapi lagi bodohlah orang yang suka buat dosa kering.  Tak dapat untung apa tapi dosa dah jelas dapat.  Bagaimanapun kita janganlah buat apa-apa jenis dosa pun, sebab semuanya akan dibalas di dunia dan di neraka.  Kalau dah terbuat, cepat-cepatlah mohon ampun pada Allah dan mohon maaf kepada orang yang dah jadi mangsa kejahatan kita."

"Baiklah Tok, saya nak jumpa Wak Jamal nak minta maaf pada dia.  InsyaAllah nanti saya nak jumpa juga dengan orang kampung yang aktif sebagai ejen-ejen dosa BASAH dan dosa KERING ni untuk hentikan semua kontroversi Wak Jamal ni"

"Baguslah tu! Mudah-mudahan mereka juga terus berhenti jadi ejen free syaitan ni. Mana mereka melepak?"

"Biasalah ... Mereka lepak kat kedai makan.  Buat dosa KERING sebab mengumpat dan memfitnah, buat dosa BASAH sebab layan bola sampai tak solat Subuh," jawab Ucop sambil tersengih.

"Alhamdulillah ... Moga misi kamu berjaya Cop.  Aku doakan"

"Terima kasih Tok," mereka pun bersurai.

Hurmmmmm ..... Kisah Wak Jamal yang menginsafkan. Moga-moga kita semua dapat manfaat dan pengajaran.

What does this story teach us? We shouldn't make assumptions about the things people go through without having done it ourselves. And don't make WET AND DRY SINS .....hehehe.



Salsabeel, 20 Jun 2014










Rabu, 4 Jun 2014

AKUR

perjalanan ini terasa sangat meletihkan
harus bertarung antara hak dan kebatilan
jangan hanya relaks dan tak pedulikan
jangan pandang ringan dan tak mengacuhkan
kerana kematian itu satu kepastian

masa penghitungan itu semakin hampir
hari pembalasan itu sebagian dari takdir
adakah sesiapa yang mampu mencegahnya dari mengalir
suka atau tidak ia terus bergulir
lebih baik setuju daripada mungkir

kita datang dari kampung akhirat
singgah ke dunia bukan untuk isterahat
perjalanan di dunia ini baru satu peringkat
ada lagi banyak tahap yang deritanya makin meningkat
jangan kata tak tahu sebab semua sudah disurat

setiap yang bernyawa pasti merasakan maut
sebab itu kena sentiasa ada rasa takut
dengan hati dan amalan bukan sekadar di mulut
maka bersiap sedialah dan buat apa yang patut
jangan nak terkejut jika ajal dah datang menjemput

isilah hidup ini dengan sabar dan syukur
agar nafsu tidak menjadi takabur
segala mazmumah lemahkan hingga tersungkur
sifat-sifat mahmudah pastikan bertambah subur
dengan segala takdir Allah hati dan akal sentiasa akur


Sabtu, 31 Mei 2014

KISAH BUDAK PENJUAL KUIH (Terharu punye kalau bace!)

Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? " Ar-rahman

(Sumber Group Jiran Sebelah .... :-)

Rabu, 28 Mei 2014

SUP EKOR

Jalan-jalan cari makan kata orang Malaysia  atau wisata kulinari kata orang Indonesia.  Tujuannya sama sahaja iaitu nak makan sedap sambil menikmati pemandangan atau suasana yang menyeronokkan!
Sebenarnya ada tempat yang paling seronok untuk kita pergi cari makan.  Dimana?

Dapur!

Lebih-lebih lagi bagi sesiapa yang minat masak. Jom kita buat menu sedap ni.

SUP EKOR

Bahan-bahan:

1 kilogram ekor lembu  (rebus empuk)
2 batang serai (Ketuk)
2 biji bawang holland (Hiris bulat)
1 paket sup bunjut tulang
3 inci halia (ketuk)
2 inci lengkuas (ketuk)
1 biji tomato ( belah 4)
3 tangkai cili api (ketuk)
2 batang seleri (batang sup)
Garam, gula dan perasa secukupnya.

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan-bahan bersama sup bunjut tulang hingga wangi.

2. Masukkan ekor dan air rebusan,   biarkan mendidih dan ekor menjadi empuk.

3. Masukkan garam, gula dan bahan perasa secukupnya

4. Sedia dihidangkan.

GULAI SIPUT SEDUT

Bahan-bahan:

2 paket siput sedut-dlam 400 gram
200 gram santan pekat
air secukupnya untuk dijadikan kuah
6-7 daun kesum
2 batang serai-ketuk
3 keping asam keping
1 sudu besar kerisik

Bahan kisar lumat:

5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 cm kunyit hidup
4-5 biji cili kering
1/2 inci lengkuas
1 sudu kecil biji ketumbar

Cara membuat:

1.  Siput dicuci dan dipotong sedikit bahagian hujungnya.
2.  Satukan semua bahan ke dalam periuk dan masak hingga mendidih.
3.  Tambahkan garam dan gula.
4.  Hidangkan dengan nasi putih.

Selasa, 27 Mei 2014

MEMBACA, MENULIS DAN MENCIPTA SEJARAH

“Bacalah dengan nama Tuhanmu”

Membaca adalah amat penting, kalau tidak takkan Allah letakkan perintah membaca sebagai wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.  Mengapa perlu membaca? Kerana umumnya maklumat, ilmu, pengalaman, hasil kajian, sejarah dan lain-lain sumber pengetahuan itu boleh diperolehi dengan membaca.  Ia adalah kaedah asas bagi orang awam. 

Lainlah kalau seseorang itu adalah nabi dan Rasul yang mendapat pengetahuan tanpa perlu membaca, kerana mereka diberi pengetahuan secara langsung oleh Allah tanpa proses membaca seperti manusia biasa. Sebab itulah Rasulullah SAW itu ummiy (tak perlu membaca dan menulis) bukanlah satu kekurangan, malah satu bukti besar bahawa baginda adalah utusan Allah.  Dapat maklumat direct dari Allah terus ke dalam hatinya.  Banyak orang yahudi dan nasrani yang buat testing perihal keajaiban saluran maklumat Rasulullah SAW itu.  Mereka tanya macam-macam hal tentang masa lalu, Rasulullah jawab dengan jelas dan terang.  Bila mereka check dalam kitab Taurat dan Injil ternyata jawaban itu betul.  Begitu juga mereka tanya hal-hal yang akan datang, Rasulullah juga jawab dengan terang.  Bila perkara itu benar-benar berlaku, mereka pun tercengang.  Macamana Rasulullah boleh tahu?  Sebab Allah yang bagitau!

Jangan pula sesiapa mengartikan ummiy itu sebagai buta huruf macam manusia biasa.  Rasulullah SAW adalah saluran maklumat yang paling canggih sepanjang zaman sebab berbagai maklumat Allah salurkan kepada baginda tanpa perlu membaca dan menulis.  Baginda tahu apa yang berlaku sejak sebelum Nabi Adam hinggalah kiamat bahkan selepasnya, yang lahir dan yang ghaib sebanyak mana yang Allah beritahukan kepadanya. 

Bagi orang awam yang bukan nabi dan rasul, kita perlu membaca.  Bukan sebarang baca tapi baca dengan nama Tuhan.  Ertinya niat membaca, cara baca, perkara yang dibaca, hasil bacaan adalah kerana, untuk dan sesuai dengan kehendak Tuhan. 

Bila mahu membaca maka kenalah ada tulisan.  So, secara tak langsung, arahan membaca juga bermaksud menggalakkan kita menulis.  Maka berlakulah pertukaran maklumat.  Kita tulis orang baca, orang tulis kita baca.  Menulis pun sama jugalah, mestilah dengan nama Tuhan.  Ertinya niat menulis, cara tulis, perkara yang ditulis, hasil tulisan adalah kerana, untuk dan sesuai dengan kehendak Tuhan.

Orang kata, harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama.  Nama je ke?  Nama dalam erti sejarah orang itu, samada hal baik atau buruknya.  Macamana orang kemudian nak tahu?  Kalau cara dulu-dulu cerita seseorang dibawa secara turun-temurun, macam cerita Si Malin Kundang, Hang Tuah, Hang Jebat, Mahsuri, Puteri Gunung Ledang dll, dsb.  Cerita itu tersebar di kalangan rakyat, sebab itu ada orang kata dah jadi cerita rakyat.  Tentang kesahihan cerita itu payah nak cakap, mungkin sudah ada tokok tambah kita pun tak tahu.

Zaman sekarang pula macamana? Masih adakah anak cucu yang rajin bercerita tentang datuk nenek dia?  Ramai ke rakan taulan dan jiran-jiran yang tahu cerita kita?   Kalau orang itu glamor, berpengaruh, kaya atau berkuasa mungkin ada orang lain yang sibuk tulis cerita tentang dia.  Maka tersimpanlah tulisan-tulisan itu sebagai khazanah sejarah orang itu.  Tapi kebenarannya tak lah dijamin sangat, sebab orang lain yang tulis.  Kalau yang tulis itu penyokongnya mungkin cerita baik-baik, pujian-pujian sahaja yang ditulis.  Kalau yang tulis itu musuh atau penentangnya, maka yang ditulis yang buruk-buruk belaka.  Kalau yang tulis itu wartawan picisan, gossip sahajalah isinya.

So, cara paling selamat agar sejarah kita diingat dan dikenang orang dengan sebenarnya adalah kita tulis sendiri.  Tulis dengan nama Allah, supaya apa yang kita tulis itu kebenaran.  Bukan tulisan memuji diri, mengampu orang atau mengutuk orang.  Tulis apa sahaja perkara, yang penting apa yang kita tulis itu kebenaran.  Maksudnya benda betul, bukan tipu, bukan bohong.  Ia akan menjadi sejarah peninggalan kita.  Terpulanglah pada pembaca samada orang sezaman atau generasi hadapan nanti nak menilai kita macamana.  Dari tulisan akan tergambar peribadi seseorang itu. 

Macamana tulisan itu akan tersebar dan dibaca orang? Jangan risau sebab zaman ini teknologi maklumat dah berjuta kali canggih dari zaman adanya para nabi.  Kalau dulu orang Mekah nak tahu cerita yang berlaku di Jordan yang jarak tak jauh sangat tu, kena tunggu datangnya nabi baru tahu.  Tapi sekarang, apa yang berlaku di Ukraine, orang Kuala Lumpur pun dapat melihatnya secara langsung di kaca TV.  Apa yang terjadi di sebuah lorong di Jakarta, orang New York dapat melihatnya dengan internet.  Apa yang terjadi 100 tahun dahulu, kita dapat membacanya di arkib berita. Tugas rasul menyampaikan maklumat dari zaman lain atau tempat lain itu sudah diambilalih oleh teknologi maklumat.

Kita gunakan teknologi itu untuk menyampaikan perkara-perkara bermanfaat.  Ceritalah sesuatu yang boleh menjadi iktibar kepada sesama agar dapat memberi kesedaran khasnya pada diri sendiri. Secara tak langsung, kita juga sedang mengumpul maklumat tentang diri kita sendiri untuk diwariskan pada generasi akan datang.

Menulislah!  Dengan menulis kita mencipta sejarah.  Jangan biarkan dirimu hilang tanpa jejak!

Salsabeel 27 May 2014
(Terimakasih Mas Jiki, tulisan ini diinspirasikan dari comment anda: “Menulislah, maka kamu ada,  jangan biarkan sejarah menghapusmu tanpa jejak”)

Jumaat, 23 Mei 2014

JANGAN BUKA …..!

Shan’a’ adalah ibu kota Yaman. Pihak sekolah menengah perempuan di kota itu menetapkan dasar adanya pemeriksaan mengejut bagi seluruh pelajar puteri di dalam kelas. Pemeriksaan itu bertujuan merampas barang-barang yang dilarang di bawa ke sekolah, seperti: telefon bimbit yang di lengkapi dengan kamera, foto-foto, surat-surat, alat-alat kecantikan dan lain sebagainya. Pihak sekolah pun melakukan sweeping di seluruh kelas dengan penuh semangat. Mereka keluar kelas, masuk kelas lain. Sementara beg para pelajar puteri terbuka di hadapan mereka. Beg-beg tersebut tidak mengandungi apa-apa melainkan beberapa buku, pen, dan peralatan sekolah lain.

Semua kelas sudah diperiksa, hanya tinggal satu kelas sahaja. Dalam kelas tersebut terdapat seorang pelajar puteri yang menceritakan kisah ini. Apa gerangan yang terjadi?! Seperti biasa, dengan penuh percaya diri pasukan pemeriksa masuk ke dalam kelas. Mereka lantas meminta izin untuk memeriksa beg sekolah para pelajar puteri di sana. Pemeriksaan pun di mulai.  Di salah satu sudut kelas ada seorang pelajar puteri yang di kenal sangat tertutup dan pemalu. Dia juga di kenal sebagai seorang pelajar puteri yang berakhlak sopan dan santun. Dia tidak suka bercampur dengan pelajar-pelajar puteri lain.  Dia suka menyendiri, padahal dia sangat pintar dan menonjol dalam pelajaran. 

Dia memandang pasukan pemeriksa dengan pandangan penuh ketakutan, sementara tangannya berada di dalam beg miliknya! Semakin dekat pula untuk di periksa, semakin nampak raut takut pada wajahnya. Apakah sebenarnya yang disembunyikan pelajar puteri tersebut dalam begnya?! Tidak lama kemudian tibalah giliran untuk di periksa.  Dia memegang begnya dengan kuat, seolah berkata,
"Demi Allah kalian tidak boleh membukanya! "
Kini pemeriksa sudah di hadapannya.  Petugas itu memberi arahan dengan suara kuat,
“Buka beg kamu!"
Pelajar puteri tersebut memandang pemeriksa dengan pandangan sedih, ia pun kini telah meletakkan begnya dalam pelukan.
"Bagi beg kamu!" pemeriksa mengarahkan lagi.
Pelajar puteri tetap berdegil, lalu menoleh dan menjerit.
"Tidak ... tidak ... tidak .. "
Perdebatan pun berlaku makin rancak.
"Bagi sini beg kamu …!"
"Tidak .."
"Berikan …!"
"Tidak .."

Apakah sebenarnya yang membuat pelajar puteri tersebut menolak untuk dilakukan pemeriksaan pada begnya?! Apa sebenarnya yang ada dalam beg miliknya sampai dia takut diperiksa?! Kekecohan pun terjadi dan tangan mereka saling berebut. Namun beg tersebut masih di pegang erat dan para guru belum berjaya merampas beg dari tangan pelajar puteri tersebut kerana ia memeluknya dengan penuh kegilaan! Spontan sahaja pelajar puteri itu menangis sejadi-jadinya. Pelajar puteri-pelajar puteri lain terkejut. Mereka hairan sangat. Para guru yang mengenalinya sebagai seorang pelajar puteri yang pintar dan disiplin mereka terkejut melihat kejadian tersebut.  Buang tebiat ke budak ni?

Tempat itu pun berubah menjadi sunyi senyap. Ya Allah, apa sebenarnya yang berlaku dan apa gerangan yang ada di dalam beg pelajar puteri tersebut . Apakah mungkin pelajar puteri tersebut ....?? Setelah berbincang sekejap, pasukan pemeriksa sepakat untuk membawa pelajar puteri tersebut ke pejabat sekolah.  Mereka perhatikan betul-betul pelajar puteri tersebut supaya dia tidak boleh melemparkan sesuatu dari dalam begnya sehingga boleh terlepas begitu saja.  Mereka pun membawa pelajar puteri tersebut dengan penjagaan yang ketat dari pasukan dan para guru serta sebahagian pelajar puteri lain.

Pelajar puteri tersebut kini masuk ke bilik pejabat sekolah, sementara air matanya mengalir seperti hujan. Pelajar puteri tersebut memperhatikan orang-orang di sekitarnya dengan penuh kebencian, kerana mereka akan mempermalukannya di depan orang ramai! Karena perilakunya selama satu tahun ini baik dan tidak pernah melakukan kesalahan dan pelanggaran, maka guru besar sekolah menenangkan hadirin dan mengarahkan para pelajar puteri lain bersurai. Dan dengan penuh santun, guru besar sekolah juga memohon agar para guru meninggalkan ruangannya sehingga yang tinggal hanya guru besar dan pasukan pemeriksa saja.

Guru besar sekolah berusaha menenangkan pelajar puteri malang tersebut. Lantas bertanya padanya,
"Apa yang engkau sembunyikan wahai puteriku ..?"
Pelajar puteri tersebut tersentuh dengan suara lembut  guru besar sekolah yang baik itu dan membuka begnya!

Detik-detik yang menegangkan.  Semua orang teruja.
Ya Allah, apa sebenarnya benda tersebut? Cuba teka!!!
Di dalam beg tersebut tidak ada benda-benda terlarang atau haram, atau telefon bimbit atau foto-foto, demi Allah, itu semua tidak ada!
Tidak ada dalam beg itu melainkan sisa-sisa roti … !!!
Yah, itulah yang ada dalam beg tersebut! Guru besar mengorek maklumat dari pelajar puteri tersebut tentang roti itu.

Setelah merasa tenang, pelajar puteri itu berkata,
"Sisa-sisa roti ini adalah sisa-sisa dari para pelajar puteri yang mereka buang di tanah, lalu aku kumpulkan untuk kemudian aku sarapan dengan sebahagiannya dan membawa bakinya untuk keluargaku. Ibu dan saudari-saudariku di rumah tidak mempunyai sesuatu untuk mereka makan di siang dan malam hari bila aku tidak membawakan untuk mereka sisa-sisa roti ini.  Kami adalah keluarga fakir yang tidak mempunyai apa-apa. Kami tidak punya sanak saudara dan tidak ada yang peduli pada kami.  Inilah yang membuat aku menolak untuk membuka beg, agar aku tidak dimalukan di hadapan teman-temanku di kelas.  Kalau mereka tahu, pasti mereka akan terus menghinaku di sekolah.  Aku takut tak tahan dengan hinaan itu lalu berhenti sekolah kerana rasa malu. Maka saya mohon maaf sekali kepada anda semua atas perilaku saya yang tidak sopan"

Saat itu juga semua yang hadir menangis sejadi-jadinya, bahkan tangisan mereka berlangsung lama di hadapan pelajar puteri yang mulia tersebut.  Ini adalah satu dari tragedi yang mungkin ada di sekitar kita, samada kita tahu atau tidak atau kita tidak pedulikannya atau tahu tapi berpura-pura tidak mengenal mereka.  Kita yang tidak bernasib malang seperti pelajar puteri itu sudahkah BERSYUKUR dengan nikmat yang melimpahi kita?  Jom kita fikir-fikirkanlah!!

(Sumber Majalah Islam Antarabangsa Qiblati)